* Siti, Selangor.

UKE: Membaca al-Quran merupakan suatu ibadah yang mulia dan digalakkan kita membaca al-Quran malah dijanjikan pahala yang besar walau hanya melihat al-Quran sahaja. Maka berusahalah untuk menjadi pengemar al-Quran sama ada belajar, membaca, menghafaz, mentadabbur apatah lagi mengamalkan isi kandungan al-Quran.

Orang yang terbaik ialah  yang belajar al-Quran dan mengajarkan al-Quran kepada orang lain. Jika masih dalam proses belajar mesti ada salah silap di mana-mana sebelum menjadi lancar dan betul bacaannya.

Mana ada orang terus pandai baca al-Quran bermula daripada mengenal huruf sehinggalah lancar maka tidak dapat tidak mesti ada salah bacaannya. Malah kadang-kadang merangkak-rangkak bacaan kerana kesukaran membaca tetapi janganlah  tak nak baca pula dengan alasan tak lancar.

Jangan susah hati kerana Nabi  SAW bersabda, "Mereka yang mahir membaca al-Quran akan bersama malaikat yang mulia lagi taat (Al-Safarah Al-Kiram Al-Bararah). Adapun orang yang membaca al-Quran dalam keadaan gagap, tersangkut dan berasa sukar ketika membacanya, baginya dua pahala."

Ini merupakan galakan kepada umat Islam agar mendalami al-Quran dan berusahalah membaca al-Quran dengan terus mempelajarinya. Dikurniakan ganjaran kerana bersusah-payah membaca dan mempelajarinya. 

Kalau tunggu pandai baru nak baca bila masa nak baca sebab tak pandai-pandai kerana tidak ada latihan membacanya. Yang salah ialah membaca dengan sengaja salah, tidak mahu berguru atau belajar, mengejek atau menghina al-Quran, membaca dengan cara memperlekehkan al-Quran, dilagukan dengan lagu yang tidak sopan atau dalam bentuk menghina al-Quran.