Kita patut faham sahajalah situasi pemanduan di Kuala Lumpur. Kemalangan di jalan seberang sana, namun kesesakan akan turut berlaku di sebelah sini. Tidak ada apa yang pasti. Kemalangan kecil, boleh bertukar menjadi ‘ribut taufan’ pergaduhan di atas jalan raya.

Dengan sendirinya, masa perjalanan akan bertambah dan melelahkan. Jika memandu sendiri, mulalah perasaan berbuai dengan rasa marah dan geram. Perjalanan pergi dan balik dari kerja, biasanya menjadi sangat tegang dan adakalanya amat mengecewakan.

Hari ini, 17 Julai 2017, laluan MRT Sungai Buloh - Kajang (laluan SBK) akan beroperasi. Laluan ini pastinya amat dinantikan oleh warga Kuala Lumpur, atau lebih tepat lagi warga Greater Klang Valley. Jika Fasa 1, MRT laluan sama (Sungai Buloh - Semantan), yang dirasmikan Disember tahun lalu, mampu mencatatkan jumlah pengguna seramai dua juta orang. Dengan terbina lengkapnya projek laluan sama sehingga bandar Kajang, ia pasti menambah angka sedia ada.

Tidak perlulah agaknya diperdebatkan sama ada laluan baru MRT ini akan mengurangkan sejumlah 160,000 kenderaan di atas jalan raya. Namanya sahaja anggaran. Yang lebih penting, apakah laluan baru ini mampu merubah ‘pelaziman’ warga kota mengguna pengangkutan awam.

Laluan SBK akan mempunyai 31 stesen, di mana tujuh adalah stesen bawah tanah. Setiap tren mempunyai empat gerabak dengan kapasiti penumpang sebanyak 1,200 orang. Jumlah penumpang dijangka mencecah kira-kira 400,000 orang setiap hari. Kekerapan tren dijangka setiap 3.5 minit apabila dilancarkan.

Tidak boleh dinafikan, dengan lengkapnya MRT laluan SBK pada tahun ini, ia membawa keterujaan luar biasa kepada warga Selangor dan Wilayah Persekutuan. Jika sebelum ini, ramai menganggap ada sahaja “kelemahan” kerana ada kawasan tertentu tidak dimasukkan di dalam jajaran khidmat pengangkutan yang lebih selesa. Kali ini, lebih banyak kawasan perumahan dan perbandaran yang direntasi oleh laluan MRT ini.

Apa yang asalnya direncanakan oleh Perdana Menteri sebagai ‘Sistem Pengangkutan Bersepadu Lembah Kelang’ pada pembentangan Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015) sudahpun dapat direalisasikan. Ini adalah petanda, tidak ada istilah omongan kosong jika segalanya dilakukan dengan perancangan dan komitmen yang tinggi. Projek MRT Lembah Kelang (KVMRT) secara keseluruhannya akan merubah banyak lanskap pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan sekitarnya.

Kurang satu dasawarsa, MRT sudah berjaya dijayakan untuk pengguna. Projek yang sebesar dan sekompleks ini, sememangnya memerlukan perincian dan penelitian yang hemat dan rapi. Sudah tentu, projek ini sentiasa sahaja berada di bawah radar pemerhatian kepimpinan negara.

Memang benar, jika diperhati, MRT Laluan SBK ini bukan sekadar projek pengangkutan biasa. Ia lebih daripada itu dan benar-benar menjadi pelengkap kepada sistem pengangkutan sedia ada. Banyak elemen diambil kira di dalam pembinaan dan penentuan jajarannya.

Seperti yang pernah ditegaskan oleh Perdana Menteri sendiri: ‘...Ia dirancang untuk dibina bukan sekadar sebagai pengangkutan awam. Kerajaan memandang dan melakukan kajian mendalam dari segi kehidupan rakyat, mengambil kira jaringan rangkaian, kepadatan penduduk, aliran trafik, keperluan pengguna dan sebagainya. Malah lebih daripada itu, kita juga memberi penekanan khusus terhadap kesalinghubungan batuan pertama dan terakhir (first and last mile connectivity).

Sekiranya semua faktor dan elemen ini diambil kira, kita boleh mencongak bahawa projek ini pastinya memberikan perubahan yang ketara bukan sahaja kepada pengalaman pengangkutan awam di Malaysia, tetapi kesejahteraan hidup rakyat secara keseluruhan.

