Justeru, beliau mencari sudut-sudut pembentangan bajet yang boleh dimanipulasikan dan paling ketara meng­anggap Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) meniru inisiatif Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS). Tidak mengapalah kalau beliau mahu membuat dakwaan tersebut tetapi perlu ditegaskan, TAWAS bukan idea Mohamed Azmin tetapi dilancarkan secara rasmi pada 30 Ogos 2008 oleh Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Oleh itu, kalau pun Mohamed Azmin mahu mengaku ADAM50 meniru TAWAS maka yang sepatutnya mendapat pujian adalah Khalid, bukannya menteri besar itu. Namun begitu inisiatif ADAM50 tiada kaitan dengan soal tiru meniru sesiapa. Tetapi ia membuktikan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk terus membela rakyat. Malah sebelum ini kerajaan juga sudah melancarkan program Mybrain.

Malah apa yang melucukan Mohamed Azmin juga mendakwa penghapusan bayaran tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau adalah hasil perjuangan PKR dan sekutu­nya, DAP, tetapi sebenarnya isu memperjuangkan pemansuhan itu sudah lama dilakukan UMNO Selangor.

Penulis melihat apa yang dilakukan oleh Mohamed Azmin adalah untuk menutup kegagalan beliau dalam mentadbir Selangor sejak menjadi Menteri Besar pada 23 September 2014. Hakikatnya, di bawah pentadbiran Mohamed Azmin negeri tersebut berhadapan dengan pelbagai masalah biarpun beliau menguar-uarkan dan mendabik dada sebagai antara negeri paling maju di negara ini.

Masalah denggi tidak dapat diselesaikan, isu perumahan rakyat gagal ditangani, pelaburan asing tidak meningkat, Unisel pula berhadapan dengan krisis dan banyak lagi isu lain yang menunjukkan dia gagal sebagai Menteri Besar negeri itu.

Tetapi seperti pe­mimpin-pemimpin pembangkang lain, Moha­med Azmin hanya bijak menuding jari menyalah pihak lain. Sebagai contoh dalam kes denggi, beliau seolah-olah me­nyalahkan rakyat kerana membiarkan air bertakung dan tidak menjaga kebersihan.

Melihatkan statistik demam denggi di Selangor, penulis berasa bimbang. Masakan tidak, statistik terbaru demam denggi memperlihatkan Selangor terus kekal ‘juara’ kes denggi terbanyak. Bukan sekadar kekal ‘juara’, bahkan jumlah pesakit denggi juga semakin meningkat dengan drastik.

Statistik Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan Kementerian Kesihatan bermula Januari lalu hingga 23 Oktober menunjukkan Selangor terus mencatatkan kes denggi tertinggi dengan peningkatan sebanyak 40,293 kes berbanding 37,804 kes dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, dengan kadar 84 kes sehari berbanding 140 kes sehari pada sembilan bulan pertama tahun ini.

Biarpun kes denggi memperlihatkan penurunannya dalam kes harian namun jumlah kes denggi secara terkumpul sehingga 23 Oktober memperlihatkan peningkatan lebih 3,000 kes berbanding September lalu.

Penulis tertanya-tanya, apakah tindakan kerajaan ne­geri bagi mengatasi perkara ini? Adakah kerajaan Sela­ngor tidak ambil peduli? Ataupun kerajaan Selangor sengaja membiarkan perkara ini kerana mereka bangga dengan kedudukan negeri yang mengungguli carta teratas kes denggi terbanyak di seluruh negara?

Bagi penulis, peningkatan demam denggi di Sela­ngor menyebabkan negeri ini memegang carta teratas kes denggi seluruh negara adalah bukti kegagalan kerajaan negeri menjaga kebajikan rakyat, khususnya dalam soal kebersihan dan kesihatan.

Apalah gunanya kerajaan mewujudkan skim peduli sihat jika wabak denggi seolah-olah langsung tidak diambil berat oleh kerajaan negeri sehingga ia semakin me­ningkat dari semasa ke semasa. Isu denggi di Selangor bukan isu baru. Isu denggi ini pada pandangan penulis ada kaitan dengan kecekapan dan urus tadbir kerajaan negeri terutamanya dalam hal ehwal pengurusan sampah dan penyelenggaraan sistem perparitan yang tidak efisien oleh kerajaan pimpinan Mohamed Azmin.

Isu sampah dan isu sistem penambahbaikan sistem perparitan masih tidak selesai walaupun sudah dua penggal kerajaan PKR memegang pentadbiran di mana ia menjadi punca kes demam denggi di negeri ini semakin meningkat.

Begitu juga dengan tapak projek pembangunan yang dikenal pasti antara tempat pembiakan nyamuk aedes denggi. Kerajaan negeri melalui PBT jelas gagal memantau tahap kebersihan projek seperti takungan air dan sebagainya sehingga akhirnya menjadi pembiakan nyamuk.

Penulis berpandangan tidak ada gunanya Mohamed Azmin berlakon di hadapan rakyat, terjun masuk longkang, mengangkat sampah dan sebagainya. Sedangkan hakikatnya isu denggi dan sampah tidak pernah selesai sehingga ke hari ini.

Dalam menjaga hal ehwal dan kebajikan rakyat ter­utama dalam isu denggi yang semakin membimbangkan ini, saya kira rakyat di Selangor tidak perlukan seorang menteri besar yang hanya pandai berlakon terjun membersihkan longkang di depan lensa kamera semata-mata, tetapi rakyat perlukan seorang menteri besar yang walk the talk dalam kata-kata dan tindakannya.

Justeru, adalah lebih baik Mohamed Azmin me­numpukan perhatian bagi menyelesaikan isu denggi. Ja­nganlah terlalu mahu bermain politik apatah lagi me­lakukan sandiwara politik. Ini kerana masalah penyakit itu melibatkan nyawa manusia dan tiada galang ganti­nya, biar semaju mana pun sesebuah negeri tersebut. ­Mohamed Azmin perlu belajar memahami hakikat ini!

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO Selangor.