Suara merdu diibarat buluh perindu. Anak yang kecil ditamsil rebung buluh. Perniagaan yang tiada untung pula dikatakan seperti berniaga buluh kasap. Begitulah akrabnya buluh dengan pemikiran orang Melayu.

Sebab itulah apabila Menteri Industri Utama, Teresa Kok mencadangkan supaya golongan petani mempelbagaikan tanaman mereka dengan mengambil tanaman buluh sebagai salah satu tanaman alternatif, ia tidak sepatutnya janggal disahut oleh majoriti petani dan peneroka berbangsa Melayu.

Tapi, menteri itu tetap juga dikecam. Mengapa? Kejanggalan cadangan menteri itu bukanlah kerana buluh. Jika diteliti, tanaman buluh memang ada nilai komersialnya dan memang baik untuk bumi yang kita cintai ini.

Untuk mendalami keluasan pasaran dan manfaat buluh, seeloknya kita merujuk kepada Dr. Pablo Van Der Lugt, cendekiawan Belanda yang menggelarkan dirinya sebagai pakar buluh (Bamboo Expert). Van Der Lugt menghasilkan sebuah buku bertajuk Booming Bamboo yang meneroka potensi buluh sebagai bahan binaan futuristik. Lebih mudah, cari sahaja video syarahannya di TedTalk yang bertajuk Bamboo to Save the World.

Hujah Van Der Lugt mudah. Dalam dunia yang semakin tua ini, kita bakal kekeringan bahan untuk industri pembinaan.

Konkrit, besi, aluminium dan lain-lain bahan binaan yang diguna secara meluas sekarang akan kehabisan. Dalam erti kata lain, ia sumber yang tidak boleh diperbaharui.

Berbeza dengan buluh, ia boleh ditanam dan tempoh tuaiannya singkat, iaitu sekitar empat tahun sekali tuai.

Bukan sahaja dalam bidang binaan, buluh juga mempunyai kegunaan yang sangat pelbagai dan masih ada banyak potensi untuk diteroka. Sehingga kini, sudah ada perabot, kertas dan pakaian yang diperbuat daripada buluh.

Buluh, dalam banyak negara sudah mula dilihat sebagai industri gergasi pada masa hadapan. Bagaimanapun, adakah Malaysia bersedia ke arah itu?

Di sinilah kerajaan perlu mengambil peranan. Teresa tidak boleh hanya bercakap tentang buluh dan main suruh-suruh petani dan peneroka menanam buluh.

Teresa yang kini menjadi ‘kepala’ Kementerian Industri Utama perlu bertindak dan dilihat bertindak (meminjam konsep undang-undang: keadilan perlu dilaksanakan dan dilihat dilaksanakan).

Bukan kali pertama Teresa bercakap tentang buluh. Dia pernah menyuarakan hasratnya untuk melihat industri buluh di negara ini berkembang ketika melancarkan Hari Buluh Sedunia pada September tahun lalu. Cuma, belum nampak apa-apa hasil daripada visi murni tersebut.

Industri buluh yang penuh potensi ini masih kecil di Malaysia. Pada 2017, eksportnya baru mencatat nilai RM300,000. Bandingkan dengan China, di bandar Yibin dalam wilayah Sichuan sahaja nilainya pada tahun 2017 sudah mencecah kira-kira RM4.5 bilion.

Kementerian Teresa perlu mengambil peranan dengan menyediakan rancangan khusus untuk industri buluh di Malaysia.

Bermula dengan pendidikan tentang industri itu kepada petani, ia perlu diluaskan sehingga ke peringkat menyediakan bantuan kewangan dan kepakaran untuk petani meneroka industri tersebut.

Buluh memang sudah dikenali tetapi bukan industri buluh. Ia jauh lebih kompleks. Segala macam taklimat tentang teknologi dan potensi tanaman itu perlu diberi agar petani tidak was-was untuk membuka langkah pertama.

Bukannya apa, pasti ada rasa cuak si petani untuk meneroka pasaran baharu. Mereka tak mahu tersalah pilih seperti terkena buku buluh, kerana akhirnya usaha mereka hanya ibarat berniaga buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap.

Menteri pula tidak boleh hanya bercakap seperti gelegar buluh. Bertindaklah dengan penuh bijaksana. Ibarat ular biar mati, tanah jangan lekuk, buluh jangan pukah.