Tahun baharu berkait rapat dengan azam baharu. Sejurus selepas detik 12 tengah malam dan kegembiraan ho-ha, ho-ha pesta bunga api berakhir, maka berkobarlah semangat masing-masing mahu menanam azam baharu.

Ada macam-macam jenis azam tahun baharu. Antara yang cukup popular ialah yang bujang mahu berkahwin, yang berisi mahu berdiet dan jaga badan (dibaca kurus), yang masih belum berpunya mahu mencari buah hati manakala yang tidak bahagia pula mahu mencari bahagia.

Oleh kerana setahun ada 365 hari, tempoh tersebut sudah lebih daripada mencukupi untuk menyempurnakan senarai tekad dan azam tersebut. Jika dirancang betul-betul, 10 azam tahun baharu pun boleh dicapai!

Bagaimanapun bukan semua orang mampu menyempurnakan hasrat tersebut. Kalau ada satu yang tertunai daripada puluhan azam yang disenaraikan pada awal tahun sudah dikira cemerlang. Ada yang hanya mampu bertahan sebulan sahaja, selepas tu azam entah ke mana atau ‘ke laut’ bahasa orang sekarang! Bagi yang lebih cekal dan dapat bertahan beberapa bulan atau sehingga setengah tahun pun sudah dikira baik.

Azam tahun baharu ini ba­nyak cabarannya.

Cabaran sebenar ialah bila mahu memulakan azam itu. Dengan mengambil semangat tahun baharu, semua azam sepatutnya bermula 1 Januari. Bukan 1 Februari, 1 Mac atau 1 April atau pertengahan tahun yang sudah dikira bukan azam tahun baharu lagi. Kebanyakan yang berazam tidak tahu bila mahu memulakan resolusi tahun baharu ini.

Oleh kerana terlalu lama tertangguh, azam tinggal azam.

Kepada yang benar-benar mahu membuat resolusi tahun baharu, ada beberapa tip atau petua diberikan oleh pakar-pakar motivasi diri. Antara nasihat mereka jangan terlalu banyak menyenaraikan azam tahun baharu. Bukan apa takut tak terkejar, tak tertunai dan berciciran di tengah jalan. Cukuplah satu atau dua dahulu yang mudah-mudah dan dekat dengan diri terutama yang melibatkan sikap dan perlakuan diri sendiri.

Sebagai contoh kalau selama ini kita dilihat sebagai kaki me­ngular, ponteng atau sering hilang sehingga tak dapat dikesan pada waktu pejabat dan hanya muncul untuk ‘bergesel bahu’ dengan bos-bos sahaja, mulakan tahun baharu dengan tekad membuang segala sikap jijik itu.

Berazamlah untuk mengubah diri dan menjadi kakitangan yang lebih jujur dalam bekerja. Sementelah bekerja itu satu ibadah, berazamlah untuk menyempurnakan ibadah itu dengan baik. Sekurang-kurangnya upah yang diperoleh setiap bulan lebih manis nikmatnya.

Jangan bermalas-malas untuk memulakan azam. Malas adalah faktor utama yang bakal mengebumikan azam sebelum bermula. Mulakan dengan rentak yang perlahan terlebih dahulu, sedikit demi sedikit tetapi sentiasa konsisten sehingga hujung tahun.

Jangan hangat-hangat tahi ayam. Pada masa yang sama perlu ada kesungguhan untuk menyelesaikan sehingga ke garisan penamat.

Keazaman perlu lahir daripada dalam diri sendiri dan bukan kerana ikutan. Jangan sekadar berazam kerana mengikut trend. Bila selebriti, personaliti pujaan dan artis kegilaan ramai berazam, maka kitapun terpesona dan terikut-ikut berazam tanpa sebarang matlamat yang jelas.

Apa yang paling penting ialah ketahanan diri untuk menyelesaikan azam tersebut. Jangan mudah berputus asa hanya kerana ada cabaran atau kekangan kecil pada pertengahan jalan. Jika tidak ada orang lain mahu menyokong dan menjadi pendorong, jadikan diri sendiri sebagai pendorong.

Semua orang sedang berkobar-kobar menanti ketibaan 2018 dua hari lagi. Setiap orang masing-masing sudah bersedia dengan azam baharu. Tetapi sebelum itu tolehlah seketika ke belakang dan bertanya bagaimana dengan azam tahun baharu 2017, sudah tertunaikah? Selamat tahun baharu 2018.