Perhatikan sahaja pelan imigresen yang ingin diperkenalkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump beberapa hari lepas yang pada asasnya bersandarkan kepada kriteria merit semata-mata.

Dasar tersebut menggunakan merit kepakaran dan keupayaan kewangan untuk memberi kelebihan kepada pemohon rakyat asing yang ingin menjadi warga AS kerana menurut Trump kumpulan sebegini mampu memakmurkan lagi AS.

Dewan Perwakilan Kongres AS awal-awal lagi telah menolak pelan Trump kerana jika diamalkan maka saban tahun lebih dari sejuta permohonan yang diterima dari rakyat asing untuk menetap dan bekerja di AS hanya akan dipenuhi oleh satu kumpulan sahaja.

Tiada lagi imigran dari Mexico dan Amerika Latin. Ironisnya banyak syarikat milik keluarga Trump guna tenaga pekerja kolar biru dari kedua-dua negara ini kerana upah murah.

Kongres berpendapat latar belakang pemohon seperti dari negara mundur atau tidak stabil yang diambil kira dalam proses penilaian ketika ini perlu dikekalkan demi mengelak menganiaya kumpulan tercicir ini.

Kaedah ini dikenali sebagai tindakan afirmatif atau pun di Malaysia dipanggil hak istimewa untuk golongan yang tertinggal. Bukan sahaja dalam sistem imigresen yang mengguna pakai kriteria merit semata-mata mengakibatkan AS akan kehilangan kepelbagaian penduduk yang mereka megahi selama ini.

Sistem pengajian tinggi mereka juga ada cacat celanya kerana kriteria penerimaan masuk universiti hanya memberi kelebihan kepada kumpulan yang berkemampuan dari segi sosial dan ekonomi.

Dalam bahasa mudah, pelajar berkulit putih punyai peluang lebih cerah diterima berbanding pelajar keturunan Afrika Amerika, Hispanik atau Latino.

Sebab itu ketika era pentadbiran Barack Obama, White House telah mengeluarkan garis panduan kepada pentadbir universiti supaya mengambil kira latar belakang pemohon seperti pendapatan keluarga dan lokasi sekolah kerana menurut Obama kedua-dua faktor ini mempengaruhi pembelajaran pelajar.

Walaupun garis panduan tersebut tidak menyentuh kriteria keturunan pelajar tetapi jelas hasratnya adalah untuk mengguna pakai terma hak istimewa kepada pelajar tertinggal yang majoritinya kulit hitam, Hispanik dan Latino.

Garis panduan Obama tersebut telah dicabar di mahkamah beberapa negeri AS kerana mengguna hujah ia menganiaya pelajar lain iaitu pelajar dari keluarga berpendapatan tinggi yang kebanyakannya kulit putih.

Apabila Trump mengambil alih pentadbiran White House dua tahun lalu, beliau telah memansuhkan garis panduan Obama dan selepas itu tiada lagi penggunaan kriteria hak istimewa dalam proses kelayakan masuk universiti.

Beberapa minggu lepas pihak pengurusan peperiksaan SAT iaitu kriteria utama yang digunakan untuk menilai kelayakan permohonan pelajar ke universiti, mengambil keputusan untuk mengguna pakai kriteria latar belakang sosial ekonomi pemohon bermula 2020.

Telah terbukti sejak SAT diperkenal pada 1926, pelajar dari keluarga yang berkemampuan lebih mudah memperoleh keputusan cemerlang berbanding pelajar di mana latar belakang sosial ekonomi yang agak terkekang.

Sebab utama kepincangan keputusan SAT yang dianggap berkait dengan tahap sosial ekonomi adalah pelajar yang berkemampuan mendapat pendidikan dari tahap elementari (sekolah rendah) hingga tinggi (sekolah menengah) di sekolah terbaik sistem pendidikannya manakala pelajar dari keluarga kulit hitam, Hispanik dan Latino bersekolah di kawasan yang tidak mampu memberi pendidikan sempurna.

Jika AS mengamalkan tindakan afirmatif iaitu memberi hak istimewa kepada golongan terkebelakang dalam sistem imigresen dan pendidikan mereka, maka AS yang menjadi model sebagai sebuah negara yang mengamalkan ungkapan jika seseorang itu bekerja keras maka individu tersebut pasti berjaya merupakan petunjuk bahawa pengamalan hak istimewa bukan satu perkara yang jelik.

Malaysia umpamanya yang lebih lama dan arif mengamalkan sistem hak istimewa berbanding AS kerana akur penduduk yang pelbagai latar belakang sosial ekonomi memerlukan sedikit pertolongan untuk bersaing tidak kira dalam sektor apa sekali pun. Jangan kerana agenda sempit politik sistem yang diamalkan selama ini dimusnahkan.