Apa yang lebih menarik dan meyakinkan adalah nawaitu dasar berkenaan kemajuan pengangkutan tidak bersifat bermusim. Ia komitmen dasar yang sangat jelas dan kukuh. Komitmen memajukan pengangkutan yang disebut pada RMKe-10; tetap dibawa dan dikelek di dalam RMKe-11 (2016-2020). Inilah sebenarnya yang rakyat harapkan. Pelaksanaan janji yang jelas dalam usaha memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

Penulis yakin, laluan MRT yang baru ini akan memberikan kesan dan impak positif kepada jutaan rakyat. Di dalam keadaan ekonomi yang mungkin dikatakan sedikit perit, kewujudan opsyen dan pilihan untuk menggunakan kemudahan pengangkutan yang efisien, cekap dan selamat sememangnya memberi kelegaan.

Tumpuan Berlebihan Kepada 
 Kotaraya?

Mungkin juga ada pihak dan suara yang akan membangkitkan soal pelaburan besar yang hanya memberikan impak kepada masyarakat kota. Pada hakikatnya, tidak begitu. Banyak juga perancangan kerajaan yang mengambil kira kepentingan dan untung nasib masyarakat pinggir dan luar bandar.

Sewaktu pembentangan RMKe-11, banyak juga projek pembangunan luar bandar yang akan dilaksanakan oleh kerajaan. Sebahagiannya, sedang dilaksanakan dan pastinya membawa impak yang juga besar kepada negara.

Antara projek infra yang turut disentuh di dalam RMKe-11:-

* Lebuh Raya Pan Borneo

* Central Spine Road (Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai)

* Lebuh Raya Pantai Barat (siap 2019)

* Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bharu

* High Speed Rail

* Inisiatif Jalur Lebar Pinggir Bandar

Inilah antara perkara yang rakyat secara keseluruhannya, baik di kota mahupun di desa, wajar hargai bahawa segala perencanaan dasar ini menjurus kepada membina Malaysia yang lebih berdaya saing di masa hadapan.

Tidak timbul soal ‘tumpuan’ dan ‘pemberatan’ pembangunan yang dihalakan di kawasan bandar. Pada hakikatnya, pembangunan adalah usaha yang tidak kenal noktah. Apa yang lebih perlu diberikan perhatian adalah bagaimana sebuah kerajaan yang ‘wibawa’ mampu menterjemah nazar pembangunan yang diniatkan.

Pembangunan infrastruktur, baik di dalam bentuk pengangkutan awam, pembinaan pelabuhan di negara-negara Asia Tenggara sudah dianggap sebagai ‘peledakan pembangunan infra’ di peringkat global. Berbilion dolar dibelanjakan untuk memastikan kota raya masing-masing kekal kompetitif dan berdaya saing.

Kuala Lumpur tidak boleh ketinggalan di dalam gelombang penambahbaikan sistem pengangkutan dan infrastruktur. Kegagalan untuk bertindak pantas dalam memperbaiki sistem sedia ada akan memberi kesan jangka panjang, bukan sahaja kepada daya saing kota utama ini, malah kepada kesejahteraan hidup warganya.

Yang pasti, MRT laluan SBK tidak akan menjadi noktah kepada lebih banyak usaha masa hadapan yang bakal dilaksanakan. Selain SBK, laluan yang akan turut dinantikan adalah ‘SSP’ - Sungai Buloh ke Serdang dan Putrajaya yang di dalam usaha pembinaan pada ketika ini.

KVMRT apabila siap secara keseluruhannya nanti akan memberikan impak dan kesan yang cukup besar kepada kesejahteraan warga kota. Waima hari ini pun, ramai dalam kalangan rakan penulis yang sudah berkira-kira mencari rumah dan kediaman yang lebih selesa di luar parameter dalaman Kuala Lumpur.

Jika sebelum ini projek perumahan di Sungai Buloh, Kajang dan Semenyih misalnya dirasakan agak jauh daripada tempat kerja; KVMRT akan merubah banyak tanggapan dan persepsi ini. Ramai dalam kalangan mereka yang berpendapatan sederhana boleh berkira-kira untuk mendapatkan hartanah yang lebih selesa di kawasan pinggir Kuala Lumpur.

Berasaskan kepada interaksi warga kota dan netizen di dalam media sosial berkenaan ‘MRT’ yang baru ini - kita dapat merasai bahawa projek ini cukup dekat dan akrab di hati rakyat. Ia juga satu pengiktirafan bahawa kerajaan telah mengambil langkah tepat dalam usaha menambahbaik dan memperlengkap pengangkutan awam di Kuala Lumpur.

Tahniah dan penghargaan kepada semua yang terlibat di dalam menjayakan projek berorientasikan rakyat ini. Rakyat akan pastinya terus menanti dan menghargai, beberapa lagi projek ‘pelengkap’ kepada pengangkutan awam di Lembah Kelang seperti - MRT laluan SSP, LRT3 dan sebagainya.

PENULIS adalah penganalisis ekonomi dan politik semasa.