“Kau kena realistik, berpijak di bumi nyatalah sebab parti itu kini tonggak kerajaan Malaysia Baharu,” katanya lagi, menyebabkan Tumpang lalu tersenyum - secara profesional mengakuinya.

Kalau tengok website PKR dan portal Malaysiakini yang senaraikan pendahulu dalam pemilihan itu setakat malam Ahad 21 Oktober, untuk Naib Presiden yang menawarkan empat kekosongan, tiga adalah daripada team Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPT) yang perlu diisi 20 orang, kesemua 15 yang mendahului dari nombor 1 hingga 15, datang dari kem Azmin. Baki yang lima sahaja dari team Rafizi Ramli. Itu pun beza undi dengan lima orang terakhir itu dengan kedudukan ke-21 hingga 25 begitu tipis (lima ini juga orang Azmin).

Barangkali lima yang akhir ini akan terkeluar dari senarai 20 pemenang selepas pengundian berakhir di Sarawak 10 November depan.

Untuk kerusi Naib Presiden, Nurul Izzah setakat ini meninggalkan terlalu jauh tujuh pesaingnya. Setakat ini, anak sulung Anwar itu dipisahkan dengan perbezaan antara 12,000 hingga 14,000 undi dengan mereka di kedudukan ketiga, empat dan lima (Dr. A. Xavier Jayakumar, Tian Chua dan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin). Di tangga kedua adalah Zuraida Kamaruddin, dengan beza 4,000 undi dari Xavier. Seorang lagi calon dari kem Rafizi, Datuk Johari Abdul di kedudukan ketujuh.

Begitupun, dari sumber yang dipercayai, keputusan kelak boleh berubah, mengambil kira penentuan undi di Melaka dan Negeri Sembilan yang menyudahkan pemilihannya Sabtu lalu tetapi keputusannya terpaksa ditangguhkan. Di Melaka, sejumlah 2,000 undi dilaporkan ‘hilang’ membabitkan lima daripada enam cabang PKR negeri itu.

Semua calon bertanding termasuk Azmin dan Rafizi masih berpeluang menang. Di Sabah dan Sarawak, mencatat jumlah pengundi tertinggi. Sabah sahaja memiliki 130,000 pengundi. Katakanlah diambil majoriti di setiap cabang (kesemuanya 56 cabang di Sabah dan Sarawak) sebanyak 300 undi. Dikalikan 56 dengan 300, menjadikan 15,000 undi kesemuanya. Jadi, yang ketinggalan usah gusar, masih ada harapan. Boleh potonglah.

Pemilihan selanjutnya pula di Kedah pada Jumaat 26 Oktober, sebelum keesokannya, 27 Oktober sekali lagi di Kedah dan Peraks serta diikuti Ahad, 28 Oktober menyelesaikan baki pengundian cabang di Selangor (fasa III).

Ada bertanya kepada Tumpang lalu, mengapa di Kedah sampai dua hari dibuat pemilihan? Ahlinya tidaklah ramai pun. Kalau Sabah pada 4 dan 5 November dan Selangor berbaloilah sebab ahli PKR banyak di dua negeri itu. Adakah kerana Kedah kubu kuat Rafizi, selain itu kawasan Johari, sekali gus lebih ramai nanti digesa keluar membantu Rafizi? Wallahu a’lam.

Diimbas pemilihan PKR 2014, persaingan Timbalan Presiden waktu itu membabitkan tiga penjuru antara Azmin, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Saifuddin Nasution Ismail. Sudah jadi rahsia umum, Anwar ketika itu pada awalnya memberi sokongan kepada Khalid yang juga Menteri Besar Selangor, tetapi kemudian menghala ke Saifuddin, tetapi kedua-duanya kalah. Yang menang adalah Azmin.

Pemilihan kali ini menarik untuk dianalisis, sama ada kesungguhan Rafizi untuk memperlihatkan dirinya calon pilihan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh berjaya atau tidak. Sehingga Ahad, Rafizi dikatakan ketinggalan hampir 1,200 undi daripada Azmin.

