Perhatikan info di sebelah kanan anda. Tengok sahaja hati sudah menyala-nyala mahu mendaftar sebagai pengundi.

Dari sumber yang layak di­percayai, daripada 3.7 juta yang belum mendaftar pengundi setakat 31 Mac lalu, lebih 2.5 juta atau hampir 70 peratus terdiri dari kalangan anak muda.

Lebih mengejutkan lagi, hampir 1.8 juta orang (45 peratus) tak mendaftar itu anak muda Melayu.

Di manakah kelibat anak muda Melayu ini? Apa susah sangatkah mahu mendaftar dan menjadi pengundi? Adakah mereka ini jenis rendah jati diri atau tidak mempunyai sema­ngat patriotik membela masa depan negara melalui proses demokrasi. Atau mereka memang tidak tahu kepentingan mengundi untuk masa depan mereka.

Susah sangatkah mahu daftar sebagai pengundi dengan pelbagai kemudahan dan saluran yang disediakan SPR? Cuma tunjuk muka di mana-mana kaunter pendaftaran di pejabat SPR atau pejabat pos berdekatan dengan bawa kad pengenalan dan isi borang. Itu sahaja.

Proses pendaftaran bukannya lama sangat pun. Hanya 5 minit sahaja. Takkan itupun nak berkira kononnya tak ada masa lapang dan menyusahkan kerana sukar nak letak kende­raan.

Mereka sepatutnya ambil teladan daripada kesungguhan bangsa lain khususnya Cina yang begitu bersemangat untuk ubah nasib mereka melalui proses demokrasi. Kesedaran dalam kalangan mereka lebih tinggi berdasarkan kepada pemerhatian Tumpang Lalu. Ini juga mungkin disebabkan sikap semula jadi bangsa mereka yang berorganisasi, berpersatuan dan lebih prihatin terhadap sekeli­ling mereka.

Bila ada sahaja penganjuran untuk pendaftaran pengundi oleh parti mereka atau SPR, berduyun-duyun anak muda mereka kunjungi kaunter pendaftaran. Sebab itu tak mustahil di kebanyakan tempat, kadar peningkatan pengundi mereka cukup tinggi.

Ini sama ada pengundi baharu atau pun yang pindah tempat mengundi. Buktinya tengok sahaja laporan semasa proses bantahan pengundi di Selangor sebelum ini dengan pembangkang dan badan bukan kerajaan promereka mendakwa lebih 90 peratus daripada 4,000 pengundi yang dibantah terdiri daripada bangsa Cina.

Parti politik Melayu juga perlu ubah sikap. Tidak harus berlapang dada mengharapkan SPR semata-mata. Sepatutnya mereka ambil iktibar melihat parti politik lain yang amat agresif menyuntik kesedaran kepada anak bangsa mereka.

Beginilah sikap sebilangan Me­layu. Peluang yang terbentang luas sering dipersiakan tanpa dimanfaatkan hak yang ada.

Mereka sering amalkan budaya biarlah orang lain buat dulu, nanti kita buatlah. Melayu sering biarkan orang lain mendahului.

Sikap tidak prihatin dan pandang remeh tanggungjawab mendaftar dan mengundi ini akan menjadikan masa depan mereka kelam andai tampuk kerajaan jatuh ke tangan orang lain.

Jika Melayu hilang kuasa politiknya, dengan kuasa apa lagi yang mereka boleh harapkan. Nak harapkan kuasa ekonomi, faham-fahamlah.

Nak harapkan kuasa perpaduan, jurangnya semakin melebar pula dengan wujudnya satu dua lagi parti Melayu yang menyemarakkan lagi perpecahan orang Melayu.

Bangkit dan sedarlah wahai anak muda Melayu. Jangan diulit keselesaan sementara yang dikecapi hari ini. Ayuh! jalankan tanggungjawab anda dengan mendaftar pengundi. Pastikan ketuanan Melayu terus kekal untuk membe­la nasib bangsa Melayu. Jangan terbuai dengan janji dan harapan tak pasti.

Setiap pertubuhan, persatuan, komuniti Melayu, ibu bapa dan sanak saudara, bangkitlah.

Pujuklah mereka yang sudah cukup umur 21 tahun yang masih ‘terawang-awang’ degil ini.

 

Melayu kuasai kembali bandar jika...

SATU lagi pemerhatian yang Tumpang Lalu dapati, kuasa pengundi Melayu di bandar-bandar yang dikuasai pengundi bukan Melayu boleh diubah sebenarnya.

Mengapa pengundi Cina mendominasi kawasan bandar meninggalkan pengundi Me­layu yang hanya menguasai kebanyakan luar bandar. Padahal dari segi populasi, jumlah orang Melayu di bandar realitinya le­bih ramai daripada kaum lain?

Tetapi malangnya mereka bukannya pengundi di situ. Kebanyakan orang Melayu adalah penghijrah dari kawasan luar bandar dan mereka mengundi di kawasan asal. Apabila tiba masa pilihan raya, mereka akan balik mengundi di sana.

Berbeza dengan sikap pengundi Cina, apabila mereka bermastautin di satu-satu tempat, mereka akan menjadi pengundi di situ. Ini menyebabkan kuasa undi mereka lebih besar walaupun jumlah penduduk daripada kaum itu lebih kecil berbanding Melayu - selain sikap orang Me­layu yang tidak mendaftar.

Di sini perlu ada satu transformasi. Sudah tiba masanya pengundi Melayu lakukan perubahan dengan mengundi di tempat mereka bermastautin. Ini bagi memecah tembok penguasaan politik berasas kaum tertentu. Dan agar dapat mem­bela nasib mereka di penempatan mereka bermastautin.

Di Kuala Lumpur contoh­nya di kawasan Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai, Cheras dan Seputeh, ramai po­pulasi Melayu yang berhijrah dari luar dan menetap kerana bekerja. Namun apabila pilihan raya, mereka mengundi di kawasan asal.

Ketua UMNO Bahagian Su­ngai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunus mendakwa pembangkang menjalankan pemindahan pengundi secara besar-besaran ke kawasan dimenangi mereka pada pilihan raya lalu untuk memenangi kawasan berpotensi. Jadi, apa salahnya jika dia juga lakukan perkara sama.

Sebelum ini hanya didengari tuduhan pembangkang sahaja bahawa BN menjalankan pemindahan pengundi.

Sedangkan hakikatnya pembangkang telah lama melakukan perbuatan itu.