Melihat kepada keadaan fizikal beliau, pasti Anwar gigih menjaga kesihatan walaupun ketika berada di dalam penjara.

Kalau mengikut perjanjian, beliau akan mengambil-alih tampuk kepimpinan negara daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan semua sudah maklum berhubung perkara itu.

Saya lebih teruja membicarakan apabila akhirnya dua pemimpin tersebut kembali berganding bahu dan melupakan persengketaan yang sangat panjang antara mereka berdua.

Kombinasi kedua-dua pemimpin ini pernah menjadi harapan kepada rakyat Malaysia untuk melihat negara ini dipacu ke hadapan atas dasar mereka mempunyai karisma masing-masing dan kekuatan tersendiri.

Kekuatan yang ketara Anwar adalah kepetahan pidato beliau. Dan sebagai pemberita yang pernah mendengar pidato beliau semasa reformasi dan bersih, saya sendiri angkat topi. Setakat ini belum ada pemimpin sehebat beliau dan mungkin pemimpin baharu hendak naik (budak-budak baru nak up) kalau diberi peluang ada yang mampu mencapai tahap itu.

Di zaman kemuncak Anwar, ramai pemimpin pertubuhan bukan kerajaan khususnya pertubuhan pelajar dan pemimpin politik yang meniru secara sengaja atau terikut-ikut cara Anwar berpidato.

Kehebatan beliau memang tidak disenangi oleh pemimpin UMNO apabila Dr. Mahathir membawa masuk beliau serta meletakkan Anwar di barisan hadapan dan memberi laluan ekspres untuk naik ke kemuncak.

Ketika menjadi orang nombor dua Anwar mulai berubah, ramai yang terkejut dan tidak sangka pemimpin pujaan `malatop’ itu semakin hanyut dibuai mabuk kuasa.

Sampai ke satu tahap setiap hari Dr. Mahathir didesak oleh media yang dikuasai Anwar pada ketika itu untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Ketika inilah Anwar melakukan kesilapan apabila dia mula menggigit tangan yang memimpin beliau naik ke atas. Anwar merancang untuk menjatuhkan Dr. Mahathir dengan menggunakan isu kronisme. Tetapi ia sangat mudah dihidu dan dipatahkan dengan mudah oleh Dr. Mahathir yang ketika itu adalah Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Selepas itu bermulalah episod yang tidak mahu saya ulas kerana Anwar telah diberi pengampunan sepenuhnya daripada segala pertuduhan.

Apa yang saya harapkan Anwar tidak mengulangi kesilapan puluhan tahun lalu kerana terlalu gopoh, sedangkan hanya tinggal selangkah saja untuk ke atas, tetapi akhirnya di tersungkur.

Selepas apa yang dilalui tentulah Anwar menjadi pemimpin yang lebih prihatin dan peka terhadap nasib rakyat.