Sindiket ini sebenarnya didalangi oleh warga tempatan dan warga asing yang membuat panggilan telefon secara rambang de­ngan mendakwa mewakili bukan sahaja mana-mana institusi kewangan, malahan agensi kerajaan yang terlibat dalam pengeluaran saman dan kompaun.

Semua orang tidak lagi berasa selamat daripada menerima panggilan daripada kumpulan ini. Jika dahulu mereka membuat panggilan rawak, sejak beberapa bulan lalu, mereka sudah bijak dalam mendapatkan nombor te­lefon daripada direktori agensi kerajaan dan juga swasta.

Dalam masa dua bulan ini, penulis telah menerima dua panggilan daripada kumpulan Macau Scam ini. Panggilan pertama kononnya datang dari RHB Bank dan ia merupakan satu panggilan mesin automatik. Perkara yang pelik mengenai panggilan ini ialah ia dibuat daripada nombor talian mudah alih. Setahu penulis, pihak bank tidak pernah menggunakan nombor talian mudah alih untuk melakukan panggilan melalui mesin.

Penulis dikehendaki menekan nombor yang diberikan untuk bercakap dengan talian perkhid­matan pelanggan. Setelah menekan nombor yang diberikan, penulis akhirnya dapat bercakap dengan pegawai khidmat pe­langgan palsu. Seperkara yang menarik ialah pegawai palsu ini tidak dapat bercakap dengan me­nggunakan bahasa Melayu yang fasih serta bunyi latar belakang seakan-akan menunjukkan bahawa pegawai palsu ini berada di tepi jalan sedangkan sewajarnya panggilan ini dilakukan di dalam pejabat yang lebih sunyi dan profesional. Setelah mendengar bunyi latar belakang yang mencurigakan, penulis meletakkan talian.

Panggilan kedua pula masih datang dari nombor talian mudah alih dan kali ini panggilan diterima dari Polis Diraja Malaysia mengenai saman tertunggak. Sekali lagi, penulis berasa pelik mengapa pihak polis menggunakan nombor talian mudah alih yang disambungkan dengan mesin. Penulis terus meletakkan telefon.

Selain itu, pengguna juga akan menerima panggilan yang dibuat bagi pengesahan transaksi kad kredit yang kononnya milik mereka. Taktik ini digunakan untuk memperdaya mangsa dan boleh menyebabkan kerugian ber­jumlah ribuan ringgit. Malah, ada di antaranya menyamar sebagai pegawai bank dan pegawai Bank Negara Malaysia bagi tujuan penipuan.

Penulis bersyukur kerana mem­punyai ilmu berkenaan skim penipuan melalui telefon dan atas talian. Bagaimana pula de­ngan suri rumah dan juga orang tua kita di kampung? Mereka ini jarang mendapat maklumat me­ngenai skim sebegini. Bayangkanlah mereka menerima panggilan telefon yang menyatakan bahawa mereka berhutang hampir ratusan ribu ringgit. Sudah pasti mereka akan panik dan tentunya mereka akan membuat sedikit pembayaran kepada sindiket ini jika mereka diugut.

Siapakah yang bertanggungjawab untuk memberikan ilmu mengenai kewujudan skim se­perti ini? Beberapa hari lalu, penulis menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang kononnya mempunyai anak di sekolah yang penulis menjadi Yang Dipertua PIBG. Individu tersebut menyatakan bahawa beliau ingin menyumbangkan tiga buah komputer kepada sekolah. Selang beberapa saat beliau minta izin untuk menelefon sebentar lagi kerana bunyi latar belakang yang terlalu bising. Selang beberapa minit, individu tersebut mene­lefon kembali dan meminta maaf kerana bunyi latar belakang yang bising. Beliau menyatakan bahawa beliau bekerja dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Putrajaya dan ketika itu sedang berlaku proses lelongan barang rampasan seperti telefon bimbit, komputer dan televisyen. Beliau ada bertanya dengan penulis sama ada berminat untuk memesan barang tersebut daripada beliau kerana beliau akan hadir ke sekolah membawa barang tersebut bersama komputer yang ingin disumbangkan.

Penulis telah menghidu bau penipuan di situ dan menyatakan dengan hormat bahawa penulis tidak berminat untuk membeli barangan rampasan. Setelah meletakkan telefon, penulis telah menghantar mesej ke kumpulan WhatsApp YDP PIBG Sepang untuk bertanyakan mengenai perkara tersebut dan amat mengejutkan bahawa kebanyakan daripada mereka telah menerima panggilan yang sama.

Akhir sekali, sebagai ma­sya­rakat Malaysia kita perlulah bersatu hati untuk menentang skim penipuan seperti ini daripada te­rus berleluasa. Kita faham betapa perit-jerih untuk mendapatkan pendapatan halal dan agak me­rugikan jika pendapatan tersebut hanyut bersama peni­puan yang dibuat oleh komplot penipu ini.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).