Sejak SST diperkenalkan, pelbagai tafsiran dibuat. Kreativiti rakyat Malaysia memang terserlah untuk mencipta pelbagai maksud SST. Kebanyakannya memberi maksud sinis. Itulah Malaysia kita. Sama ada berlaku kenaikan harga atau tidak, pihak kerajaan telah menyenaraikan barangan yang dikecualikan SST.

Rujuklah senarai itu dan ja­ngan cepat melatah menuding kepada kerajaan apabila mendapati berlaku kenaikan harga. Khabar­nya, ada harga barang yang kekal, ada lebih murah dan ada pula lebih mahal. Rata-rata tidak ya­kin, harga barang akan turun. Pada hari pertama pelaksanaan, ramai pengguna yang merungut nilai kad tambah prabayar dipotong.

Bagi menjawab rungutan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan terdapat sedikit kekeliruan membabitkan pelaksanaan SST ke atas pembelian kad prabayar telekomunikasi. Kekeliruan syarikat telekomunikasi itu menyebabkan pengguna terpaksa menanggung caj berkenaan apabila pembelian kredit tambah nilai kad prabayar mereka dipotong. Kementerian akan mengeluarkan arahan supaya pengguna prabayar menerima kredit sepenuhnya tanpa potongan.

Diharapkan pihak lain juga tidak keliru dan dapat memastikan harga barang yang dikecualikan SST dalam keadaan stabil, malahan jika boleh turunkan lagi. Di­sebabkan berlaku kekeliruan, adalah terlalu awal untuk me­ngukur sejauh mana kesan SST terhadap harga barangan. Kerajaan hanya boleh memperkenalkan cukai itu tetapi akhirnya keputusan terletak kepada peniaga.

Ada yang mungkin berkata, mereka masih menjual stok lama yang dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dihapuskan tiga bulan lalu. Memang sudah lumrah jika melibatkan penurunan harga. Stok lama yang dibeli lebih mahal akan dijadikan alasan. Dalam tempoh dua tiga hari ini, pelaksanaannya belum memberi impak kepada pengguna. Kekeliruan menyebabkan pelaksanaan SST tidak lancar. Mungkinkah pelaksanaannya di­buat secara terburu-buru atau kerajaan belum benar-benar bersedia untuk melaksanakannya secara lebih teratur? Masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan yang wujud.

Sama ada GST, SST atau apa sahaja cukai yang diperkenalkan oleh kerajaan, pengguna hanya mengharapkan harga barang turun bagi mengekang kenaikan kos sara hidup. Harapan pengguna hanya satu iaitu mereka mendapat harga barang atau perkhidmatan yang lebih murah. Contohnya baru-baru ini, kerajaan mengumumkan penurunan harga gula sebanyak 10 sen mulai 1 September iaitu tarikh sama penguatkuasaan SST. Keputusan itu dianggap melegakan.

Bagaimanapun penurunan itu tidak ada kena mengena dengan SST sebaliknya ia selari dengan trend harga gula mentah di pasaran dunia yang semakin menurun. Harga barang turun memang menjadi harapan pengguna tetapi apabila melibatkan harga gula, ia bukanlah satu khabar gembira jika tidak disusuli de­ngan langkah-langkah yang boleh menurunkan harga makanan dan minuman yang diperbuat daripada gula. Begitu juga dalam soal penjagaan kesihatan.

Adakah penurunan harga gula akan menyumbang kepada kesihatan yang lebih baik. Adakah rakyat Malaysia akan mengambil gula tanpa mengikut sukatan yang dibenarkan disebabkan murah? Semua orang tahu kesan pengambilan gula secara berlebihan. Tumpuan perlu diberi untuk melihat sejauh mana penurunan itu akan mempengaruhi harga makanan dan minuman berasaskan gula.

Mungkin hanya sebelah pihak atau peniaga yang mengaut keuntungan terutama di restoran. Adakah segelas teh tarik akan turun harga? Lihat pula cawan atau gelas yang digunakan untuk teh O panas dan teh O ais. Saiznya lebih kurang sama. Tetapi harganya berbeza. Hakikatnya berapa kos sebenar minuman itu apabila diambil kira harga gula dan kuantiti minuman di dalam gelas yang hampir sama saiznya dan kemudian ditambah air batu?

Satu lagi khabar berkaitan cukai yang menimbulkan kekeliruan apabila kerajaan mengumumkan cadangan untuk mem­perkenalkan cukai soda. Pe­laksanaannya bertujuan menggalakkan kehidupan lebih sihat dan mengurangkan pengambilan gula yang boleh menyebabkan penyakit kencing manis atau bagi membendung masalah obesiti. Apakah kesannya? Sekali lagi cukai tidak mampu membendung obesiti. Adakah selepas pelaksanaannya, ramai yang tidak akan mengambil minuman soda? Kemungkinan itu ada tetapi sejauh mana keberkesanannya?

Lihat sahaja kenaikan harga rokok. Adakah tabiat merokok berkurangan? Perokok akan terus merokok dengan membayar harga yang mahal. Keadaan yang sama juga bakal berlaku terhadap penggemar minuman soda, terus membeli tetapi membayar pada harga lebih mahal.

Di sini timbul kekeliruan apabila harga gula turun dan cukai soda dikenakan dengan matlamat kesihatan sama iaitu mengurangkan obesiti dan kencing manis. Memanglah penurunan harga itu disebabkan harga semasa dunia tetapi mungkin kerajaan boleh mengekalkan harga yang tinggi dan menyerap kenaikan itu untuk membiayai program pendidikan kesihatan bagi menangani penyakit tidak berjangkit khasnya kencing manis dan obesiti.

Berkaitan kesihatan, baru-baru ini satu khabar ‘tidak sihat’ mengenai perkhidmatan kesihatan adalah berkaitan kadar caj perundingan pengamal perubatan dan doktor di klinik dan hospital swasta dijangka naik antara RM30 hingga RM125. Cadangan itu sudah tentu akan membebankan masyarakat kerana tidak semua berpeluang mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang baik dan selesa di klinik atau hospital kerajaan.

Adakah Kementerian Kesihatan bersedia untuk menampung permintaan atau keperluan rakyat yang selama ini turut bergantung kepada perkhidmatan perubatan swasta? Adakah kerajaan mampu menampung ke­perluan itu lebih-lebih lagi timbul cadangan penutupan secara berperingkat 33 daripada 346 klinik 1Malaysia? Sepatutnya perkhidmatan klinik kerajaan diperbaiki dan dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan rakyat.

Sekali lagi, apa juga cukai dan dalam menghadapi turun naik harga barang ini, penguatkuasaan amat penting. Sebarang kekeliruan terutama dalam kalangan pembekal, pemborong dan peniaga perlu diperjelaskan supaya akhirnya pengguna tidak menjadi mangsa. Jika tidak, akhirnya kerajaan juga dipersalahkan.

Pemantauan perlu dilakukan secara berterusan supaya peniaga tidak melakukan kesalahan tanpa disedari. Ada kalangan peniaga yang mengambil kesempatan setiap kali pengenalan cukai baharu. Mereka menyebut pelbagai kos dan menuding jari kepada pihak lain kenapa harga barang naik. Akhirnya pengguna menjadi mangsa. Pastikan SST memanfaat bukan membebankan rakyat.