Tahun ini, Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke 61 tahun. Dalam kita meraikan hari bersejarah ini, jangan kita lupa kepada jasa dan perjuangan pemimpin dan masyarakat lebih awal daripada kita kerana tiada usaha daripada mereka maka tiadalah Malaysia pada hari ini. Kepada pejuang- pejuang kita yang telah kembali ke rahmatullah, Awang menyeru rakan-rakan pembaca marilah kita sedekahkan al-Fatihah dan semoga Allah s.w.t mencucuri rahmat keatas roh mereka. Al-Fatihah.

Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini merupakan satu sambutan yang membuka lembaran sejarah baru kepada negara. Selama 61 tahun berada di bawah kepimpinan tujuh orang Perdana Menteri di bawah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN), namun tahun ini negara dipimpin semula oleh bekas Perdana Menteri Keempat tetapi di bawah pentadbiran kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Kebetulan cuti kemerdekaan tahun ini, Awang bersama dua orang anak berada di Negara China iaitu di Wilayah Xian/Chang’an. Wilayah ini merupakan ibu kota dari Provinsi Shaaxi yang dulunya dikenal dengan sebutan Chang’an pada masa Dinasti Tang dan pernah diperintah oleh 14 dinasti besar China. Keunikan ibu kota yang mempunyai populasi penduduk lebih daripada 12 juta ini membuatkan Awang terpanggil untuk berkongsi sedikit paparan sejarah dalam ruangan kali ini.

Antara sejarah besar di China ialah ketika era Dinasti Qin di bawah pemerintahan Maharaja Qin Shi Huang (turut dikenali sebagai Shi Huang Ti) pada 221 SM ialah berjaya menyatukan seluruh daratan China yang sebelumnya diperintah oleh 7 kerajaan. Salah satu sebab kejayaan Maharaja Qin Shi Huang berjaya menaiki takhta adalah kerana menyelesaikan isu tuntutan cukai yang tinggi serta menghapuskan amalan mengebumikan hamba yang masih hidup bersama tuan mereka yang meninggal dunia. Setelah berjaya menyatukan China, baginda serta ketua penasihat baginda Li Si meluluskan beberapa pembaharuan besar yang bertujuan mengeratkan perpaduan. Antaranya ialah memperkenalkan sistem mata wang, menyederhanakan aksara China, memajukan sistem pendidikan, pelopor bagi membina Tembok Besar China, membina makam bersaiz kota yang dijaga oleh patung-patung Tentera Terracotta yang bersaiz manusia, penghapusan amalan mengorbankan hamba bersama tuan digantikan dengan patung, dan sebuah sistem jalan raya kebangsaan besar-besaran.

Dalam melaksanakan projek pembangunan berskala besar, Maharaja Qin telah melakukan pelbagai bentuk kerahan dan arahan. Baginda telah mengarahkan lebih 300 ribu orang untuk melakukan kerja paksa membina Tembok Besar China. Selama 10 tahun pembinaannya, puluhan ribu orang terkorban dan rata-rata mereka mati akibat kelaparan dan keletihan. Atas sebab ini juga dikatakan Tembok Besar China pernah digelar ‘Perkuburan Terpanjang di Dunia’ dan mengikut cerita juga, mangsa yang meninggal akan dikebumikan di sepanjang dindingnya. Seterusnya pembangunan makam Qin Shi Huang di gunung Li Shan yang melibatkan lebih daripada satu juta pekerja selama 40 tahun telah menelan korban jiwa ratusan ribu orang. Begitu juga yang berlaku dengan pembinaan makam Terracotta yang mengandungi ribuan patung pejabat, pahlawan dan kuda yang berukuran sebenar dikuburkan dalam makam ini.

Pemerintahan Maharaja Qin yang bersifat kuku besi ini menyebabkan rakyat berasa dizalimi dan ditindas. Akhirnya rakyat yang mengangkat Qin menjadi raja dan mereka sendiri bangun menjatuhkannya. Sejarah menunjukkan kerajaan Dinasti Qin yang sempat diwarisi oleh dua generasi hanya bertahan selama 15 tahun sahaja (221 SM-206 SM) dan telah diganti dengan Dinasti Han selepas itu.

