RAJA MOHAMED AFFANDI RAJA MOHAMED NOOR
RAJA MOHAMED AFFANDI RAJA MOHAMED NOOR

Oleh itu, setiap hala tuju yang dirancang untuk pasukan hendaklah tepat dan pada masa sama kebajikan pengamalnya (anggota) juga perlulah dititikberatkan termasuk para pesara yang pernah menabur bakti kepada negara. Inilah amanah penting yang perlu dipikul oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia baru-baru ini, beliau mengakui cabaran dihadapi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak statik, sebaliknya pelbagai hingga menyebabkan pasukan itu sentiasa diletakkan dalam keadaan siap sedia. Cabaran pelbagai dari segi teknologi, latihan, kemahiran, penyertaan semua kaum dan banyak lagi. Yang pasti ATM perlu diletakkan di kedudukan ke hadapan.

“Sesaat berlaku kelekaan, ia boleh membawa padah kepada kehancuran keselamatan dan kedaulatan negara. Pelbagai ancaman semakin mencabar yang turut dipengaruhi oleh perkembangan teknologi yang semakin canggih. ATM perlulah sentiasa berada di hadapan sekali dan tidak boleh ketinggalan walaupun selangkah ke belakang,” katanya.

Raja Mohamed Affandi ba­gai­manapun amat berpuas hati ke­rana ATM telah dapat membuktikan keupayaan mendukung teras hala tuju ditetapkan.

ATM juga berjaya mengekalkan tahap kesiapsiagaan tertinggi dan keadaan ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan political will khususnya bagi perolehan aset baharu dalam proses pembangunan angkatan sejajar Pelan Pembangunan Keupayaan Dimensi Keempat Angkatan Tentera Malaysia (4D MAF).

Di samping itu, ATM turut mendukung aspirasi Pelan Transformasi Nasional 2020-2050 (TN50) agar pasukan itu kekal sebagai angkatan ampuh dan berupaya menyumbang kepada keamanan negara, serantau dan global seperti mana pencapaian cemerlangnya pada tahun-tahun sebelum ini.

“Saya amat berpuas hati pencapaian ATM yang dinilai cemerlang. Saya juga berkeyakinan tinggi kepada Pelan Strategik 5 Tahun (2016-2020) Kementerian Pertahanan yang mana pencapaian prestasinya akan terus disokong oleh ATM,” katanya.

Sementara itu, ATM dilihat terus mengorak langkah bagi memantapkan organisasi dalam aspek pengurusan, operasi, logistik dan latihan. Ini termasuk melaksanakan projek-projek kebajikan untuk warga, veteran dan Projek Jiwa Murni untuk masyarakat.

Sasaran dalam tugas teras ATM adalah dalam bidang operasi dan eksesais di mana pencapaian misi dan objektif telah ditetapkan.

“ATM juga sentiasa mena­ngani isu integriti dengan melipat gandakan usaha memerangi kes ra­suah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta memastikan penurunan statistik salah laku yang berpunca dari sahsiah diri modal insan,” katanya.

Mengenai perumahan, pembinaan Rumah Keluarga ATM (RKAT) sebanyak 40,000 unit secara berfasa sehingga 2030 telah pun bermula sejak tahun lalu. Bagi memastikan setiap warga memiliki rumah sendiri, projek Satu Rumah Satu Anggota Tentera (SaSAR) dilancarkan di lokasi pertama iaitu Sungai Besi melibatkan pembinaan 3,500 unit rumah.

ATM menyasarkan membina 25,000 unit rumah mampu milik untuk anggota dan veteran ATM seluruh negara menjelang 2030 menerusi program SaSAR, dengan nisbah 70 peratus untuk anggota dan 30 peratus bagi ve­teran.

Dalam konteks keselamatan masa kini ia adalah sesuatu yang penuh dengan ketidaktentuan. Dengan kata lain, aman hari ini dan tidak mustahil dengan sekelip mata boleh dikejutkan dengan huru-hara keesokannya.

Antara kemungkinan yang boleh mencetuskan ketidakstabilan adalah ancaman bukan tradisional yang dinamik profilnya, ancaman teknologi serta siber yang sentiasa berubah, hubungan antara negara yang boleh menggugat keharmonian atau menjadi medan rebutan antara kuasa besar untuk memelihara kepentingan mereka di rantau ini.

Untuk itu, Raja Mohamed Affandi berkata, tahap kesiagaan ATM harus sentiasa tinggi serta perlu bersedia untuk menyumbang kepada tambahan kekuatan serta mengatur gerak pasukan keselamatan.

Mengenai pembabitan rakyat negara ini dalam ATM, Raja Mohamed Affandi berkata, peranan menjaga keselamatan dan kedaulatan negara bukan tugas satu kaum sahaja.

Peranan itu adalah tanggungjawab semua kaum dan sehubu­ngan itu rakyat negara ini yang berkelayakan digesa menyertai ATM.

“Jika ada tuduhan liar mengatakan ATM pilih kasih terhadap sesuatu kaum sahaja, ia sama sekali tidak benar. ATM sentiasa mengalu-alukan penyertaan dari semua kaum. Namun, haruslah difahami, mereka yang hendak menyertai pasukan ini haruslah melepasi ujian dan pemeriksaan,” katanya.

Raja Mohamed Affandi berkata, jika ada niat untuk jadi kaya dengan menyertai ATM, maka ATM bukanlah tempatnya. Sebaliknya, ATM adalah untuk rakyat menabur bakti atas dasar sayang serta cintakan negara.

Namun, jelasnya, skim per­khid­­matan ATM kini semakin baik dengan pelbagai insentif yang menjamin masa depan ditawar­kan kepada anggota dan juga keluarga mereka termasuk dari segi pendidikan, kemahiran, perubatan serta kesihatan, perumahan, kebajikan dan banyak lagi.

“Yang pasti, pasukan ini sentiasa menjaga kebajikan anggota serta keluarga mereka termasuk setelah mereka bersara,” kata­nya.