Baru-baru ini, semasa membaca al-Quran di rumah, saya mendapati bacaannya banyak salah tajwid. Saya menyuruh dia mencari dua orang kawan untuk belajar dengan seorang guru di rumah kami tetapi dia enggan dan tetap mempertahankan bahawa bacaannya betul. Apakah hukum isteri ingkar arahan suami dan bagaimana dapat saya membuatkan dia mengikut arahan saya?
* Suami prihatin, Kuala Lumpur.

UKE: Hukum membaca al-Quran hendaklah dengan bertajwid. Menurut Mazhab Imam al-Syafie, memelihara pembacaan kitab Allah Taala iaitu membaca secara bertajwid yang muktabar di sisi ahli qiraat adalah sesuatu yang wajib dan tiada keraguan lagi. Belajar tajwid adalah fardu kifayah tetapi apabila membacanya hendaklah dengan bertajwid.

Firman Allah Azza wa Jalla: "...dan bacalah al-Quran itu dengan tartil." (al-Muzzammil: 4).

Maksud tartil itu adalah menyebut huruf dengan bagus dan mengetahui tempat berhenti, tempat memulakan bacaan dan membaca dengan penuh penghayatan. Semua ini tidak akan boleh dicapai kecuali harus belajar daripada guru atau orang yang ahli dalam bidang ini. 

Perintah ini menunjukkan suatu kewajiban membaca dengan betul dan jangan sampai mengubah makna dengan sebab bacaan salah. Kalau isteri anda tidak mahu belajar bersama kawan-kawannya maka saya cadangkan anda dan isteri yang belajar di rumah.

Minta guru al-Quran datang mengajar atau lebih manis anda dan isteri pergi berguru supaya lebih jelas pelajaran tajwid ini.

Sebagai isteri wajib taat kepada suami selagi mana arahan suami tidak bercanggah dengan syarak. Sebagai suami, anda kena sabar dalam mendidik isteri dan jadilah seorang suami yang budiman agar dihormati isteri.

Bila anda seorang yang baik dengan melaksanakan segala tanggungjawab, insya-Allah seorang isteri akan lembut hatinya mentaati anda. Mulakan yang terbaik daripada diri anda terlebih dahulu.




 

Soal mahram, agih harta          

Saya telah berkahwin dengan duda anak dua dan ada cucu. 

1. Anak perempuan saya memang boleh bersalam dengan suami tetapi menantu perempuan saya tidak mahu bersalam dengan suami kerana dia kata bukan mahram. Betulkah?

2. Semasa hidup, suami telah membuat pembahagian harta iaitu tanah dan rumah kepada anak-anaknya dengan perkahwinan terdahulu. Tiada harta yang diwasiatkan atau dihibahkan kepada isteri. Adakah isteri dibolehkan membuat tuntutan ke atas harta suami yang telah diberikan kepada anak-anaknya (anak tiri saya)?
* Al Kamsyah, Melaka.

UKE: Suami anda sekarang bukannya bapa mentua kepada menantu anda. Bapa mentua bagi menantu anda ialah bapa kandung kepada suaminya, iaitu bekas suami anda. Maka tindakannya itu betul kerana batal air sembahyang antara seorang isteri dengan bapa tiri suaminya.

Kedua, pembahagian harta oleh si suami kepada sesiapa yang dikehendaki semasa dia masih hidup dipanggil hibah.

Terpulanglah kepada dia untuk mengagihkan hartanya tetapi tidaklah menyusahkan kepada ahli waris yang lain sehingga menjadi papa kedana pula.

Pembahagian itu pula dihibahkan dalam keadaan sempurna akal. Bukan boleh main beri sahaja. 

Jika harta yang diagihkan itu adalah harta anda yang turut sama berusaha mendapatkannya, maka tidaklah boleh sewenang-wenangnya diserahkan kepada orang lain melainkan dengan izin anda.

Apatah lagi jika harta itu adalah hak anda bersama seperti perkongsian atau atas nama anda, maka ia mesti mendapat kebenaran daripada anda. Bukankah lebih baik berlaku adil kepada semua dan apa salahnya isteri turut mendapat bahagian dalam hibah tersebut. 

Bila sakit cari isteri, bila lelah cari isteri, bila hendak makan cari isteri dan bila bernafsu cari isteri tetapi bila hendak beri harta, nama isteri entah ke mana.