Dalam melusuri sejarah yang berlaku pada Dinasti Qin, pelbagai iktibar boleh dijadikan panduan. Ketika kita menyambut kemerdekaan ke 61 tahun ini, Awang amat berharap kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) tidaklah terburu-buru untuk melaksanakan pembaharuan. Awang percaya asas pemikiran yang rasional perlu dijadikan teras utama pemimpin-pemimpin PH dalam mentadbir negara. Janganlah kemerdekaan rakyat yang diraikan kali kedua ini dikhianati dan dikecewakan. Kuasa rakyat amat besar dan jika tidak dijaga, percayalah rakyat yang sama juga akan menjatuhkan PH satu hari nanti

Teringat Awang kepada cerita guru Awang dahulu, bila mana peristiwa pembukaan Kota Mekah oleh Rasulullah SAW, tidak semua perkara Baginda terus tukar dan minta diubah segera. Antaranya ialah tugasan menjaga kunci Kaabah yang terus dipegang oleh Bani Syaibah walaupun ketika itu Bani Syaibah belum memeluk Islam. Baginda SAW pernah bersabda, “Ambillah (kunci Kaabah ini), Wahai Bani Talhah, hinggalah tibanya Hari Kiamat, dan ia tidak akan diambil dari kamu sehinggalah (berlakunya) ketidakadilan dan penindasan”. Ketika memiliki kuasa, tidak semestinya semua perkara perlu diubah mengikut acuan dan kehendak kita semata-mata selagimana dasar sedia ada adalah baik.

Awang juga ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia hari ini sempena dengan sambutan kemerdekaan ke 61 tahun untuk sama-sama kita bermuhasabah. Apakah bentuk hala tuju masa depan yang ingin dilakar? Apakah bentuk negara yang kita mahukan?

 

‘BALDATUN THOYYIBATUN WA RABBHUN GHAFFUR’

Dalam ayat Al Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka, iaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan sebelah kiri. (Kepada mereka dikatakan): “Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Rabbmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Rabbmu) adalah Rabb yang Maha Pengampun”. (Surah Saba : Ayat 15).

Dalam ayat ini bagaimana penjelasan yang diberikan oleh Allah SWT berkaitan dengan ‘baldatun thoyyibatun wa rabbhun ghaffur’ iaitu negeri yang baik adalah negeri yang mendapat keampunan dan barakah Allah.

Telah terbukti bahawa negeri yang maju, baik dan sempurna mendapat perlindungan Allah merangkumi ciri-ciri ramuan yang cukup lengkap iaitu pemerintah yang adil, tentera/pegawai kerajaan yang amanah dan rakyat yang bersyukur.

Alhamdulillah, kombinasi ketiga-tiga ciri di atas telah membuka satu lembaran besar dalam sejarah Islam. Pada 29 Mei 1453, Sultan Muhammad II yang lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fateh menerajui umat Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turkistan (Turki) telah berjaya menawan Kota Konstantinople. Peristiwa ini menzahirkan lagi apa yang telah digambarkan oleh hadis Rasulullah SAW.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah berkata: “Konstantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera”.

Di dalam ambang 61 tahun kemerdekaan negara, Awang merasakan tiba masanya seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama kita membawa kembali era Muhammad al-Fateh ke dalam kepimpinan negara. Kepada kerajaan baharu PH terutamanya kepada Perdana Menteri dan barisan kabinetnya, dimensi kejayaan Muhammad al-Fateh boleh dijadikan rujukan untuk mencipta lebih banyak kejayaan-kejayaan yang beraspirasikan ‘baldatun thoyyibatun wa rabbhun ghaffur’.

Awang percaya rakyat Malaysia kini semakin matang. Keberanian ini telah dibuktikan apabila rakyat menolak kerajaan terdahulu dan memilih kerajaan baharu untuk memimpin negara pada 9 Mei lalu. Antara sebab utama rakyat menolak kerajaan terdahulu juga adalah disebabkan kepimpinan yang terpalit dengan pelbagai skandal, salah guna kuasa barisan pegawai-pegawai kerajaan, isu rasuah di segenap lapisan masyarakat dan kaedah penyampaian maklumat yang lemah kepada rakyat. Akibat daripada ketidakpuashatian ini, maka telah dizahirkan sepenuhnya dalam kertas undi.

 

PEMIMPIN YANG ADIL

Pada Awang, kerajaan baharu PH perlu sedar bahawasanya kepimpinan yang adil dan saksama akan menjadi teras kepercayaan untuk terus mendapatkan sokongan rakyat. Barisan kepimpinan Tun Mahathir perlu meyakinkan rakyat bahawa dasar dan polisi yang ingin dijalankan benar-benar memberi impak yang lebih baik daripada kerajaan terdahulu. Atas dasar tanggungjawab dan amanah, Awang mengharapkan kepimpinan PH tidak lagi asyik menoleh kebelakang dan mencari salah kerajaan terdahulu kerana apa yang rakyat mahukan ialah sesuatu yang lebih segar sepertimana yang dijanjikan dalam manifesto dan aku janji. Bukan semua polisi kerajaan terdahulu perlu dibatalkan. Contoh paling besar ialah pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Awang merasakan mungkin kerajaan PH boleh memperhalusi dengan lebih baik tatacara serta mekanisme penerima dan kaedah pemberian BR1M ini. Bukan semua polisi dan dasar kerajaan dulu adalah salah. Dalam hal ini, kematangan berpolitik tinggi amat diperlukan dalam kalangan pemimpin mana-mana pihak terutamanya melibatkan kelangsungan hidup rakyat. Kenyataan daripada Menteri dan Timbalan Menteri perlu lebih sensitif dan peka kepada isu rakyat dan usah mudah melakukan tuduhan yang semberono sepertimana isu pemberian BR1M yang dikatakan rasuah oleh Azmin Ali. Usah memperjudi nasib rakyat hanya kerana dendam atau kepentingan peribadi semata-mata. Benarlah bak kata pepatah ‘marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar’.

