Sikap Mohamed Azmin itu boleh penulis sifatkan sebagai ‘pelik bin ajaib’. Ini kerana sepatutnya Timbalan Pre­siden PKR tersebut menganggap itulah kesempatan terbaik kepada beliau dan Kerajaan Negeri Selangor membentangkan fakta apa sebenarnya berlaku.

Tetapi Azmin memilih untuk melepaskan peluang ke­emasan tersebut kerana terlalu prejudis terhadap media tertentu. Selama ini, biarpun pelbagai pendedahan dibuat dan wujud pelbagai keraguan berhubung penjualan tanah berkenaan sehingga memaksa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) campur tangan, Azmin tetap mempertahankan bahawa tiada apa-apa kepincangan berlaku.

Persoalannya, kenapakah beliau takut untuk membenarkan media tertentu menghadiri majlis taklimat tersebut? Lebih menghairankan Azmin hanya menghantar pegawainya untuk memberi taklimat berkenaan dan lebih aneh lagi ia tidak boleh dilaporkan oleh media yang hadir.

Penulis tertanya-tanya adakah isi kandungan taklimat itu mengandungi fakta-fakta yang direka dan jika dilaporkan oleh media ia boleh mewujudkan lebih banyak kemusykilan? Jika tidak kenapakah Azmin tidak membenarkan perkara itu dilaporkan supaya rakyat boleh me­ngetahui kedudukan sebenar?

Sementara soal ketelusan menjadi persoalan, apa yang berlaku juga membuktikan kebebasan media yang kononnya dijanjikan oleh Pakatan Harapan hanya sekadar omong kosong. Azmin sepatutnya tidak perlu takut untuk berhadapan dengan mana-mana juga media, apatah lagi jika ia melibatkan isu berkaitan soal integriti dan kredibiliti kerajaan negeri. Kalau ada media melaporkan berita tidak benar, mereka boleh mengambil tindakan undang-undang - satu tindakan yang cukup popular dalam kalangan pemimpin-pemimpin PKR dan DAP.

Oleh itu, penulis boleh merumuskan melalui tindak tanduk Azmin menghalang media tertentu daripada menghadiri taklimat tersebut membuktikan ada sesuatu yang tidak kena. Mungkin Azmin sudah ketandusan hujah untuk ‘menghalalkan’ penjualan tanah Ijok yang dikatakan menganiaya peneroka.

Sebagai Menteri Besar, Azmin sepatutnya lebih matang untuk menangani isu-isu besar seumpama itu. Selama ini sudah banyak tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Tetapi pemimpin-pemimpin BN bersedia menghadapi­nya walaupun sebahagian besarnya lebih kepada tohmahan dan fitnah. Namun sikap ini gagal dicontohi oleh Azmin. Dalam apa juga isu yang berlaku di Selangor, Azmin bukannya berusaha menyelesaikannya tetapi lebih selesa untuk mempolitikkannya atau menyalahkan pihak lain.

Azmin perlu mengakui tidak ada mana-mana kerajaan yang sempurna, tetapi sebuah kepemimpinan kerajaan yang baik adalah sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan dan menangani sesuatu isu dengan kematangan, bukannya mahu melihat dari segi politik semata-mata.

Menyentuh soal media juga, penulis turut berasa hairan dengan sikap pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang resah gelisah apabila kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar di Dewan Rakyat. Selama ini, mereka mendakwa kononnya menjadi mangsa berita palsu, tetapi apabila usaha dilakukan bagi membanteras perbuatan tersebut mereka menentang pula.

Sekali lagi ‘pelik bin ajaib’ perangai Pakatan Harapan dalam berpolitik. Jika mereka tidak pernah menyebarkan berita tidak benar, kenapa perlu takut? Kenapa perlu melihat pembentangan RUU tersebut dari segi politik? Atau adakah mereka bimbang kehilangan modal politik menje­lang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)?

Selama ini sudah terbukti pemimpin-pemimpin pakatan itu sering menyebarkan berita tidak benar mengenai kerajaan. Mereka mempercayai sepenuhnya laporan buruk media asing mengenai Malaysia. Laporan itu dijadikan modal bagi meraih sokongan rakyat bagi menggambarkan kerajaan BN penuh dengan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Malah kita masih ingat ketika kempen PRU-13, pelbagai fitnah mereka lemparkan kepada kerajaan termasuklah kononnya terdapat lebih 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk ke negara ini untuk mengundi BN.

Penulis sebenarnya tidak terkejut dengan sikap pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dalam isu ini, sebaliknya apa yang mereka lakukan hanya mewujudkan persoalan sejauh manakah jujurnya mereka berpolitik secara berhemah. Pembentangan RUU itu bukan bermotif politik. Beberapa negara lain juga semakin sedar bahaya berita palsu sehingga ada antara mereka sudah pun menggubal undang-undang lebih awal dari Malaysia.

Oleh itu, pemimpin-pemimpin pakatan tersebut perlu ikhlas dalam soal ini. Jika benar mereka tidak mempunyai apa-apa motif atau agenda maka mereka sepatutnya memberikan sokongan penuh kepada pembentangan RUU ber­kenaan. Kalau ada kelemahan mereka boleh memberikan pandangan ketika perbahasan.

Penulis berharap pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan tidak terus bermain politik dalam soal tersebut. Kalaupun mahu mencari kemenangan dalam pilihan raya, lakukanlah secara berhemah dan bukannya bergantung kepada berita palsu atau berita tidak benar. Jika apa yang penulis kata ini tidak betul maka sokonglah RUU itu dan untuk Azmin belajarlah memahami istilah kebebasan media yang sebenar-benarnya!

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO Selangor.