Adakah hint yang ditunjukkan dalam persaingan Timbalan Presiden dan Naib Presiden yang kelihatan tidak solid menyokong Anwar, membuatkan Anwar sendiri ‘dalam dilema’?

Ada kalangan pemimpin PKR yang ditemui Tumpang lalu ketika kami sembang santai dalam kafetaria ahli Parlimen minggu lepas beranggapan Anwar seorang ahli politik yang hebat, matang dan demokrat. Anwar diyakini tidak lagi campur tangan dalam urusan pemilihan parti. Ditambah lagi beliau bakal Perdana Menteri kelapan.

Ini terbukti sewaktu kempen pilihan raya kecil di Port Dickson tempoh hari, dengan semua kepemimpinan PKR, baik Azmin, Rafizi mahupun Tian Chua dan Shamsul Iskandar, turun padang bersungguh-sungguh untuk memenangkan Anwar.

Sebab itu, ramai dalam PKR tidak yakin Anwar mengambil jalan berpihak kepada kem tertentu. Sebaliknya, Presiden PKR yang juga Ketua Umum PH itu kelihatan meraikan kepelbagaian.

Adakah mungkin Rafizi merasakan dirinya ‘dekat’ dengan Anwar sehingga dia boleh ‘mempergunakan’ Anwar? Mengenali perwatakan Anwar, Tumpang lalu tidak fikir Rafizi satu-satunya pemimpin yang menjadi sandaran Anwar.

Rafizi barangkali perlukan sedikit masa untuk matang dan dewasa. Apabila tempoh hari Rafizi mengatakan Dr. Mahathir bukanlah faktor utama Pakatan Harapan memenangi PRU-14 dengan mengambil kira prestasi buruk pakatan itu di Kedah, rakan-rakan sekutu mempersoalkan mengapa perlu Rafizi ‘menyerang’ Dr. Mahathir selepas memperoleh mandat rakyat untuk berkuasa?

Bila mereka beralih kepada Azmin pula, ramai melihatnya tampak positif. Kalau dilihat Azmin, kejayaan terbesarnya hari ini adalah Kajian Separuh Penggal RMK-11 yang disediakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (julung kali portfolio itu diwujudkan) yang diketuainya dan kemudian dibentangkan oleh Perdana Menteri minggu lalu.

Malah, boleh dilihat Azmin dari segi ketangkasan kepimpinan. Kesetiaannya kepada parti di kala sukar di era reformasi 20 tahun lepas sukar dicari hari ini. Pada awal 1999 lagi selepas Anwar dipecat dari UMNO dan kerajaan, Azmin sebenarnya mempunyai pilihan untuk meninggalkan Anwar. Tapi beliau tidak mengambil ‘peluang keemasan’ itu.

Dari aspek kepimpinan, Azmin menunjukkan wibawanya selepas menyandang jawatan Menteri Besar Selangor. Dan masih ingat tak lagi bagaimana ‘Langkah Kajang’ yang digarap oleh Rafizi untuk menaikkan seseorang menjadi menteri besar, tapi akhirnya gagal. Adakah percaturan tidak menjadi Rafizi itu boleh dikaitkan dengan soal kepimpinan juga?

Apa pun, Azmin membuktikan beliau tahan lasak diuji. Hasil PRU-14, UMNO-BN Selangor dimalukan lebih teruk lagi 9 Mei lepas, dengan cuma terdaya meraih empat kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 56, sementara dua kerusi Parlimen sahaja diperoleh daripada keseluruhan 22.

Demikianlah ‘penangan’ Azmin. Dan sehingga ke tahap ada juga yang tidak menidakkan kemunculan gandingan ‘AA’ - Anwar-Azmin kelak.

l Mohamed Azmin Ali 34,383 undi (50.93%)

l Rafizi Ramli
33,122 undi (49.07%)