Seruan itu dibuat kerana pemimpin-pemimpin tersebut khususnya Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi memahami hanya perpaduan jitu dalam parti sahaja akan memastikan UMNO akan terus mampu mempertahankan kekuasaan.

Apa yang dilakukan oleh kedua-dua pemimpin tersebut bukanlah seruan baharu, malah sudah beribu-ribu kali dilafazkan bagi mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO supaya menghentikan politik sesama mereka yang akhirnya boleh merosakkan parti.

Bagaimanapun dalam pertemuan penulis dengan beberapa pihak baru-baru ini, masih ada khabar dan cerita yang tidak sedap didengar berhubung perkara berkenaan. Ada dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO masih dengan pemikiran jumud dalam politik iaitu ingin menjatuhkan antara satu sama lain semata-mata mahu memastikan pemimpin yang mereka sokong menjadi calon atau mereka sendiri mahu kekal sebagai calon dalam PRU-14.

Oleh itu, mereka mula melakukan tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai ‘kerja-kerja bodoh’ dengan cuba menghalang mana-mana individu yang berpotensi khusus­nya dalam kalangan Pemuda UMNO untuk menjadi calon.

Strategi yang digunakan pula kadangkala boleh dianggap sudah melampaui batas sehingga ada perancangan mahu menganiayai individu berpotensi berkenaan. Penulis tidak perlu menyatakan apakah strategi atau tindakan mereka, ­biarlah mereka yang ‘makan cili terasa pedasnya’, tetapi apa yang dinyatakan bukan sekadar dakwaan.

Penulis hanya mahu menyampaikan bahawa jika kelompok seum­pama itu terus dibiarkan berada dalam UMNO, mereka bakal menjadi ‘pengkhianat’ kepada parti jika individu yang mereka sokong tidak menjadi calon.

Ada antara mereka memperalatkan kedudukan sebagai pegawai kepada pe­mimpin-pemimpin kanan bagi melakukan ‘kerja-kerja bodoh’ tersebut.

Sudah pastilah apa yang dinyatakan ini tidak akan me­nyenangkan banyak pihak, tetapi ia adalah untuk memastikan puak-puak tersebut tidak terus merosakkan UMNO secara diam-diam ketika kepemimpinan parti bertungkus lumus berusaha sepanjang masa bagi meraih sokongan rakyat dalam PRU-14 nanti.

Atas sebab itulah, pemimpin-pemimpin kanan UMNO perlu mengawasi individu-individu perosak parti ini. Janganlah ­kerana mereka rapat dengan pemimpin tertentu, maka mereka mahu menggunakan kedudukan itu bagi mencapai misi politik mereka tanpa memikirkan kesannya kepada parti.

Ingatlah pertarungan dalam PRU-14 nanti adalah penentu kepada ‘hidup mati’ perjuangan UMNO. Oleh itu, sebarang ‘kerja-kerja jahat’ yang bermotifkan untuk kepentingan peribadi harus dihentikan kerana UMNO yang akan menerima kesan buruknya.

PRU-14 bukanlah medan kepada mana-mana pemimpin UMNO termasuklah sesetengah yang sudah menjadi wakil rakyat tetapi semakin ditolak rakyat untuk mempertahankan kedudukan mereka. Ini bukan soal perjuangan politik peribadi,tetapi soal survival UMNO demi masa depan orang Melayu dan umat Islam.

Justeru pemimpin-pemimpin kanan UMNO perlu memastikan tidak ada kelompok yang menjadi ‘parasit’ kepada parti, tidak kiralah siapa pun mereka. Jika ada bukti mereka terlibat adalah wajar tindakan tegas diambil bermula dari sekarang supaya mereka tidak menjadi ‘virus’ yang akan menjahanamkan parti ketika pilihan raya umum nanti.

Kepada kelompok-kelompok terlibat, hentikanlah ‘kerja-kerja bodoh’ tersebut, kalau betul mereka sayangkan parti dan mahu melihat UMNO terus berkuasa dalam PRU-14. Janganlah kerana kejahilan kalian berpolitik, ia menjemput petaka kepada parti keramat orang Melayu itu.