Kenyataan berkenaan antara lain mengandungi tuntutan Doha supaya kedua-dua kota yang begitu istimewa kepada umat Islam itu ditakrifkan sebagai milik antarabangsa.

Seperti yang dijangka Riyadh membantah dan menuduh Qatar sebagai mengisytihar perang terhadap Arab Saudi.

Walaupun Doha menafikan ada mengeluarkan kenyataan tersebut tetapi Menteri Luar Arab Saudi tetap bertegas bahawa Riyadh berhak mengambil tindakan kerana tindakan Doha dianggap begitu agresif.

Bukan satu kebetulan isu yang membabitkan dua kota itu berlaku ketika umat Islam dari seluruh dunia sedang bersiap sedia menunaikan ibadah haji kerana Riyadh telah mengenakan beberapa sekatan terhadap jemaah haji dari Qatar iaitu tindakan rentetan sekatan yang bermula 5 Jun lalu.

Ekoran sekatan terhadap jemaah haji Qatar yang dianggarkan berjumlah 20,000 orang pada tahun ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Qatar (NHRC) telah mengemukakan aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan alasan faktor kebebasan beragama.

Tidak kira sama ada benar atau tidak tuntutan mengenai dua kota dikeluarkan oleh Doha, tidak menghairankan mengapa Riyadh begitu marah sehingga mengungkit persamaan dengan pengisytiharan perang kerana aduan NHRC kepada PBB adalah satu tamparan kepada Arab Saudi.

Mungkin ramai tertanya-tanya apakah ugutan ungkapan perang oleh Arab Saudi hanya sebagai amaran semata-mata atau pun sebaliknya kerana jika diambil kira apa yang menimpa Yemen apabila Riyadh mengguna pakai strategi ketenteraan bagi menangkis ancaman dari kumpulan Houthi, maka agak membimbangkan kerana ada kebarangkalian kedua-dua negara Teluk ini akan berperang.

Tetapi jika diteliti faktor ekonomi sahaja, maka kedua-dua negara yang bersengketa ini sudah pasti akan mengelak perang daripada tercetus kerana mereka mempunyai asas ekonomi yang saling bergantung di antara satu sama lain.

Malah jika diambil kira, empat lagi negara Teluk iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Oman dan Kuwait yang bersama-sama Arab Saudi dan Qatar mempunyai ikatan dalam Majlis Negara Teluk (GCC), maka tiada satu pun negara dalam GCC mahu menyaksikan perang tercetus di antara Arab Saudi dan Qatar.

Bukan sahaja keenam-enam ahli GCC adalah negara kritikal untuk sumber minyak dan gas asli dunia, malah mereka memiliki banyak kepentingan dana pelaburan strategik melalui syarikat pelaburan yang lebih dikenali sebagai ‘sovereign wealth funds’ (SWF).

Mengapa kewujudan SWF ini dianggap penting adalah secara tersuratnya ia adalah badan pelaburan milik kerajaan dan lazimnya pelaburan dilakukan di luar negara.

Tetapi secara tersiratnya walaupun pelaburan luar negara SWF bertujuan memperoleh keuntungan tetapi SWF juga lazim digunakan untuk kepentingan geopolitik iaitu kemampuan untuk mempengaruhi politik negara asing melalui faktor ekonomi.

Dalam kalangan ahli GCC terdapat tujuh SWF yang tersenarai 20 SWF terkaya di dunia dan SWF milik UAE dianggap SWF paling besar asetnya diikuti oleh SWF dari Norway.

Secara keseluruhannya UAE mempunyai empat SWF dalam senarai tersebut dan masing-ma­sing satu SWF milik Saudi Arabia, Kuwait dan Qatar.

Perlu ditekankan juga Si­ngapura mempunyai dua SWF dalam senarai tersebut dan Malaysia walaupun mempunyai dua SWF tetapi hanya mempunyai jumlah aset yang kecil dan tidak tergolong dalam senarai 20 SWF terkaya dunia.

Hakikatnya, tujuh SWF terkaya dunia adalah milik ahli GCC yang sedang bersengketa pada ketika ini dan jika digabungkan SWF milik ahli GCC maka pengaruh yang dimiliki dalam mencorak bukan sahaja ekonomi malah geopolitik dunia adalah begitu signifikan sekali.

Sebab itu, dihujahkan tidak ada satu pun dalam kalangan ahli GCC mahu menyaksikan perang tercetus kerana ini akan memporak-perandakan bukan sahaja asas ekonomi ahli GCC malah akan membabitkan juga ekonomi dan geopolitik global.

Mengikut data Bank Dunia untuk 2016, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita tertinggi adalah milik Qatar dan ini adalah satu manifestasi peng­urusan kewangan yang efisien.

Sementara itu, UAE dan Arab Saudi juga tersenarai dalam negara yang memiliki KDNK per kapita 10 teratas di dunia iaitu masing-masing di tangga kelima dan kesepuluh.

Walaupun akibat pergeseran sesama negara Islam belum lagi terkesan dalam hal ekonomi tetapi akibat geopolitik sudah mula terasa. Beberapa hari lalu, Qatar dan Amerika Syarikat (AS) me­meterai perjanjian mengenai peraturan kekangan penyaluran kewa­ngan yang boleh digunakan untuk membiayai aktiviti keganasan.

Salah satu punca pergeseran adalah dasar luar Qatar yang ba­nyak membantu kumpulan se­perti Hamas, Hizbollah dan juga Ikhwanul Muslimin yang pada pandangan ahli GCC lain dianggap sebagai kumpulan pengganas iaitu selari dengan dasar luar AS.

Apa yang paling dikhuatiri pergeseran GCC ini telah memaksa Qatar akur tidak akan membiayai lagi aktiviti kumpulan yang ditakrifkan sebagai pengganas mengikut takrifan AS.

Bukan menjadi rahsia bahawa takrifan ungkapan pengganas dan keganasan oleh AS adalah mengikut acuan dasar luar mereka dan lazimnya tidak selari dengan majoriti negara Islam lain.

Hakikatnya, walaupun pergeseran GCC ini tidak akan menjurus kepada peperangan tetapi yang menerima kesan tidak baik bukan sahaja ahli GCC tetapi negara Islam yang lain.