Dalam kejadian 3 pagi itu, sekumpulan remaja berbasikal yang berusia antara 13 dan 17 tahun dipercayai menghalang Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, sebelum dirempuh kenderaan wanita terbabit.

“Yang pergi tidak akan kembali, biarkan pergi, ini juga pengajaran kepada ibu bapa untuk tidak membenarkan anak mereka keluar pada waktu malam.

“Biar dia yang menangis, jangan kita menangis. Saya pun ada anak dan dah pergi tak kembali, kalau saya sedih awak sebagai ibu dan bapa kepada mangsa mesti lebih sedih. Ingat pesanan saya,” kata Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar ketika meluangkan masa kira-kira 10 minit bersama keluarga mangsa di Hospital Sultanah Aminah.

Mana-mana pihak pun akan memberi pesanan serupa supaya ibu bapa mengawasi aktiviti anak terutama pada waktu malam bagi mengelak kejadian yang kita tidak ingini berlaku.

Janganlah pula selepas ini ada pihak yang mengada-ngada minta kerajaan menguatkuasakan larangan remaja keluar selepas 12 malam. Dahulu semasa 1990-an heboh satu negara tentang gejala mat rempit. Kemudian meleret kepada kisah remaja wanita yang menjadi hadiah kepada pemenang lumba haram. Golongan remaja perempuan itu dipanggil ‘Bohsia’.

Rakan Muda

Berikutan gejala yang aktif waktu malam itu, maka kerajaan terpaksa cari jalan untuk memenuhi aktiviti remaja lepasan sekolah yang tidak berbuat apa-apa – belajar tidak, bekerja pun tidak. Malah soal integrasi dan perpaduan kaum turut jadi sebab utama kepada penubuhan Program Rakan Muda. Daripada satu jenis kategori misalnya Rakan Muda Silat, bertambah menjadi pelbagai kategori Rakan Muda. Sekarang tidak dengar lagi nama Rakan Muda mungkin sebab rakan yang ada sekarang semua sudah jadi remaja tua.

Aktiviti berbasikal waktu malam yang membabitkan golongan kanak-kanak dan remaja bukan fenomena baru di Johor Bahru sahaja tetapi di hampir semua bandar besar dan kawasan bandar baharu.

Kegiatan lumba basikal dalam kalangan remaja pada waktu malam bakaikan menjadi rutin hujung minggu. Dengan basikal mereka duduk berkumpul dengan kawan-kawan di satu sudut jalan raya sebelum menunjukkan aksi menarik cara menunggang basikal. Malah ada kanak-kanak berkenaan gemar buat bising dan mengacah-acah kereta yang lalu lalang untuk melanggar mereka.

Itu yang cuma ada basikal, bagi remaja yang memiliki motosikal, mereka lebih hebat dengan merempit di jalan raya dengan aksi berani mati.

Kata-kata yang biasa kita dengar selepas kejadian malang ialah “saya sudah banyak kali larang dia keluar bermain basikal pada waktu malam, tetapi dia tetap degil dan keluar tanpa pengetahuan kami.” Dalam hal ini, tidak salahkan ibu bapa sepenuhnya sebab sudah tentu mereka ambil berat keselamatan dan kesihatan anak-anak. Tetapi ada anak-anak yang tidak makan nasihat ibu bapa, mereka tetap cari jalan untuk keluar malam.

Masalah sekarang masyarakat kita yang semakin pudar budaya menegur anak-anak muda kerana tidak mahu dituduh suka jaga tepi kain orang.

Oleh sebab budaya tak peduli anak siapa ini menyebabkan ramai anak-anak remaja Melayu menjadi kutu dan kupu-kupu malam.

Bukanlah menghalang untuk anak-anak remaja daripada mengunjungi restoran dan gerai-gerai yang dibuka 24 jam, tapi janganlah duduk sampai lewat malam. Sebelum pukul 12 malam, baliklah ke rumah masing-masing.

Dahulu kita tak mahu mengawal operasi lewat malam restoran dan gerai. Kini aktiviti keluar malam di beberapa kota menjadi trend dan gaya hidup remaja. Bila mereka menjadi ketagih maka mereka sukar duduk di rumah.

Jiwa remaja memang suka bersenang-senang bersama rakan, namun kita perlu yakinkan pada mereka bahawa orang tua memiliki tanggungjawab terhadap keselamatan anak remajanya apatah lagi si gadis. Ini kerana berada di luar rumah waktu malam maka terlepas daripada pandangan dan perlindungan ibu bapa. Keadaan itu boleh membahayakan diri remaja itu sendiri seperti terlibat dengan kemalangan, jenayah, dadah dan tingkah laku tidak bermoral.

Paling bagus jika dijemput rakan anak-anak datang ke rumah untuk berbual, bermain atau menonton tv bersama. Tidak kira waktu, asalkan sesuai dengan keperluan diri mereka. Jika rakan anak kita datang pada waktu petang jemput dia makan malam bersama dan bersolat maghrib atau Isyak di rumah. Terhindar mereka daripada aktiviti luar rumah pada waktu malam sebab mungkin kepenatan selepas itu.

Ibu bapa berhak melarang anak remaja mereka berkawan dengan mereka yang dilihat membahayakan serta bermasalah demi masa depan anak. Berilah alasan dan penjelasan munasabah sehingga larangan ibu bapa akan difahami sebagai perlindungan diri. Dengan demikian remaja dapat mempertahankan dirinya sendiri.

Walau apa pun alasan, ibu bapa berhak melindungi keluarganya daripada timbul masalah yang lebih besar dan tidak terduga.