Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Aura lakonan Morgan Freeman

MERREPAK

info

APAKAH yang mungkin terjadi kepada Hollywood tanpa Morgan Freeman? Soalan ini terlintas di kepala selepas menonton beliau melakonkan watak sebagai Presiden Nelson Mandela dalam filem Invictus.

Sebagaimana kebanyakan pelakon Hollywood yang tersohor, Freeman menjiwai watak Mandela menerusi tutur kata, gerak badan dan mimik muka. Invictus arahan Clint Eastwood ini bukan filem baharu sebaliknya diterbitkan pada 2009. Tetapi kerana unsur sejarah dan kekuatan lakonan Freeman, filem ini tidak menjemukan.

Inilah kehebatan Freeman. Dia bukan sahaja berkemampuan membawa watak sebagai presiden sebenar tetapi juga presiden khayalan (Deep Impact), banduan, jurulatih tinju, pembunuh dan malah, Tuhan (Bruce Almighty dan Evan Almighty).

Secara peribadinya, saya mula menjadi peminat Freeman setelah menonton filem The Shawshanks Redemption terbitan 1994. Dalam filem ini, Freeman memegang dua tugas iaitu sebagai Ellis Boyd 'Red' Redding dan satu lagi sebagai suara latar filem itu. Filem ini memberi tumpuan kepada watak Andy Dufresne lakonan Tim Robbins, yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas tuduhan membunuh anak dan isterinya. Andy berkeras tuduhan tersebut adalah perangkap. Di penjara Shawshank, Andy berkenalan dengan Red, seterusnya menjalin hubungan persahabatan yang teguh.

Filem ini memaparkan kehebatan lakonan Freeman terutama dalam adegan Red bersemuka dengan Panel Lembaga Parol untuk kali terakhir. Bermakna jika gagal juga permohonan tersebut, Red tidak akan merasa hidup bebas setelah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh.

Selama 40 tahun meringkuk dalam penjara, Red sudah berkali-kali memohon untuk dibebaskan menerusi sistem parol tetapi gagal. Apabila disoal dengan soalan yang serupa oleh pegawai Panel Lembaga Parol, Red yang sudah tidak lagi menaruh harapan untuk diluluskan parol menjawab:

"Tidak sehari berlalu yang saya tidak merasa kesal (dengan jenayah yang dilakukan). Bukan disebabkan saya di penjara, atau kerana awak fikir saya patut dipenjarakan. Saya imbau semula diri saya ketika itu, budak mentah, bodoh yang melakukan jenayah berat. Saya mahu bercakap dengannya. Saya mahu mencuba menasihati dia – memberitahunya apa yang berlaku. Tetapi saya tidak dapat melakukannya. Budak itu sudah lama tiada dan orang tua ini sahaja yang tinggal. Saya terpaksa hidup dengan kenyataan ini."

Ditanya pegawai apakah dia merasa dirinya sudah dipulihkan? Red menjawab: "Pulih? Ia hanyalah perkataan mengarut. Teruskanlah dan cap borang itu, dan berhenti buang masa saya. Sebab sejujurnya, saya tidak peduli apa-apa lagi.’’

Permohonan Red untuk parol diluluskan.

Dialog di atas, dilafazkan oleh Freeman dalam nada bersahaja tetapi tegas. Dialog ini mutlak milik Freeman dan tiada pelakon lain layak membawanya. Ini kerana Jack Nicholson sudah memiliki watak Kol. Nathan Jessep dalam filem A Few Good Men - “anda tidak akan mampu memikul kebenaran!’

Dialog panjang sedemikian pun tidak sesuai dibawa Sean Connery yang pekat Scottish. Bagaimana Sidney Poitier? Generasi berbeza. Filem yang diadaptasi daripada novel Stephen King juga tidak sesuai meletakkan James Earl Jones, walaupun dari segi suara memiliki impak serupa dengan Freeman.

Dalam kerjaya yang melangkaui 50 tahun, Freeman menerima banyak ‘watak pembantu’ yang menggambarkan sesuatu watak yang pintar, berpengalaman dan kebapaan.

Satu lagi filem hebat Freeman ialah Unforgiven bersama Clint Eastwood. Filem ini memenangi empat anugerah Oscar termasuk filem terbaik dan pengarah terbaik. Malangnya, anugerah pelakon pembantu terbaik dicalonkan dan dimenangi Gene Hackman.

Hubungan kerja Freeman dan Eastwood terus mengukuh iaitu selepas Unforgiven, mereka bergabung lagi dalam filem Invictus dan Million Dollar Baby, yang menyaksikan Freeman akhirnya dinobatkan sebagai pelakon pembantu terbaik. Wataknya sama. Pelakon dan suara latar. Kita takkan jemu!

Dan tahukah peminat filem Superheroes, Freeman berlakon dalam tiga filem Batman iaitu Batman Begins, The Dark Knight Rises dan The Dark Knight.

Lalu terdetik dalam hati saya. Bagaimanakah nanti bila Morgan Freeman tiada lagi? Hilanglah seri Hollywood, sehingga mereka menemui pengganti yang sesuai.

Sebenarnya tidak sempat habis menonton filem Invictus tempoh hari sebab pesawat sudah mendarat. Tidak mengapa, selepas ini akan dicari semula DVD filem ini dalam kotak. Cuma cabaran sekarang ialah hendak mencari di mana letaknya kotak DVD.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain