Sekurang-kurangnya 49 jemaah mati manakala berpuluh-puluh lagi cedera akibat ditembak. Difahamkan setakat hari ini 41 orang mati di Masjid Al-Noor manakala lapan lagi mati di Masjid Linwwood, Christchurch. Kesemua mereka mati akibat ditembak dan bukan mati dalam kejadian `tembak-menembak. Mereka adalah jemaah yang datang ke masjid itu untuk menunaikan solat Jumaat dan mereka tidak bersenjata. Tiga rakyat Malaysia turut menjadi mangsa dalam kejadian tersebut. 

Serangan pengganas itu mengejutkan dunia apatah lagi berlaku di sebuah negara yang disenaraikan paling selamat untuk didiami. Institut Ekonomi dan Keamanan dalam laporan tahunan Indeks Keamanan Global 2018 menyenaraikan New Zealand sebagai negara kedua paling selamat di dunia selepas Iceland. Negara ini juga tersenarai dalam 10 buah negara tercantik di dunia dengan keindahan alam semula jadinya.

Bagaimanapun segala julukan paling selamat dan paling cantik yang diterima New Zealand hancur musnah dek perbuatan keganasan seorang lelaki yang membunuh umat Islam yang tidak berdosa hanya kerana Islamofobia, kebencian kepada kaum pendatang dan sikap anti-Islam. Pembunuhan terancang itu dilakukan tidak ubah seperti permainan game Player Unknown’s Battlegrounds (PUBG) yang sedang menjadi kegilaan ramai ketika ini. Si pembunuh merasakan dia sedang berada dalam dunia PUBG, meneroka peta New Zealand mencari ‘pengganas’ di dalam masjid sepertimana yang selalu digambarkan oleh Barat tanpa menyedari dialah sebenarnya pengganas!

Perbuatan itu dianggap paling bacul kerana menyerang manusia yang sedang menghadap Tuhan di rumah ibadat yang disifatkan sebagai tempat suci.

Dalam sekelip mata sahaja rakaman video pembunuhan tersebut tular dan dikongsi berjuta-juta manusia di seluruh dunia. Malah dipercayai ada yang menyaksikan kejadian itu secara langsung kerana pengganas terlibat membuat penstriman secara langsung detik-detik awal hingga akhir tragedi tersebut. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga mengeluarkan kenyataan meminta orang ramai tidak berkongsi atau menyebarkan rakaman pembunuhan tersebut.

Kenyataan itu bertujuan mengelakkan kejadian tidak diingini yang boleh mengundang suasana panik dan marah dalam kalangan masyarakat. Juga bertujuan menghormati sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa yang terlibat. Suruhanjaya itu juga memberi amaran akan menurun atau memadamkan semua hantaran video berkenaan dalam platform media sosial. Tidak pasti sejauh mana SKMM mampu memadamkan segala rakaman tersebut yang sedang merayau di setiap pelosok alam maya di muka bumi ini.

Dalam keadaan semua orang sedang bersedih dan terkejut dengan tragedi pembunuhan kejam yang dilakukan oleh seorang pengganas kulit putih sehingga mengorbankan begitu banyak nyawa yang tidak berdosa, masih ada lagi yang tergamak mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak sensitif dan jahat. Antaranya Fraser Anning seorang Senator di Australia.

Dia antara lain menuduh insiden pembunuhan beramai-ramai itu berpunca daripada program penghijrahan yang membolehkan golongan fanatik Islam berpindah ke New Zealand. Beliau mendakwa, Islam secara keseluruhannya adalah satu agama berideologikan keganasan yang berlindung di sebalik seorang pemimpin agama, yang menjustifikasikan peperangan tanpa henti terhadap sesiapa yang menentangnya dan menyeru pembunuhan mereka yang murtad.

Selain Anning, seorang wakil rakyat dari negara ini iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Mengkibol, Chew Chong Sin turut mengeluarkan kenyataan kontroversi apabila tidak semena-mena cuba mengaitkan apa yang berlaku di New Zealand dengan kerjasama UMNO-Pas. Persepakatan UMNO-Pas dan minat mereka terhadap kaum dan agama menurut Chong Sin adalah tidak bertanggungjawab sama sekali. ``Ia tidak memberi manfaat dalam pembinaan Malaysia baharu yang boleh diambil kesempatan oleh kumpulan pengganas asing,’’ menurutnya.

Seperti sebelum-sebelum ini, Chong Sin meneruskan pendekatan popular para pemimpin partinya iaitu `tembak dulu, tarik balik, mohon maaf, ugut saman’ setiap kali kenyataan yang dikeluarkan itu menjadi kontroversi dan menimbulkan kemarahan ramai. Apakah kewajaran kenyataan sebegitu ketika satu tragedi menyedihkan umat Islam baru sahaja berlaku? Adakah ini peluang terbaik meneruskan serangan yang telah dicetuskan beberapa pemimpinnya sejak UMNO dan Pas melakukan gencatan senjata dan menghulur salam persahabatan. Kenapa perlu ada ketakutan luar biasa terhadap kerjasama UMNO-Pas, dua parti yang kecundang teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu!

Walaupun kenyataan tersebut ditarik balik, perbuatan penuh prasangka itu tidak sedikit pun membantu keadaan malah menimbulkan rasa marah segenap lapisan masyarakat dan ini dapat dilihat daripada reaksi warga net dalam media sosial. Berpolitik ada batasnya, janganlah kejadian sedih dan menyayat hati seperti itu turut dipolitikkan. Berfikirlah dengan menggunakan akal dan bukan anggota badan lain Yang Berhormat! Jangan sampai ada remaja tergamak menghempuk kepala dengan telur sebagaimana berlaku kepada Anning!

Beginikah kualiti seorang wakil rakyat era Malaysia Baharu yang tahap pemikiran dan perbuatan masih terbelenggu di bawah tempurung pembangkang walaupun sudah menjadi kerajaan?

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dalam reaksinya berhubung insiden hitam itu menegaskan pengganas yang membunuh 49 jemaah masjid itu tidak ada tempat di negara tersebut dan di atas muka bumi ini. Kenyataan itu barangkali turut terpakai kepada sesiapa sahaja termasuk yang suka menangguk dalam air keruh demi mendapat ganjaran politik!