Jika diteliti bermula selepas Perang Dunia II, sudah berpuluh malah menjangkau ratusan kali AS melaksanakan penukaran kerajaan negara asing bagi menentukan kepimpinan terbaharu lebih selari dengan dasar luar dan kehendak Washington.

Pilihan raya umum (PRU) Itali 1948 umpamanya menyaksikan pembabitan AS secara langsung dengan membantu Parti Demokrat Kristian demi menentukan kekalahan Parti Komunis Itali. Begitu juga apabila Perancis berundur dari Vietnam pada 1950-an, AS campur tangan politik negara itu untuk mengelakkan ketua pemberontak Ho Chi Minh memenangi PRU.

Kesan campur tangan AS inilah mengakibatkan Vietnam ber­pecah kepada dua negara berbeza.

Penglibatan AS dalam politik tempatan Itali dan Vietnam mempunyai matlamat yang serupa iaitu menghalang fahaman komunis daripada merebak kera­na ketika itu ancaman ideologi tersebut adalah paling ketara terhadap negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi. Matlamat seperti ini begitu ketara sekali semasa kemuncaknya era Perang Dingin.

Kedua-dua kes campur tangan di Itali dan Vietnam walaupun terjadi enam dekad terdahulu tetapi menarik kerana strateginya bukan menggunakan tindakan ketenteraan tetapi membantu dari segi dana kepada parti dan pemimpin pilihan AS.

AS juga sering terlibat secara langsung dalam membantu berlakunya rampasan kuasa melalui ketenteraan. Umpamanya Perdana Menteri Iran, Mohammad Mosaddeq digulingkan pada 1953 melalui rampasan kuasa yang didalangi oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan seperti diketahui AS membantu Mohammad Reza Pahlavi dilantik sebagai Shah Iran.

Jika diungkitkan apa yang ­telah berlaku terhadap Presiden Iraq Saddam Hussein dan Muammar Gadaffi iaitu pemimpin Libya, maka campur tangan AS melalui strategi ketenteraan secara langsung adalah begitu nyata sekali. Jika diteliti campur tangan AS dalam politik tempatan negara lain, tidak terhad kepada negara yang dianggap tidak akrab de­ngan Washington, tetapi berlaku juga terhadap negara yang dianggap sekutu kuat mereka seperti Israel.

Ketika PRU Israel pada 1996, AS secara terang menyokong Shimon Perez dalam menghadapi tentangan daripada Parti Likud dengan calon mereka Benjamin Netanyahu. Sokongan kepada Perez adalah berpandukan kepada kepercayaan lebih mudah bagi AS melaksanakan dasar luar berkaitan Palestin dengan Perez sebagai Perdana Menteri Israel.

Strategi AS mencampuri urus­an dalaman politik tempatan negara asing atau pada keadaan tertentu cuba mempengaruhi keputusan pilihan raya sering berubah mengikut matlamat dan keadaan semasa.

Jika ketika era Perang Dingin, strategi campur tangan sering dilakukan secara rahsia dan tersirat oleh CIA tetapi pada ketika ini tugas tersebut telah diambil alih oleh beberapa organisasi seperti National Endowment for Democracy (NED), International Republican Institute (IRI) dan National Democratic Institute (NDI).

NED, IRI dan NDI walaupun dianggap sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi mendapat dana daripada ­kerajaan AS untuk melaksanakan aktiviti mereka.

Jika NGO negara asing ­menerima dana dari CIA maka proses tersebut sudah pasti akan menimbulkan syak wasangka tetapi jika NED, IRI atau NDI yang menyalurkan dana maka agak sukar menelaah niat sebenar kerana organisasi tersebut akan mendakwa tujuan dana adalah untuk aktiviti menyuburkan proses demokrasi negara tersebut.

Sebab itu, tuduhan AS terhadap Rusia yang dikatakan cuba mempengaruhi keputusan pilih­an raya presiden 2016 adalah agak ironis kerana dalam hal ini AS dianggap sebagai jaguh dan Rusia begitu jauh ketinggalan dari segi keberkesanan dan jumlah campur tangan.

Sebab itu juga apabila Presiden Donald J. Trump mengarahkan dilakukan siasatan terhadap 16 negara yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS, apakah arah­an tersebut menjurus kepada faktor ekonomi semata-mata atau pun strategi untuk mempe­ngaruhi politik tempatan negara terbabit menjadi tanda soal.

Tidak menghairankan apabila China mempunyai lebihan dagangan tertinggi iaitu sebanyak AS$347 bilion diikuti pula oleh Jepun dengan AS$69 bilion.

Tetapi apabila Malaysia pula dikatakan mempunyai lebihan dagangan sebanyak AS$25 bilion sedangkan mengikut perkiraan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) jumlah lebihan Malaysia ha­nyalah AS$6 bilion, timbul kemusykilan mengenai perbezaan jumlah yang begitu ketara sekali.

Jika bekas Presiden Barack Obama tanpa berselindung cuba mempengaruhi rakyat Britain supaya mengundi untuk kekal dalam Kesatuan Eropah (EU), itu ditakrif sebagai campur tangan politik negara lain secara nyata.

Begitu juga apabila beliau menyokong calon presiden Perancis, Emmanuel Macron yang berhadapan dengan pencabar Marine Le Pen, kaedah itu juga mudah dapat dibaca.

Tetapi jika peranan CIA te­lah diambil alih oleh organisasi ­seperti NED, IRI dan NDI dan faktor ekonomi, hak asasi dan keadil­an pula digunakan, maka agak mudah bagi AS mempenga­ruhi suasana politik tempatan sesebuah negara dan Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini.

Lebih membimbangkan adalah rakyat negara yang terbabit, besar kemungkinan tidak menyedari dan peka mereka telah dipenga­ruhi sedikit-sebanyak oleh AS.