KERATAN Utusan Malaysia semalam.

Apa yang menjadi persoalan kepada penulis ialah bagaimanakah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali boleh begitu bangga berucap berapi-api dalam majlis pelancaran manifesto tersebut ketika pada hari yang sama rakyat Selangor menderita akibat terputus bekalan air?

Manifesto Pakatan Harapan menabur pelbagai janji, sama seperti mana janji Mohamed Azmin dan Kerajaan PKR yang turut dianggotai oleh DAP dan Pas bagi memastikan kesejahteraan rakyat. Ketika mula mentadbir kerajaan negeri, mereka dilihat hebat apabila menjanjikan air percuma tetapi kesudahannya janji hanya tinggal janji, rakyat Selangor menderita sekali lagi apabila bekalan air terputus.

Seperti biasa Mohamed Azmin terus kekal dengan ‘politik menuding jarinya’. Beliau dan beberapa pemimpin kerajaan negeri menuduh Kerajaan Pusat bertanggungjawab dalam krisis air tersebut, sedangkan umum mengetahui Selangor tidak akan menghadapi masalah itu jika kerajaan negeri tidak melengah-lengahkan penstrukturan semula bekalan berkenaan.

Mohamed Azmin juga cuba bermain politik dan ­mengalih isu apabila membangkitkan soalan berkaitan 1MDB dan hutang negara kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, namun usaha itu gagal apabila Perdana Menteri de­ngan tenang menganggap krisis air Selangor lebih kritikal.

Berikutan sikap Mohamed Azmin itu, penulis percaya manifesto yang dibentangkan oleh Pakatan Harapan ha­nyalah omong kosong dan sekadar mahu memperdaya rakyat untuk menyokong mereka. Kalaulah krisis air di Selangor pun tidak mampu diselesaikan, bagaimanakah rakyat boleh mempercayai segala yang terkandung dalam manifesto mereka. Seperti mana dikatakan oleh banyak pihak, manifesto Pakatan Harapan ibarat madu yang dihidangkan dalam cawan beracun. Manis diminum tetapi membawa kemudaratan di belakang hari.

Mohamed Azmin boleh sahaja terus mengamalkan politik menuding jari atau menyalahkan pihak lain, tetapi rakyat Selangor semakin memahami dan mengerti bahawa sejak beliau menjadi Menteri Besar, negeri itu bukannya bertambah baik malah dilumuri dengan pelbagai masalah dan skandal.

Lebih daripada itu, suara rakyat semakin dipinggirkan. Hari demi hari satu demi satu suara rakyat kede­ngaran melibatkan pelbagai isu. Isu perumahan rakyat tidak selesai, penjualan tanah di Ijok penuh misteri dan terbaharu, krisis air pula berlaku sehingga mendatangkan penderitaan kepada lebih dua juta penduduk Se­langor.

Itu belum lagi mengambil kira bagaimana pasukan bola sepak Selangor dianaktirikan apabila tidak dibenarkan bermain di gelanggang tradisi mereka iaitu Stadium Shah Alam dengan pelbagai alasan.

Sepatutnya dalam menangani isu berkaitan rakyat, Mohamed Azmin perlu berjiwa besar sebagai pemimpin. Kehebatan seorang pemimpin bukan terletak kepada kebijaksanaannya berhujah atau menabur janji tetapi lebih daripada itu memastikan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

Kalau merasakan Pakatan Harapan lebih hebat daripada Barisan Nasional (BN), buktikan melalui pelaksanaan dasar dan tindakan yang mendatangkan manfaat kepada rakyat selain memastikan mereka tidak menderita akibat kegagalan kerajaan negeri mentadbir.

Bagaimanapun keadaan itu tidak berlaku di Selangor. Kerajaan negeri lebih banyak mahu bermain politik biarpun bukan pada musim pilihan raya dan sekarang Mohamed Azmin bersama-sama pemimpin DAP dan PPBM menabur pula janji baharu melalui manifesto yang kononnya menjanjikan harapan kepada rakyat.

Tetapi apabila kita mengkaji manifesto tersebut, kita boleh bersetuju dengan pandangan pelbagai pihak termasuk pakar-pakar ekonomi, ia sebenarnya satu ancaman kepada negara jika dilaksanakan. Pembentangan manifesto tersebut juga menunjukkan sikap tidak konsisten Pakatan Harapan yang Mohamed Azmin menjadi Naib Presidennya.

Sebelum ini Pengerusi mereka, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan BR1M adalah rasuah dan dedak yang diberikan oleh kerajaan BN bagi meraih sokongan tetapi sekarang mereka sendiri berjanji untuk melaksanakannya. Begitu juga dengan menghapuskan tol di Selangor yang berbuat demikian ialah Kerajaan Pusat, bukan kerajaan negeri pimpinan Mohamed Azmin.

Oleh itu, penulis berharap rakyat tidak akan mudah terpengaruh dengan janji-janji kosong yang terkandung dalam manifesto tersebut. Lagipun boleh dikatakan hampir keseluruhan apa yang dinyatakan di dalamnya sudah dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat.

Jangan terpe­rangkap dengan mainan politik Pakatan Harapan dan jangan gadaikan masa depan kepada perkara yang tidak pasti kerana kesudahannya yang akan menanggung akibatnya ialah anak cucu kita.

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO Selangor.