Kemeriahan sebenar temasya ini akan dapat disaksikan malam ini pada acara pembukaan gilang gemilang. Kira-kira 84,000 ­keping tiket untuk menonton acara itu sudah habis dijual.

Tema dan konsep persembahan pada acara perasmian yang sehingga sekarang masih lagi menjadi ‘rahsia’ penganjur sudah tentu dinanti-nantikan oleh berjuta-juta penonton sama ada di Stadium Bukit Jalil mahupun di rumah di seluruh rantau Asia Tenggara ini.

Apa yang menarik, sejak beberapa tahun lalu, temasya sukan ini sudah tidak lagi ‘berwajah’ Asia Tenggara sahaja dari segi pencapaian atlet. Para peserta yang mengambil bahagian bukan sahaja cemerlang di peringkat Asia Tenggara atau Asia tetapi juga mencipta nama dan rekod pada peringkat antarabangsa dan dunia.

Rantau ini sudah melahirkan ramai juara dunia dan mereka akan bertanding pada temasya ini.

Nama-nama hebat selaku pemenang pingat dalam kejohanan sukan dunia seperti Azizulhasni Awang (lumba basikal), Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong (akuatik), Lee Chong Wei (badminton), Joseph Schooling (renang) selain beberapa atlet muda lain seperti sensasi pelari pecut tanah air Khairul Hafiz Jantan sudah tentu menjadi tarikan utama Sukan SEA Ke-29 ini. Persembahan mereka sudah pasti menjadi tumpuan dan dinanti-nantikan oleh seluruh peminat sukan di rantau ini. Berdasarkan kepada prestasi semasa mereka, dijangkakan lebih banyak rekod baru dicatatkan pada temasya kali ini.

Nama-nama besar ini sudah pasti akan menjadi tumpuan peminat sukan tanah air dan rantau ini. Semua orang tertunggu-tunggu untuk melihat mereka bertanding dan menunjukkan prestasi bertaraf dunia masing-masing.

Kalau selama ini pertandingan yang disertai dan kejayaan yang diraih mereka hanya dapat ditonton di kaca televisyen, kali ini mereka bertanding di depan mata di tanah air sendiri.

Inilah peluang terbaik kepada seluruh peminat sukan untuk hadir dan menyaksikan sendiri secara langsung bintang-bintang dunia bertarung.

Inilah juga kesempatan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk merasai sendiri ‘keseronokan’ setiap acara yang dipertandingkan lebih-lebih lagi jika melibatkan atlet tanah air. Keseronokan itu termasuklah berkongsi detik-detik detik cemas, tegang, sedih, kecewa, terharu dan ­kegembiraan.

Temasya Sukan SEA juga adalah waktu terbaik untuk seluruh peminat sukan di negara ini untuk sama-sama memberi sokongan dan mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi kepada peserta yang bertanding tanpa mengambil kira negara mana mereka wakili.

Rakyat Malaysia pernah ­melakukannya pada 16 tahun lepas ketika menjadi tuan rumah sukan yang sama. Kali ini sudah pasti Malaysia sudah mahu memberikan yang lebih baik daripada apa yang dipersembahkan ketika kontinjen negara menjuarai temasya itu pada 2001 dan ketika menjadi hos Sukan Komanwel pada tahun 1998.

Persembahan terbaik ini bukan hanya di gelanggang pertandingan tetapi juga dalam segala aspek lain sepanjang temasya ini.

Kira-kira 9,000 sukarelawan sudah bersiap sedia untuk menggalas tanggungjawab itu. Mereka sudah menjalani latihan intensif sejak setahun lalu bagi tujuan ini.

Para sukarelawan bertungkus-lumus berkorban waktu, tenaga, keluarga dan wang ringgit demi satu tujuan.

Sebahagian pula ada yang mengorbankan pekerjaan, berhenti kerja atau mengambil cuti tanpa gaji demi memastikan kejayaan sukan dwitahunan ini. Besar pengorbanan para sukarelawan ini. Apa yang mereka lakukan sangat bertepatan dengan tema Kuala Lumpur 2017 ‘Bangkit Bersama.’

Dalam pada itu, ketika semua pihak terlibat termasuk penaja sama ada kecil atau besar serta para sukarelawan memberi sumbangan dan sokongan tidak ber­belah bahagi kepada penganjuran sukan ini, penulis merasa sedikit terkilan melihat respons beberapa pusat beli-belah utama di negara ini. Ketika meninjau ke beberapa pusat beli-belah minggu lalu, tidak terasa langsung suasana Sukan SEA 2017 di tempat tersebut. Tidak ada poster, bunting atau gegantung dipasang. Kalaupun ada hanyalah di kedai-kedai yang ada kena mengena dengan produk sukan yang dipakai atlet bertanding sahaja.

Aktiviti promosi untuk temasya sukan itu jauh sekali. Sambutan Bulan Kemerdekaan juga ­menerima nasib yang sama.

Program atau aktiviti promosi masih tidak kelihatan di pusat beli-belah ini walaupun Ogos sudah hampir memasuki minggu terakhir.

Keadaan ini sangat berbeza dengan promosi musim perayaan atau acara sukan bertaraf dunia seperti Piala Dunia dan Sukan Olimpik. Pusat-pusat beli-belah ini berlumba-lumba mengadakan pelbagai promosi walaupun acara atau perayaan tersebut hanya tiba dua tiga bulan lagi.

Dari satu segi kompleks beli-belah terlibat tidak boleh dipersalahkan. Kuala Lumpur 2017 bukanlah satu acara sukan ‘besar atau hebat’ yang mampu memberikan faedah atau pulangan keuntungan perniagaan kepada mereka. Dalam dunia yang semuanya melihat keuntungan sebagai faktor paling penting, Kuala Lumpur 2017 tidak menepati ‘falsafah’ perniagaan kompleks beli-belah ini.

Apa-apapun mulai esok, Kuala Lumpur 2017 akan bergema dengan kehangatan sorakan para penonton. Beribu-ribu atlet dari negara ASEAN sudah tiba untuk menyemarakkan festival ini. Sebagai tuan rumah, rakyat Malaysia tidak sepatutnya ketinggalan. Lupakan seketika perbezaan jika ada. Ayuh kita semarakkan temasya hebat ini!