Menerusi gerakan itu sampah organik dijadikan baja kompos atau sumber tenaga alternatif. Sampah bukan organik pula diolah menjadi bahan kitar semula yang boleh digunakan balik.

Ada yang diolah menjadi sumber pendapatan yang menguntungkan. Hasil penjualan produk kitar semula itu juga menjadi sumber dana bagi membantu masyarakat setempat.

Khabarnya kempen yang dicetuskan oleh badan pengurusan zakat atau Rumah Zakat itu mendapat sambutan hangat seluruh masyarakat Indonesia.

Kempen itu sekali gus dapat mengurangkan kesan buruk daripada aktiviti pembuangan sampah yang tidak terkawal seperti wabak penyakit, pencemaran bau, udara, air serta kebersihan dan keselamatan kawasan sekitar tempat pembuangan sampah berkenaan.

Menerusi kempen tersebut sampah bertukar menjadi sedekah yang manfaatnya dapat dirasai oleh masyarakat setempat. Konsep sedekah sampah juga secara tidak langsung menukar sikap masyarakat terhadap bahan buangan itu.

Masyarakat semakin sedar tentang kepentingan menjaga kesihatan, mengitar semula sampah, menggunakan semula bahan buangan, mengurangkan pembuangan sampah serta berfikir sebelum membeli sesuatu barang yang boleh menjadi sampah setelah hanya sekali digunakan.

Sementara di Indonesia sampah bertukar menjadi sedekah, di Malaysia lain pula ceritanya, sedekah menjadi sampah.

Di bulan Ramadan penuh mulia dan keberkatan ini, ramai orang mahu bersedekah jariah. Maka berpusu-pusulah pertubuhan amal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan menganjurkan program sedekah terutama kepada golongan yang tidak bernasib baik seperti orang miskin, anak yatim, orang sakit serta golongan gelandangan.

Bagaimanapun program sedekah Ramadan bagi golongan gelandangan di ibu kota yang sungguh mulia tujuannya tercemar kerana berlaku pembaziran yang melampau.

Terlalu banyak makanan disumbangkan dan tidak setara dengan jumlah gelandangan. Golongan itu tidak berupaya menghabiskan sumbangan juadah berbuka puasa yang disedekahkan itu.

Sementelah di bulan puasa ini berapa banyak sangat yang dapat mereka makan. Akibatnya banyak timbunan makanan tidak diusik dan terbiar begitu sahaja.

Selain makanan dan minuman, ada pelbagai lagi sedekah lain yang turut tidak diusik seperti kotak-kotak berisi pakaian.

Pada masa-masa akan datang, penganjur program seumpama itu wajar membuat kajian lapangan terlebih dahulu tentang golongan gelandangan ini. Pertamanya mereka sudah pasti tidak ada rumah atau tempat tinggal.

Di mana mereka mahu menyimpan segala lebihan makanan yang diterima. Menjelang sahur sudah pasti makanan tersebut rosak atau basi. Begitu juga dengan pakaian. Berapa pasang sangatlah yang dapat mereka usung dan bawa kerana kehidupan mereka berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat lain.

Sudah sampai masanya pertubuhan-pertubuhan terlibat mengubah sasaran dalam memberi sumbangan berbuka puasa ini pada masa akan datang.

Salah satu kumpulan sasar yang boleh diberi perhatian ialah golongan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). Mereka boleh masuk ke kampus-kampus yang bertaburan di sekitar Lembah Klang ini dan membantu mereka.

Semua orang tahu golongan pelajar institusi pengajian tinggi ini, tidak semua berasal daripada golongan berkemampuan. Ada yang datang daripada latar belakang keluarga miskin, anak yatim dan mengharapkan ihsan orang lain.

Mereka benar-benar ‘berjuang untuk hidup dan belajar.’ Kumpulan ini hidup penuh berjimat cermat, apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat dengan ketara sejak akhir-akhir ini. Mereka hanya makan ‘nasi bujang’ iaitu istilah bagi hidangan nasi dengan satu lauk dan satu air kosong.

Semua mereka yang bergelar penuntut IPT tahu istilah tersebut dan sudah biasa hidup dengan makan secara ala kadar sahaja sepanjang tempoh pengajian.

Ada juga sebahagian daripada mereka memilih untuk berbuka puasa di surau atau masjid sebagai satu langkah penjimatan.

Yang ada kenderaan sendiri pula ada yang sanggup menjelajah surau dan masjid berhampiran yang ada menganjurkan program iftar Ramadan setiap hari.

Pihak pengurusan IPT tidak ada masalah dalam memberi kerjasama kepada pertubuhan-pertubuhan amal atau NGO yang mahu menyumbang juadah Ramadan kepada para pelajar. Malah mereka dialu-alukan berbuat demikian.

Kalaupun mereka tidak dibenarkan memasuki kawasan kampus, NGO terlibat boleh menempatkan sumbangan berbuka puasa itu di hadapan pintu masuk kampus-kampus tertentu.

Insya-Allah tidak akan berlaku pembaziran sebagaimana yang berlaku kepada golongan gelandangan baru-baru ini.

Yang menjadi masalah ialah kebanyakan NGO terlepas pandang kumpulan pelajar IPT ini. Mereka hanya nampak kumpulan yang susah itu golongan gelandangan sahaja. Sedangkan di luar sana masih ramai kumpulan yang nasib mereka lebih kurang sama sahaja dengan gelandangan.