Di laman-laman sosial pula sama ada Facebook mahupun Twitter, perbincangan juga menjurus kepada sidang tersebut yang dianggap sejarah kepada politik tanah air. Ia memandangkan selepas 60 tahun, suasana di dalam dewan berubah.

Barisan Nasional (BN) kini berada di blok pembangkang manakala Pakatan Harapan yang diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad kini memimpin kerajaan. Dalam bahasa mudahnya, majoriti ahli Parlimen yang sebelum ini berada di blok pembangkang kini berada di blok kerajaan dan sebahagian besar mereka dilantik menganggotai Kabinet.

Bagi penulis, sidang Dewan Rakyat kali ini bagaikan ‘buku bertemu ruas’. Selama ini mereka yang berada dalam kerajaan adalah pembangkang. Ada kalangan mereka membuat tindakan-tindakan memualkan sehingga kadang kala Dewan Rakyat riuh rendah bagaikan taman asuhan kanak-kanak dan ada ketika pula bagaikan sarkas dengan telatah pembangkang.

Itu belum lagi mengambil kira bagaimana hujah-hujah dibentangkan lebih banyak mengan­dungi tohmahan dan fitnah bagi mewujudkan persepsi rakyat terhadap kerajaan ketika itu.

Oleh itu, apabila ahli Parlimen BN dan Pas meninggalkan dewan sebagai membantah prosedur pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Isnin lalu, ahli-ahli Parlimen kerajaan tidak boleh marah.

Sekarang barulah mereka tahu betapa buruknya suasana apabila ahli Parlimen bertindak demikian, tetapi meninggalkan dewan ketika pelantikan Yang Dipertua bukanlah satu sandiwara. Kalau mahu diambil dalam konteks sandiwara rasanya pemimpin DAP dan PKR sudah lama bersandiwara.

Jangan lupa tindakan yang sama pernah berlaku pada 20 Di-sember 1999 ketika persida­ngan pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU-10) apabila pembangkang bertindak keluar dewan sebelum pelantikan Yang Dipertua (Tun Mohamed Zahir Ismail) kerana mempersoalkan kenapa sidang dewan diadakan sebelum pelantikan Kabinet. Bagaimanapun mereka masuk semula untuk mengangkat sumpah.

Banyak lagi peristiwa yang berlaku selepas itu menyaksikan pembangkang keluar dewan, tetapi tindakan tersebut bukanlah satu sandiwara atau bertujuan menarik perhatian sebaliknya ia dianggap wajar apabila mereka merasai sidang tidak mengikut peraturan atau amalan biasa.

Namun begitu, rakyat menaruh harapan tinggi untuk menyaksikan sidang dewan kali ini tidak banyak diwarnai dengan protes demi protes apatah lagi riuh rendah dengan pertengkaran antara blok kerajaan dan pembangkang.

Dalam memastikan sidang dewan berjalan lancar, pemimpin-pemimpin kerajaan khususnya menteri dan timbalan menteri perlu memastikan komitmen serta keupayaan mereka untuk menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh blok pembangkang.

Ia memandangkan kali ini barisan pembangkang diketuai oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merupakan kelompok berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan.

Mereka bukanlah calang-calang ahli Parlimen. Ahmad Zahid yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri serta pernah menjadi Menteri Pertahanan sudah pasti masak dengan segala isu melibatkan kerajaan, begitu juga beberapa orang lagi termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Kesemua mereka berupaya mematahkan fakta yang dibentangkan oleh jemaah menteri jika fakta dibentangkan tidak tepat atau direka.

Oleh itu para menteri dan seluruh ahli Parlimen kerajaan perlu bersedia menghadapi cabaran ini. Jika sebelum ini, ketika berada di blok pembangkang, mereka boleh berkata apa sahaja termasuk melemparkan tuduhan kepada kerajaan serta menjadikan Dewan Rak­yat bagaikan pentas ceramah politik tetapi sekarang tidak boleh lagi.

Mereka mesti bercakap berdasarkan fakta dan bukannya sekadar terus menyalahkan kerajaan terdahulu apabila gagal me­nunaikan segala janji dalam ma­nifesto ketika PRU-14 lalu.

Mungkin untuk permulaan rakyat boleh menerima hujah sedemikian tetapi lama kelamaan, rakyat pasti boleh menilai siapa berada di pihak yang benar dan siapa pula sebenarnya sudah memperdaya rakyat untuk menang pilihan raya.

Penulis yakin dengan diterajui oleh Ahmad Zahid, barisan pembangkang benar-benar mampu mewujudkan satu cabaran getir kepada pihak kerajaan untuk ‘tidak main-main’ ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Jika sebelum ini mereka pernah mengkritik menteri dan timbalan menteri tidak ada ketika sidang Dewan Rakyat, kali ini pihak kerajaan perlu membuktikan mereka lebih baik dengan memas­tikan ia tidak berlaku.

Seperkara lagi sememangnya tidak dinafikan majoriti ahli Parlimen kerajaan termasuk menteri begitu bijak bercakap, tetapi Dewan Rakyat seperti mana ditegaskan bukan pentas ceramah politik.

Kalau di ceramah politik bolehlah mereka membentangkan apa juga fakta kerana rakyat atau penyokong mereka tidak begitu memahami atau mengetahui sesuatu isu, tetapi di Dewan Rakyat mereka perlu berhati-hati. Janganlah bersikap seperti pembangkang lagi kerana mereka kini adalah kerajaan.

Buktikan mereka adalah ke­lom­pok terbaik dipilih oleh rakyat untuk memimpin negara. Inilah masanya untuk membuktikan apakah mereka benar-benar berupaya menguruskan negara atau sekadar layak menjadi pembangkang sahaja.

Justeru kepada menteri dan timbalan menteri belajarlah untuk menjawab soalan dengan tepat di Dewan Rakyat. Jangan dilihat hebat berhujah tetapi isinya kosong.