Awang teringat kata-kata guru Awang bahawa pemimpin yang baik ialah mereka yang apabila berjanji, akan ditunaikan, mereka yang apabila diberi amanah, ia tidak akan mengkhianati, mereka yang apabila diberi teguran, akan bermuhasabah diri dan mereka yang apabila diberi pujian, akan terus meningkatkan jati diri.

 

PENJAWAT AWAM YANG AMANAH

Bagi penjawat awam pula, mereka adalah antara pihak yang memainkan peranan penting sebagai agen tranformasi barisan paling hadapan dalam pentadbiran kerajaan. Peralihan kuasa besar dalam kepimpinan pentadbiran awam kerajaan telah berlaku minggu ini apabila Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan, Datuk Seri Dr Ismail Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu, bagi menggantikan Tan Sri Dr Ali Hamsa yang tamat kontrak perkhidmatannya. Dengan perlantikan Dr Ismail ini maka boleh dikatakan lengkaplah sudah transformasi kepimpinan utama di jabatan dan agensi tertinggi dalam kerajaan baharu.

Sikap “hanya bekerja makan gaji” harus dibuang jauh daripada sentimen penjawat awam terutama ketika berhadapan kehendak rakyat yang semakin tinggi pada hari ini. Amalan kerja yang cekap, cepat serta berintegriti akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi perkhidmatan awam. Frasa ‘saya yang menjalankan amanah’ perlu dihayati sepenuhnya bukan sahaja antara penjawat awam dengan ketua mereka malah antara penjawat awam dengan rakyat.

Awang agak terkejut dan sedih apabila mengetahui laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan 2,309 kertas siasatan salah laku rasuah membabitkan penjawat awam untuk tempoh 2013 hingga 2017 yang mana lebih tinggi berbanding 1,143 kertas siasatan membabitkan orang awam. Awang menaruh harapan yang tinggi kepada barisan penjawat awam sejajar dengan pentadbiran baharu negara. Jika baik mereka maka baiklah perjalanan dasar negara namun jika rosak mereka maka rosaklah segala perancangan negara.

 

RAKYAT YANG BERSYUKUR

Pada masa yang sama, keterlibatan rakyat sepenuhnya amat ditagih. Rakyat yang bersyukur akan membantu meraih rahmat buat negaranya. Awang optimis pada konsep rakyat yang bersyukur dengan nikmat yang diperolehi secara tidak langsung akan membentuk negara yang lebih harmoni dan makmur. Janganlah kita asyik mengejar sesuatu yang besar tanpa rasa syukur kepada nikmat yang kecil. Bak kata peribahasa Melayu, ‘mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan’. Malaysia sebenarnya bertuah kerana didiami oleh tiga kumpulan etnik antara terbesar di dunia iaitu etnik Melayu, Cina dan India yang meliputi lebih 2 bilion daripada jumlah keseluruhan penduduk dunia. Daripada sudut agama pula, lima agama terbesar di dunia yang berjumlah hampir 4 bilion daripada jumlah penduduk dunia dianuti oleh penduduk Malaysia iaitu agama Islam, Buddha, Kristian, Taoisme dan Hindu.

Hari ini kita dapat lihat negara seperti China, India dan negara Islam di Timur Tengah telah berjaya menjadi kuasa utama ekonomi dunia. Dengan ketiga-tiga kumpulan etnik ini terdapat di Malaysia, seharusnya kita dapat membentuk jaringan dengan negara-negara tersebut untuk menembusi pasaran ekonomi mereka seterusnya menggegarkan ekonomi dunia.

Awang percaya perkara ini dapat direalisasikan apabila kita berhenti daripada asyik mencari perbezaan tetapi fokus kepada mencari titik persamaan. Apabila diimbas kembali, perpaduan antara kaum menjadi titik tolak kepada kejayaan tokoh-tokoh dahulu mencapai kemerdekaan ketika itu. Pokok pangkalnya ialah kita semai kembali rasa cintakan negara sepertimana tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Sayangi Malaysiaku’ di semua peringkat.

Awang amat yakin dan mengharapkan kombinasi-kombinasi ini akan menjadikan Malaysia sebuah negara ‘baldatun thoyyibatun wa rabbhun ghaffur’ yang akan terus melakar kejayaan dan pembangunan pada masa sama dihormati lawan dan kawan.