Mereka bergerak bebas tanpa rasa gentar. Berbeza dengan perasaan kita apabila berada di negara orang, sentiasa berhati-hati dan takut buat kesalahan. Tetapi warga asing di negara kita, tidak kisah tentang semua itu. Mungkin mereka juga sudah lali dengan operasi memburu warga asing, khasnya pekerja asing tanpa izin. Mereka tak takut lagi pada polis, imigresen dan pihak berkuasa yang lain.

Sehingga hari ini belum nampak statistik terbaru tentang jumlah warga asing di Malaysia. Rasanya tidak nampak susut bilangannya, sebab kini di kampung-kampung pun sudah ramai kelibat warga asing.Dahulu daripada menjadi pekerja potong rumput, kini warga Bangladesh dan Pakistan sudah jadi tauke perkhidmatan potong rumput di kawasan perumahan.

Daripada mengayuh basikal untuk menjual karpet, sudah ada motosikal dan van untuk mengangkut barangan jualan. Malah kian banyak kedai baru atau lama yang disewa warga Pakistan untuk menjadi kedai karpet mereka. Daripada kuli tempat cuci kereta, kini kian banyak premis tersebut dikuasai dan dimiliki warga Bangladesh.

Jangan cerita penguasaan orang Aceh dari Indonesia dalam rangkaian kedai runcit dan kedai gunting rambut. Malah ramai pekerja kontrak Indonesia yang sudah bergelar kontraktor rumah. Begitu juga warga Thai yang keluar masuk negara ini untuk menjual keropok dan rangkaian restoran tomyam.

Masalah Awang Hitam terutama Nigeria yang tidak pasti statusnya sama ada pelajar atau pelancong masih merisaukan masyarakat kita. Bertuah warga asing di Malaysia boleh bergerak bebas, biar pun banyak yang sudah tamat tempoh permit kerja dan had lawatan sosial di negara kita.

Pun begitu, pembongkaran sindiket pemalsuan dokumen perjalanan di Lembah Klang oleh Jabatan Imigresen baru-baru ini mendedahkan betapa warga asing sudah tidak menghormati undang-undang negara kita.

Pemalsuan pasport, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), lesen memandu Malaysia dan sijil pendidikan tinggi yang di­lakukan oleh sindiket yang terdiri daripada warga Bang­ladesh, Pakistan, In­do­nesia dan Filipina serta rakyat tempatan amat membimbangkan. Ini ke­rana kegiatan jenayah itu telah bergerak beberapa tahun lalu.

Jadi, bayangkan berapa ramai warga asing yang status mereka patut kita ragui. Barangkali sebab itu jugalah warga asing tidak gentar berada di mana-mana di negara ini. Malah ada yang sudah berkeluarga dan bawa anak bini ke negara ini.

Merisaukan

Dua minggu lepas Jabatan Imigresen mendedahkan ten­­tang perkara yang me­ri­saukan rakyat Malaysia se­lama ini. Tentang ke­giatan warga asing yang men­­­jalankan perniagaan di negara kita. Hasil Op Mega 2.0 Jabatan Imigresen ber­jaya mengesan segelintir warga asing yang dahulunya memonopoli industri pembinaan serta perkilangan sebagai buruh kasar kini telah beralih kepada sektor perniagaan sekali gus menyalahgunakan permit pekerjaan.

Memang negara kita ada menjemput warga asing untuk datang bekerja di sini tetapi bukan berniaga. Kini, ke mana-mana kita pergi pasti ada warga asing dapat tempat berniaga. Tidak kira sama ada di tepi jalan, kaki lima bangunan atau premis perniagaan.

Mereka mencemarkan imej negara kita. Ketika peniaga kita beralih cara perniagaan moden dan bersih misalnya food truck, warga asing berniaga cara lama yang menyakitkan mata memandang – kotor dan bersepah.

Benar, mereka kian ramai dan semakin berani untuk mengambil alih peluang pekerjaan dan perniagaan di negara kita. Tidak kita tahu sama ada pembahagian sektor pekerjaan bagi pekerja warga asing ini masih berkuat kuasa atau tidak.

Sebab, kita boleh melihat pekerja warga Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Vietnam ada di mana-mana sektor pekerjaan. Malah ada yang bebas membuat kerja mengambil upah secara kontrak membina rumah, memotong rumput dan tempat mencuci kenderaan dan kedai gunting rambut.

Silap orang kita juga kerana memberi muka. Kita terima mereka berniaga atas alasan harga barangan dan perkhidmatan mereka lebih murah daripada harga peniaga tempatan. Akhirnya daripada pekerja, mereka kini menjadi majikan dan miliki perniagaan sendiri.

Kita tidak nafikan warga asing rajin dan tahan lasak. Begitulah lumrah kehidupan, bangsa Melayu di negara asing pun boleh berniaga dan kaya kerana mereka perlu berdikari dan cekal menghadapi dugaan dan cabaran. Samalah dengan pekerja asing di Malaysia.

Mereka bekerja kuat untuk mengubah nasib dan bantu keluarga di kampung. Sanggup pula ambil risiko termasuk berniaga - yang sepatutnya sama sekali tidak dibenarkan berbuat demikian. Tetapi semakin galak bilangan mereka yang berniaga.

Pihak berkuasa sepatutnya bertindak tegas, sekali diberi peluang sukar untuk ditarik balik. Peniaga asing tidak ambil kisah jika warga tempatan tidak menjadi pelanggan utama kerana bilangan rakyat asing daripada rakan senegara sudah cukup ramai jadi pelanggan mereka. Sebab itu kita boleh lihat mereka tidak takut dan malu untuk memasang papan tanda dalam tulisan Urdu, Nepal, Burma dan Bengali untuk menarik perhatian warga senegara.

Orang tempatan kita pun bersalah dalam hal ini. Kita membiarkan warga asing menyewa lesen dan permit peniaga tempatan, lelaki asing dari Pakistan dan Bangladesh mencari isteri rakyat tempatan demi memudahkan pendaftaran perniagaan.

Taktik lain diguna ialah mencari rakan kongsi rakyat tempatan yang sanggup meminjamkan nama. Rakyat tempatan hanya proksi manakala warga asing menjadi tauke sebenar. Inilah punca sebenar warga asing berani berniaga tanpa rasa gentar.

Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara perlu ada garis panduan jelas tentang jenis perniagaan yang tidak boleh disertai warga asing. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur misalnya telah menggariskan syarikat asing yang ingin membuka perniagaan mestilah daripada jenama antarabangsa dan mempunyai modal melebihi RM1 juta. Cari ini betul.

Pihak berkuasa kita perlu jelas dan tegas. Beri amaran kepada warga asing bahawa mereka sesekali tidak dibenarkan membuka perniagaan runcit, pasar mini, kedai gunting rambut, kafe siber, dobi, kedai menjahit pakaian dan lain-lain.

Barangkali peraturan itu ada, tetapi tidak ada penguatkuasaan. Mungkin berlaku penyelewengan dan rasuah, sebab itu apa sahaja undang-undang yang kita gubal tidak akan terlaksana. Jika tidak sudah lama tiada warga asing yang berani buka perniagaan secara terang-terangan.