Pada masa sama Arab Saudi juga harus memastikan keselamatan jemaah ketika melaksanakan ibadah itu. Ia termasuklah menentukan tidak berulang sebarang tragedi yang boleh meragut nyawa jemaah haji dari seluruh dunia.

Mengikut statistik, jumlah keseluruhan jemaah haji tahun ini mencecah 1,862,909 orang. Daripada jumlah tersebut 1,325,372 orang adalah jemaah haji negara luar manakala 537,537 orang jemaah tempatan.

Dengan jumlah jemaah yang begitu besar ditambah pula dengan ketegangan hubungan diplomatik dengan Iran, sudah tentulah Arab Saudi mahu memastikan musim haji tahun ini berjalan lancar.

Ternyata kerajaan Arab Saudi tidak duduk diam. Pelbagai langkah penambahbaikan dilakukan oleh mereka dalam memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah haji.

Beberapa rakan yang pernah berada di Mekah ketika musim haji lalu mengakui pada tahun ini keadaan jauh lebih baik sama ada dari segi keselamatan mahupun penjagaan kebersihan.

Justeru tidak hairanlah ke­sungguhan kerajaan Arab Saudi itu turut mendapat pujian Malaysia melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Kata Jamil Khir, pemerintah Arab Saudi dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk memastikan jemaah haji dapat melakukan ibadah dengan selesa dan selamat.

Sememangnya bukanlah satu tugas yang mudah bagi mereka untuk mengendalikan hampir dua juta manusia dalam satu-satu masa, tetapi Arab Saudi berjaya melakukannya.

Dari segi keselamatan contohnya, mereka bertindak tegas menghalang kemasukan jemaah haji yang tidak mempunyai permit. Hampir 200,000 orang telah diusir kerana cuba berbuat demikian.

Dalam masa yang sama, kawalan keselamatan terus diper­tingkatkan melibatkan ribuan anggota keselamatan di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan jemaah haji bukan sahaja di Mekah tetapi juga Madinah.

Kerajaan Arab Saudi juga memperkenalkan pemakaian gelang elektronik sebagai langkah keselamatan bagi memantau pergerakan jemaah. Ia dilengkapi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) yang boleh menentukan lokasi setiap jemaah.

Selain itu, gelang tersebut juga memuatkan maklumat peribadi dan kesihatan jemaah serta membantu kerajaan Arab Saudi mengenal pasti identiti seseorang.

Untuk tujuan keselamatan juga kerajaan Arab Saudi memasang hampir 1,000 unit kamera litar tertutup di sekitar Masjidilharam untuk memantau pergerakan jemaah. Di khemah-khemah jemaah di Arafah, karpet dipasang manakala kipas pendingin haba (cooling fan) turut ditempatkan di khemah jemaah di Mina.

Berdasarkan pemerhatian penulis sepanjang berada di Mekah dan Madinah serta laporan media tempatan adalah jelas kerajaan Arab Saudi telah berusaha melakukan yang terbaik bagi memastikan musim haji tahun ini berjalan lancar dan selamat.

Sama ada di Madinah, Masjidilharam, Arafah, Muzdalifah mahupun Mina ribuan anggota keselamatan dan agensi lain negara itu cuba memberikan perkhidmatan terbaik.

Walaupun terpaksa bertugas sehingga dinihari dan mengawal manusia daripada pelbagai negara dengan pelbagai ragam namun mereka sentiasa tenang melaksanakan tanggungjawab tersebut kerana sepertimana ka­ta Raja Arab Saudi, Raja Salman: “Melayani tetamu Allah adalah satu penghormatan untuk kami.”

Kesimpulannya, musim haji tahun ini menyaksikan bagaimana Arab Saudi membuktikan kemampuan mereka untuk menguruskan ibadah haji di sebalik kecaman Iran berikutan tragedi rempuhan tahun lalu.

Arab Saudi ternyata tidak tergugat dengan tindakan Iran yang kali pertama dalam tempoh tiga dekad tidak menghantar rak­yatnya menunaikan haji. Ia memandangkan apapun berlaku ibadah jemaah haji tidak harus diseret dalam kancah pergolakan politik dan itulah pendirian Arab Saudi sehingga memungkinkan mereka berjaya memberi perkhid­matan terbaik pada musim haji tahun ini.