Secara saintifiknya, azam atau resolusi tahun baru didefinisikan sebagai satu komitmen yang diikrar oleh seorang individu terhadap satu (atau lebih) matlamat peribadi, projek atau perubahan tabiat untuk dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan sesuatu tahun itu.

Elemen utama azam tahun baru yang membezakannya dengan azam-azam lain ialah ikrar ini dilakukan sempena tahun baru yang secara simboliknya disifatkan sebagai 'permulaan baru kehidupan'.

Azam tahun baru, berbeza dengan azam seseorang yang baru kahwin, iaitu berazam mendapatkan anak dalam tempoh sembilan bulan dari tarikh akad nikah atau azam orang baru dapat kerja, yang berazam naik pangkat dalam tempoh 12 bulan. Azam tahun baru lebih luas skop dan lebih sejagat definisinya ke atas azam-azam situasi lain.

Dari sudut agama, amalan merangka azam memang wujud. Masyarakat Islam misalnya, pada malam 30 Zulhijjah sebelum memasuki 1 Muharam, lazimnya tazkirah yang disampaikan menjurus kepada azam untuk perubahan diri para Muslimin supaya lebih dekat kepada agama.

Mengikut kajian ahli sejarah, tamadun purba Babylon (kini sebahagian daripada Iraq) melafazkan janji ikrar kepada dewa mereka pada permulaan setiap tahun bahawa mereka akan memulangkan barangan yang dipinjam dan membayar hutang mereka.

Masyarakat Empayar Roman pula memulakan setiap tahun dengan membuat perakuan janji kepada dewa Janus, iaitu asal-usul nama bulan Januari.

Secara ringkasnya, jika diselidik dari sudut sosiologi, ternyata langkah memasang azam sudah diamalkan zaman berzaman dan dari aspek agama Islam pun tidak salah, malah digalakkan kerana perbuatan yang menggerakkan diri menuju ke arah kejayaan adalah selari dengan prinsip-prinsip Islam itu sendiri.

Namun yang sering menjadi bahan ejekan sahabat handai ialah proses pelaksanaannya. Menghalusi, merangka dan menggariskan azam adalah satu proses yang harus dipisahkan daripada fantasi dan emosi. Sebaliknya, menggubal azam hendaklah berpaksi kepada realiti keupayaan dan kesanggupan diri. Jika melampau-lampau, azam itu bertukar menjadi sekadar ilusi semata-mata. Atau lebih buruk, pasang azam tapi tiada usaha dilakukan untuk mencapainya.

Kajian Richard Wiseman dari University of Bristol pada 2007 membabitkan 3,000 responden menunjukkan 88 peratus yang membuat azam tahun baru gagal merealisasikan matlamat mereka, meskipun 52 peratus daripada mereka menyatakan keyakinan tinggi pada awalnya.

Kajian Wiseman juga mendapati kaum lelaki mencapai matlamat azam mereka 22 peratus lebih kerap apabila mereka menetapkan sasaran, menggunakan sistem matlamat kecil ditetapkan seperti menyimpan RM1 seminggu berbanding 'mengurangkan berat badan'.

Kaum wanita pula mencapai matlamat mereka 10 peratus lebih lagi apabila mereka mengumumkan matlamat azam mereka dan menerima sokongan daripada rakan-rakan.

Memetik tulisan Frank Ra mengenai azam tahun baru dalam bukunya yang berjudul, A course in happiness: ''Azam adalah lebih bersifat kekal apabila dikongsi, daripada segi dengan siapa anda kongsikan manfaat azam anda, dan dengan siapa anda kongsi laluan bagi mengekalkan azam anda. Sokongan rakan-rakan memberi perbezaan dalam kadar kejayaan''.

Untuk meninjau azam-azam yang lazim diikrarkan tetapi tidak pernah berjaya dicapai, saya meminta rakan-rakan sepejabat menyediakan senarai azam seumpamanya, berdasarkan pengalaman peribadi mereka. Perkara yang ada persamaan, saya senaraikan di bawah. Mungkin ada di antara tujuh azam ini pernah anda ikrar pada 31 Disember lalu.

1 Mahu kurus

Diet bermula 1 Januari. Naluri sejagat manusia hari ini sentiasa mahukan tubuh yang kurus dan langsing, hingga soal bentuk badan menjadi obsesi. Secara umumnya, azam mahu kurus didominasi kaum wanita. Ada yang sememangnya sudah kurus, mahu lebih kurus lagi. Tetapi bila sampai bab makanan yang seimbang dan berzat, lazimnya tidak menjadi isu. Maka berat badan pada 1 Januari 2013 ialah 54 kilogram (kg), pada 31 Disember 2013 menjadi 64 kg. Naik 10 kg!

2 Mahu berhenti

hisap rokok

Bagi perokok tegar, jika menaip azam ini kemudian dicetak bersaiz poster dan ditampal di depan pintu sekali pun, tidak akan merubah apa-apa, melainkan dia sakit atau ahli keluarganya sakit kesan tabiat merokok. Hakikatnya, azam ini amat rumit. Tanpa ada kesungguhan jiwa dan raga, nikotin yang telah menyerap dalam sistem badan akan bergelodak. Dalam kebanyakan kes, cubaan berhenti bertukar menjadi makin kuat pula tabiat merokok!

3 Mahu berjimat-cermat

Sesuai dengan keadaan ekonomi negara yang tidak menentu, ramai berkobar-kobar untuk tidak berbelanja boros. Berjanji akan membeli barangan keperluan sahaja. Lawatan ke pusat beli-belah dikurangkan. Pembelian dalam talian ditiadakan. Kad kredit dipatahkan. Tapi bila musim perayaan, dia orang pertama yang membeli-belah sakan! Siapa boleh menahan diri melihat kasut cantik diperaga di tingkap kedai?

4 Mahu selesaikan

hutang-piutang

Bila berbelanja sakan tahun lepas, tentulah aliran tunai menyusut. Paras had hutang kad kredit mencecah maksimum. Semua ini boleh dibuat. Perlahan-lahan berkayuh ke bank. Yang kroniknya, hutang bank sanggup bayar tapi hutang pengajian PTPTN dipandang sepi.

5 Menamatkan zaman

bujang

Sebagaimana tajuknya, ia membabitkan kategori orang bujang. Daripada responden yang ditanya, kebanyakan mereka tidak pun memiliki teman istimewa. Bagaimana hendak mencapai azam tersebut sedangkan kriteria pertama tidak pun dipenuhi?

6 Mahu kereta baru

Dengan segala kos kehidupan meningkat, semua mahu menambah pendapatan, mahu kaya. Masalahnya, tiada siapa mahu menyusun semula gaya hidup. Jika gaji RM3,000 sebulan, gunalah kenderaan yang sewajarnya iaitu ansuran bulanan tidak melebihi RM900. Formulanya ialah kos kenderaan tidak harus melebihi satu per tiga gaji kasar. Ini kerana kos minyak kereta pula sekitar RM500 sebulan. Malangnya, ramai yang terus memilih kereta mewah iaitu dua per tiga gaji pokok. Biar papa asal bergaya, kekal jadi formula ramai.

7 Mahu sambung belajar

Perkara ini menjadi idaman ramai. Setelah berhempas-pulas mendapatkan ijazah pertama, tentu sekali ijazah sarjana mahu dikecapi. Apatah lagi dengan ijazah sarjana, jaminan kerja bergaji lebih baik menanti. Masalahnya, bila sudah bekerja, sudah seronok dapat gaji lalu sulit pula rasa hendak menyambung pelajaran.