Seandainya anda pernah melalui zaman kena buli di waktu persekolahan, pengalaman ini mahu tidak mahu akan menghantui anda sehingga ke alam dewasa. Membezakannya ialah jika anda bangkit membalas balik atau terus sepi tidak berdaya menentang.

Ada juga yang bangkit itu, tidak menyangka memiliki kuasa mempertahankan diri, kemudiannya bertukar menjadi pembuli juga, dan dalam kebanyakan kes, mere­ka ini adalah seteruk-teruk pembuli di sekolah. Kerana `mabuk kuasa’ tapi markah ujian sekolah tidak seberapa.

Pembuli di jalan raya pula adalah istilah yang sudah sinonim terhadap golongan pemandu kurang siuman yang mengekori kereta anda dalam jarak yang sangat dekat, membunyikan hon bertalu-talu, atau menghimpit kereta anda sehingga terbabas.

Disebabkan itu jugalah, sekarang ramai yang memasang kamera kecil pada dashboard. Dari semasa ke semasa kita dapat saksikan rakaman yang disiarkan di dalam Facebook.

Di atas adalah dua contoh pembuli dan berikut adalah lapan lagi spesies pembuli yang disenaraikan oleh Merrepak untuk perhatian dan penilaian anda:

3 Pembuli Media Sosial

Jika anda mengikuti kes pertandingan ratu cantik baru-baru ini, anda tahu tiga peserta akhir termasuk juara telah kehilangan gelaran, gara-gara munculnya semula video terlampau masing-masing. Semua ini juga dikategorikan kesan pembulian media sosial kerana kerjaya seseorang boleh musnah sekelip mata akibat buli siber. Persoalannya siapa yang salah? Yang menyiarkan video atau yang dirakam aksi?

4 Pembuli pejabat

Anasir ini kebanyakannya merupakan pekerja lama, agak berusia tetapi berasa diri tidak dihargai ketua terutama dari segi kenaikan gaji dan pangkat. Bila ketua unit baharu dilantik adalah lebih muda, lebih junior maka semua kaedah pemberontakan dilancarkan.

Spesies ini akan menolak arahan sama ada secara senyap atau terang-terang, jika senyap deadline tidak pernah dipatuhi. Jika terang-terang, selamba kata `tidak mahu’. Terserah kepada keberanian ketua baharu sama ada hendak mengenakan tindakan disiplin atau membiarkan `tunggul kayu’ itu berbuat sesuka hati, asalkan tidak mengganggu hidup pekerja lain.

5 Pembuli sukan

Merupakan satu fenomena unik kerana ada kes ia salah jurulatih, ada pula pengurusan dan ada juga atlet itu sendiri. Gaduh disebabkan cara taktik tidak disukai, marah gaji lewat dibayar, pecat sebab atlet ingkar. Dalam hati, jika beginilah gayanya dunia sukan, bagaimana kita hendak yakinkan ibu bapa untuk membenarkan anak-anak berkecimpung dalam arena sukan dari usia kecil?

6 Pembuli persatuan

Ada persatuan berasaskan komersial, maka semangat perlumbaan untuk mencapai KPI begitu tinggi. Jadi akan ada yang menjadi `pendesak’ dan `pembuli’ sekali gus. Maklumlah, nak untung. Mungkin kes sebegini boleh diterima sebab entiti berasaskan keuntungan.

Masalahnya ia berlaku pada entiti bukan komersial seperti persatuan ibu bapa dan guru, persatuan kejiranan contohnya. Kemunculan entiti pembuli biasa datang daripada mereka yang berjawatan di dalam AJK, dan `mahu dilihat serius bekerja’ maka bermacam peraturan dan syarat dilaksanakan. Mereka tidak tau orang melihatnya sebagai cubaan mereka `mahu memegang jawatan sepanjang hayat’.

7 Pembuli perniagaan

Dapat rakan kongsi yang sejiwa sekata, adalah sesuatu yang dicari-cari oleh semua, terutama kita yang baru hendak menceburi bidang perniagaan. Malangnya, awal-awal lagi anda dikerah mencari 60 peratus dana, mencari bank untuk minta pinjaman dan menyewa kedai. Rakan niaga anda sibuk mengarah sahaja.

8 Pembuli alumni

Spesies ini adalah legasi daripada pembuli sekolah atau kolej yang berlarutan hingga ke alam dewasa. Mereka masih berasakan diri mereka ketua kelas, pengawas dan ketua platun Kadet Polis yang terus melalak arahan di dalam grup WhatsApp tiap kali sesi reunion hendak diadakan. Walhal semua sudah 40 tahun ke atas!

9 Pembuli kantin

Tiap kali masa makan tengah hari, ketika ramai yang beratur akan pasti ada seorang dua yang kelihatan keluar-masuk memotong barisan. Dia beri alasan, tidak makan juadah tertentu dan terus menuju kepada talam yang dihajatinya. Percaya atau tidak, kebanyakannya wanita!

10 Pembuli politik

Sejak 9 Mei 2018, kita diajar bahawa sesiapa yang kalah politik akan diajar secukup-cukupnya, dimalukan dan dihadap ke mahkamah, tanpa mengira kertas pertuduhan sudah siap atau tidak. Jika puak yang tewas itu kembali berkua­sa, tentu benda ini akan berulang. Ini disebabkan sekarang puak yang menang macam membalas dendam pada yang tewas. Kita yang marhaen ini tertanya-tanya, siapa hendak bebaskan negara ini daripada kos kehidupan mahal bila semua jadi pembuli politik?