Yang saya tertarik ialah apabila bertemu dengan mak-mak saudara yang tinggal di kampung. Walaupun tinggal di kampung cerita mereka cukup meriah.

“Apa nak jadi dengan kita ini harga daging sampai 32 ringgit sekilo,” kata mak saudara saya yang tinggal di Perlis, tapi berkumpul di rumah pusaka kami di Jitra, Kedah.

Mak saudara seorang lagi menyampuk, “Laa bukan da­ging saja semua barang. Kacang bendi pun mahai tak sangga...”. Perbualan kami kemudian ber­kisar kepada harga barang.

Selama ini kita yang tinggal di bandar raya pun mengeluh mengapa tiba-tiba sejak beberapa tahun kebelakangan ini harga barangan keperluan dan makanan naik melonjak?

Duit sudah mengecil. Jika dulu boleh beli banyak barang, sekarang dengan nilai duit yang sama barang sudah jadi sikit. Bank Negara pula kata kadar inflasi kita terkawal. Tapi di bawah sana lain pula keada­annya. Jika dulu sekilo daging tempatan sekitar 28 ke 30 ringgit, kini sudah menjangkau 32 ringgit sekilo.

Maka yang tidak berduit macam mana nak makan daging? Kononnya kita terpaksa ke negara lain untuk bersedekah atau berkorban daging lembu kerana mereka hanya “makan daging setahun sekali.”

Tapi tahukah kita bahawa ada juga rakyat negara ini nak makan daging pun sudah susah kerana harganya sudah melambung. Beli daging setengah kilo 16 ringgit. Tapi berapa orang nak makan?

Lembu bukan pun kena penyakit, macam ayam (makanan rakyat marhaen) yang juga naik menjelang raya sehingga RM8.50 sekilo. Tahun lepas harga ayam bersih waktu raya RM6. Alasannya, tahun ini, ayam kena wabak penyakit, itu pasal harga naik.

Tiba-tiba anak perempuan kepada salah seorang emak saudara saya mencelah, “Orang market (pasar basah) kata GST. Itu pasai jadi mahai”.

GST juga yang jadi mangsa. Memanglah sayur dan ikan tiada GST, mereka beri alasan lori yang mengangkut kena GST dan lain-lain lagi.

Saya mencelah, “peniaga sekarang cukup tamak...”

Ketamakan yang tidak boleh dikawal oleh sesiapa. Rakyat hanya boleh merungut. Tapi sampai bila mereka hendak merungut? Jika kita yang bergaji tetap pun turut meru­ngut, mereka yang hanya mengharap­kan sumbangan bulanan daripada anak-anak macam mana pula?

Apakah bapak menteri yang bertanggungjawab memahami masalah ini? Apakah dia pernah pergi ke pasar - sekurang-kurang di hujung minggu untuk membeli-belah? Apakah isteri kepada bapak menteri itu tidak merungut kepada suaminya, “abang barang sekarang cukup mahallah.... Buatlah sesuatu sebelum kita kalah dalam PRU nanti”.

Mungkin rungutan rakyat tidak berapa mencengkam perasaan bapak menteri berbanding dengan si isterinya? Malanglah sekiranya si isteri kepada bapak menteri itu pun tidak pernah ke pasar untuk membeli sayur. Atau tidak kisah berapa pun yang dikenakan, kerana baginya duit tidak menjadi hal?

Tetapi isu rakyat ini akan menjadi krisis yang parah sekiranya tidak dibendung dengan segera. Saya secara rambang tidak nampak lagi penguatkuasaan yang hebat dijalankan oleh KPDNKK mi­salnya?

Jika harga barangan ha­rian gagal dikawal kenaikannya, rakyat mahu melihat penguatkuasaan yang agresif dapat dijalankan.

Saya yang terbabit dalam program Isu Semasa Negara kelolaan sebuah agensi utama kerajaan acap kali berkata, “GST akan gagal jika penguatkuasaan tidak berkesan dan tegas. Peniaga akan sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan dengan memberi alasan GST.”

Ternyata benar kata-kata itu. Rakyat sebenarnya amat ketagih melihat serbuan demi serbuan dilakukan sekiranya menerima aduan harga dinaikkan di mana-mana. Satu pasukan khas penguatkuasaan harus dibentuk dan membuat serbuan atas aduan-aduan yang diterima.

Ingatlah rakyat sedang resah di bawah sana. Perbualan mengenai harga barang cukup panas di dalam rumah pusaka itu. Anak-anak yang mende­ngarnya, bukan semuanya penyokong kerajaan, mencelah dengan menghentam kerajaan cukup-cukup.

Saya hanya sekadar memerhati dan mencelah bagi menyejukkan keadaan. Hakikatnya, mereka inilah yang akan memberi inspirasi kepada ibu bapa mereka di kampung untuk memangkah siapa kelak.

Tidak boleh disalahkan anak-anak itu juga, kerana mereka pun adalah mangsa keadaan. Itu pasal di negara lain kemungkinan, isu-isu berat negara tidak menjadi isu sangat kerana soal keperluan harian - soal perut - sudah dijagai dengan baik.

Itu pasal di Singapura mi­salnya, isu kerugian yang dialami oleh Temasek Holdings tidak menjadi perdebatan semacam di Malaysia, kerana soal-soal ‘perut’ di sana sudah tidak menjadi isu.

Ingatkah apabila rakyat kelaparan, tidak cukup itu dan ini, maka isu yang bukan-bukan akan dibesar-besarkan dan mula dipercayai.

Tugas saya hanyalah me­nyampaikan kisah-kisah itu. Yang lain-lain terserahlah. Jika masih ada alasan lain untuk menafikan hakikat itu (seperti biasa), terserahlah.

Tugas saya sudah selesai!