Apakah Malaysia Baharu ini bermakna apa-apa? Dari sebuah negara kecil yang miskin pada 1957, Malaysia berkembang menjadi sebuah negara membangun. Kemajuan mendadaknya dipacu oleh pentadbiran yang baik yang menyeimbangkan kestabilan sosial dan pertumbuhan ekonomi. Walaupun Malaysia negara pelbagai kaum, ia tetap kekal sebagai negara yang aman dan bertole­ransi - sesuatu yang sulit ditemukan di dalam negara yang mempunyai komposisi masyarakat maj­muk.

Perdana Menteri sekarang, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga adalah Perdana Menteri keempat yang dianggap sebagai bapa pemodenan. Walaupun begitu, beliau juga berhadapan dengan kemarahan rakyat suatu ketika dulu apabila berlakunya demonstrasi besar-besaran pada 1998 dalam kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan akibat pertuduhan salah guna kuasa. Kini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berhadapan dengan beberapa pertuduhan ra­suah berkaitan skandal 1MDB yang masih dalam proses siasatan.

Malah, Malaysia Baharu juga ditadbir oleh seorang Perdana Menteri yang pernah berada dalam BN, yang suatu ketika dulu pernah di­cerca oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH). Oleh itu, ‘Malaysia Baharu’ ini tidak bererti apa-apa melainkan kerajaan dan rakyat sendiri mengubah diri mereka untuk ke arah yang lebih baik.

Kerajaan yang ada pada hari ini perlu mewujudkan semula kebebasan bersuara untuk rakyat dan membuka diri mereka untuk menerima kritikan membina. Memandangkan PH telah membentuk kerajaan dan BN te­lah menjadi barisan pembangkang, pandangan kedua-dua parti perlu diambil kira tanpa satu pihak mengutuk secara berlebihan pihak yang satu lagi. Ini membolehkan amalan check and balance dipupuk oleh kerajaan pemerintah bagi memastikan janji-janji ditepati demi rakyat.

Usaha untuk membasmi ra­suah perlu dilakukan secara me­nyeluruh dan bukan sekadar wa­yang politik. Siasatan yang se­dang berjalan berhubung ra­suah dan salah urus 1MDB wajar dilakukan seiring dengan siasatan terhadap pertuduhan rasuah yang lalu melibatkan Perwaja dan urus niaga mata wang asing (forex). Kerajaan juga perlu memastikan peruntukan untuk rakyat disalurkan tanpa ketirisan.

Rakyat Malaysia perlu berasa bangga dengan menyebarkan be­rita positif mengenai negara ke mana sahaja mereka pergi ter­utama sekali bagi yang menetap di luar tanah air. Sangat menyedihkan melihat sesetengah rakyat negara ini yang memburukkan negara ini sehinggakan ada yang malu mengaku sebagai rakyat Malaysia.

Dan amat menyedihkan juga ramai rakyat Malaysia mengaku rakyat negara ini tetapi tidak fasih bertutur bahasa kebangsaan dan tidak berbangga dengan bahasa Melayu sebagai bahasa penya­tuan. Sehingga hari ini, terdapat rakyat yang lahir dan dibesarkan di negara ini tetapi tidak boleh berbahasa kebangsaan seolah-olah mereka baru tiba di negara ini dari tanah asing.

Selain itu, permintaan Bari­san Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang ingin Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada semua kaum juga sesuatu yang tidak patut berlaku tatkala negara masih berada dalam pe­ringkat awal fasa perubahan. Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mahukan bahasa Mandarin diberikan status yang lebih baik sebagai bahasa negara juga boleh menjejaskan perpaduan rakyat. Dalam pada itu, kritikan terbuka seorang aktivis, Fadiah Nadwa Fikri terhadap institusi beraja menerusi artikelnya baru-baru ini bukanlah sesuatu yang sihat untuk sebuah negara yang mempunyai populasi majoriti Melayu Muslim.

Hak istimewa orang Melayu-bu­miputera adalah isu sensitif sepertimana sensitifnya persoalan hak-hak kerakyatan kaum bukan Melayu-bumiputera. Perlu diingatkan bahawa hak istimewa orang Melayu yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan adalah salah satu daripada imbal balik dari pemberian ke­rakyatan kepada kaum bukan Melayu menjelang kemerdekaan. Jika tidak, masyarakat bukan Melayu di negara ini akan jadi tidak bernegara seperti kaum Rohingya di Myanmar dan masyarakat Cina di Brunei pada hari ini.

Di sebalik berita-berita buruk mengenai Malaysia sejak kebe­la­kangan ini, rakyat negara ini se­karang boleh berbangga me­nunjukkan kepada dunia bahawa demokrasi subur dan mekar di negara ini. Tidak ada campur ta­ngan ketenteraan dan rusuhan besar-besaran yang berlaku sewaktu pemindahan kuasa berlangsung daripada BN kepada PH, suatu petunjuk bahawa Malaysia adalah negara aman, makmur dengan rak­yatnya yang bertamadun tinggi.

Malaysia Baharu tidak akan bererti apa-apa sekiranya rakyatnya sendiri tidak berbangga dengan tanah air dan berusaha keras membawa negara ke mata dunia. Marilah kita mengetepikan perbezaan fahaman politik kita demi Malaysia tercinta.

DR. MOHD. HAZMI MOHD. RUSLI ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan profesor pelawat di Sekolah Undang-Undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.