Pintu masjid ini ditutup oleh askar Israel pada 14 dan 21 Ogos 2017 daripada dimasuki jemaah yang hendak menunaikan solat Jumaat di dalamnya.

Secara kebetulan agaknya selepas lawatan Presiden Donald Trump ke Arab Saudi dan bertemu dengan pemimpin Arab dan negara Islam lain, dan seterusnya terjadi krisis politik di antara beberapa buah negara Arab di antaranya Arab Saudi, yang memutuskan perhubungan dengan negara Qatar, maka selang tidak berapa lama kemudian, lalu terjadi krisis yang amat parah di Pa­lestin khasnya di kawasan Baitulmuqaddis dan Masjid Al-Aqsa, yang bukan hanya diceroboh oleh askar Israel malah tempat suci ini menyaksikan pembunuhan kejam ke atas rakyat Palestin.

Rakyat Palestin yang marah dengan pembunuhan ini segera pula bertindak balas menikam mati beberapa askar penceroboh, maka maraklah api permusuhan rejim Israel yang lengkap de­ngan senjata moden dan canggih. Malangnya rakyat Palestin yang amat lemah, hanya dapat membalas dengan tangan kosong, atau bersenjatakan batu yang sempat dicapai.

Kepentingan bumi yang terletaknya Masjid Al-Aqsa dinyatakan di dalam al-Quran tentang para nabi yang mendiami bumi suci Palestin ini seperti Nabi Ibrahim, Lut, Ismail, Ishak, Yaaqub, Yusuf, Salih, Daud, Sulaiman dan Isa.

Nabi dan rasul terakhir, Rasulullah SAW, telah diberikan penghormatan tertinggi oleh Allah SWT dalam pengembaraannya ke bumi suci ini di mana persinggahan pada waktu malamnya iaitu Israk di Masjid Al-Aqsa - peristiwa Israk Mikraj yang merupakan mukjizat besar baginda seperti disebutkan di dalam Surah Al-Isra’.

Masjid Al-Aqsa yang terletak di bumi Palestin adalah kiblat pertama umat Islam, dan salah satu masjid suci di samping Masjidilharam di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah. Umat Islam kini bebas melawat dan beribadah di kedua-dua masjid yang terletak di bumi Arab Saudi, di Mekah dan Madinah, tetapi malang sekali Masjid Al-Aqsa kini terletak di bawah kekuasaan rejim Israel sejak kekalahan Arab dalam peperangan lima hari pada Jun 1967.

Sejak penaklukan Zionis itu, rejim Tel Aviv melakukan banyak tindakan yang merosakkan Masjid Al-Aqsa. Hanya beberapa hari selepas penaklukan, dinding Al-Magharibah di sebelah barat masjid dirobohkan dan diratakan untuk menjadi tempat ibadat orang Yahudi.

Sekurang-kurangnya tiga faktor menjadikan Palestin amat penting kepada umat Islam iaitu; pertama, kesucian Masjid al-Aqsa sebagai kiblat pertama umat Islam; kedua, kezaliman rejim Tel Aviv dan gerakan Zionis antarabangsa terhadap umat Arab dan Islam; ketiga, serangan mental dan fizikal oleh rejim tersebut dan gerakan Zionis antarabangsa di Amerika Syarikat dan Eropah sehingga berjaya memecahbelahkan tanah Palestin dan rakyatnya serta umat Islam seluruhnya.

Wilayah Israel diwujudkan di Palestin pada 14 Mei 1948 di atas sekeping tanah kecil sahaja. Namun mereka telah merampas tanah Palestin sehingga 77 peratus dan mengusir kira-kira 800,000 penduduk Palestin yang berterusan menjadi pelarian perang.

Dalam peperangan dengan Arab pada Jun 1967, baki tanah Palestin dirampas, termasuk Tebing Barat, Timur Jerusalem, dan Genting Gaza. Rejim ini juga menakluki Pergunungan Golan (1,150 km persegi) dari Syria, dan semenanjung Sinai (61,198 km persegi) dari Mesir, akibatnya kira-kira 300,000 lagi rakyat Palestin menjadi pelarian perang, terpaksa meninggalkan tanah air mereka.

Tetapi Sinai dikembalikan kepada Mesir ketika Mesir memenangi peperangan dengan Israel pada 1974, dengan beberapa syarat, termasuk perjanjian damai dengan Israel dan bantuan kewangan dari sekutu Israel, Amerika Syarikat.

Ketika Israel ditubuhkan pada 1948, rakyat asal Palestin terpaksa lari merempat ke negara lain, dan rejim Israel segera membuka pintu seluas-luasnya kepada orang Yahudi dari seluruh dunia untuk berhijrah masuk ke Israel dan mengikut perangkaan yang pernah dicatatkan terdapat kira-kira 2.8 juta Yahudi berhijrah ke Palestin di antara 1949 hingga 2000.

Kemenangan Hamas dalam pilihan raya Palestin, membuka peluang kepada Israel menjadikannya sebagai alasan mengukuhkan lagi penindasan terhadap Palestin. Hamas dilabelkan sebagai golongan radikal dan jihad Islam,

Pada 2005, Israel bersandiwara apabila mengundurkan tentera dan rakyatnya dari Gaza, menjadikan ia kawasan penduduk Palestin sepenuhnya. Hakikatnya, Gaza telah menjadi penjara terbuka yang besar bagi rakyat Palestin, kerana kawasan lautan dan ruang angkasa dikuasai oleh Israel.

Terbaharu, rejim Zionis itu bertindak menceroboh kiblat pertama Islam. Umat Islam hanya menjadi penonton terhadap kekejaman di bumi suci Islam ini. Mereka tidak ada kuasa untuk menentang kerana tidak mempunyai strategi untuk memberikan keadilan kepada negara dan rakyat Palestin. Tambahan pula krisis sesama sendiri menggalakkan musuh Islam untuk melakukan apa sahaja tindakan provokasi dan kekejaman terhadap fizikal dan rohani umat Islam.

Rakyat Palestin hanya melawan bersendirian tanpa bantuan dari negara Islam lain, termasuk jirannya sendiri.

PROFESOR DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).