Tanpa usul periksa mereka menuduh ia ada kaitan dengan wang 1MDB dan apa yang lebih melucukan pemimpin pembangkang, portal berita pro mereka dan konco-konco Pakatan Harapan mempertikaikan kenapakah media arus perdana tidak me­nyiarkan berita tersebut.

Mungkin mereka mahu media arus perdana menjadi bagaikan buaya yang kelaparan seperti mereka menyambar apa sahaja di depan mata waima bangkai sekalipun untuk mengisi perut. Sebelum itu geng-geng pembangkang juga gembira apabila portal berita palsu Sarawak Report membuat fitnah ke atas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ternyata dalam kes kapal tersebut, ia tiada kaitan dengan 1MDB manakala KWSP menafikan laporan Sarawak Report – portal berita yang sudah terbukti ter­kenal dengan laporan palsu demi melunaskan agendanya menjatuhkan kerajaan BN di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun penulis percaya, pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan akan terus menjadi ‘buaya lapar’. Ketika ini mereka benar-benar bergantung kepada isu 1MDB untuk menang pilihan raya. Sebab itulah di kawasan kampung sekalipun, pemimpin mereka termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus menabur fitnah kepada Perdana Menteri dengan menggunakan isu berkenaan.

Berita palsu akan terus menjadi harapan kepada Pakatan Harapan untuk menang pilihan raya. Sebab itulah mereka ‘kepanasan’ apabila kerajaan mahu menggubal undang-undang khas berhubung perkara itu. Ini di­sebabkan selain ada dalam kalangan mereka menggunakan berita palsu bagi menyerang kerajaan, mereka juga mahu terus menjadi seperti ‘buaya menyambar bangkai’ demi mempengaruhi rakyat betapa teruknya kerajaan BN.

Dalam masa sama, taktik itu juga akan berupaya menutup ‘bau pekung yang semakin membusuk’ melibatkan pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepe­mimpinan mereka. Satu demi satu skandal berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan tindakan yang dilihat menganiaya rakyat menyebabkan mereka kegelisahan, oleh itu apa sahaja laporan tanpa mempedulikan benar atau tidak, pasti dijadikan modal politik. Atas sebab itulah sampai apa yang dimakan oleh Perdana Menteri pun mahu dipolitikkan.

Sepatutnya jika benar Pakatan Harapan memperjuangkan ke­telusan dan keadilan, mereka juga perlu berani menegur kepinca­ngan di Pulau Pinang dan Selangor. Selain itu, mereka perlu mengesahkan sesuatu laporan atau berita sebelum bertindak bagaikan ‘buaya meng­hempas pulas berebut bangkai yang melintas’.

Sebenarnya, Pakatan Harapan semakin menggelabah untuk menghadapi PRU-14. Kajian dan analisis yang menunjukkan ­rakyat akan terus memihak kepada BN meresahkan mereka, maklumlah pakatan kali ini dianggap paling kuat dengan adanya pemimpin yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun bersama anaknya bekas Menteri Besar dan dibantu oleh seorang bekas Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun kehadiran me­reka ternyata tidak memberi banyak impak, malah dalam kala­ngan penyokong pembangkang sendiri mempertikaikan kenapakah DAP, PKR dan PAN sanggup menerima Dr. Mahathir yang sekali gus membuktikan dalam kalangan pemimpin mereka tidak ada seorang pun yang layak menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang PRU-14. Ini ke­rana semua orang tahu sejarah Dr. Mahathir dengan kesemua parti tersebut.

Begitu juga apabila mereka menggunakan modal berita palsu bahawa negara bankrap dan taktik masuk kampung dengan bersumpah bahawa pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan tidak akan menjamah sesen pun wang rakyat jika diberi amanah meme­rintah negara ini. Kata orang Kedah, ‘tok sah gebang la’ (cakap besar), buktikan dahulu ketulusan dengan menjawab bagaimana anak-anak Dr. Mahathir boleh menjadikan kaya raya dan me­minta mana-mana pemimpin pembangkang yang dikaitkan dengan sesuatu kes tidak bertan­ding dalam pilihan raya supaya ia bertepatan dengan ‘kata-kata ke­ramat’ pemimpin berusia 92 tahun itu bahawa seorang pe­mimpin itu bukan sahaja harus bersih tetapi perlu nampak bersih.

Tetapi disebabkan mereka mengamalkan politik ibarat ‘buaya menyambar bangkai’, maka segala-galanya ‘dihalalkan’ dan sedia dilakukan asalkan matlamat untuk menumbangkan BN tercapai. Inilah akibatnya apabila tindakan politik ‘berkiblatkan’ dendam dan kerakusan bagi me­rebut kuasa.

Penulis percaya selepas ini dengan meningkatnya suhu pilihan raya dan dalam keadaan ­kekeringan isu untuk mempe­ngaruhi rakyat, Pakatan Harapan akan terus mengamalkan sikap bukan sahaja membuat tohmahan tetapi juga menjadikan apa sahaja laporan media asing dan portal berita palsu seperti Sarawak Report sebagai modal.

Bagaimanapun penulis yakin ini tidak akan ke mana. Rakyat sudah semakin dapat melihat tem­belang pembangkang. Mereka bukannya berjuang untuk mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara sebaliknya hanya ingin berkuasa semata-mata.

Mereka hanya tahu memburuk-burukkan apa sahaja usaha kerajaan. Sebaik manapun pencapaian kerajaan dalam menguruskan negara tidak mendapat pujian. Sebaliknya mereka lebih cenderung untuk memanipulasi berita dan laporan palsu serta mencetuskan isu yang bertujuan meracuni fikiran rakyat menolak BN. Tindakan itu tidak ubah seperti ‘buaya kelaparan’ tidak kira apa pun yang terapung, pasti akan disambar!