Daripada siasatan polis turut mendedahkan bahawa perogol itu menggunakan kuasa utamanya kononnya sebagai ketua keluarga untuk mengugut mangsa jika membuat aduan kepada pihak berkuasa. Jadi, mana-mana ibu atau isteri yang tidak bekerja akan berada dalam dilema untuk bertindak kerana takut hilang punca pendapatan. Sebab itu mereka memilih untuk berdiam diri walaupun mangsa itu adalah anak sendiri.

Dari sudut psikologi, gejala sumbang mahram boleh ditakrifkan sebagai serangan seksual terhadap orang yang lebih muda seperti ayah melakukan hubungan seks dengan anak perempuan. Dan ini boleh juga dikategorikan sebagai tingkah laku pedofilia. Aktiviti seksual yang luar biasa juga dianggap sebagai paraphilia.

Akak Cute ada juga bertanya dengan Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd Sa’ad berhubung isu ini. Katanya, pelbagai faktor pendorong sexsual disorder ini seperti kerap menonton pornografi atau laman-laman lucah di internet. ‘Kegemaran’ itu menyebabkan minda akan dikuasai dengan seks sekali gus mendorong mereka melakukan jenayah itu. Mereka tidak mempedulikan nilai-nilai agama, yang penting mahu memenuhi kehendak nafsu.
 Seperti biasa, jika berlaku kes-kes rogol dan sumbang mahram seperti ini, masyarakat mulalah nak menyalahkan perempuan kerana berpakaian seksilah, tidak menutup aurat dengan betullah sehingga terjojol sana sini. Ya memang benar perempuan tidak sepatutnya berkelakuan sebegitu. Tetapi kalau dalam rumah sendiri pun kena tutup bagai, bila agaknya perempuan boleh ‘bebas’ sedikit? Salah perempuan jugakah?

Yang nyata, pelaku sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu tanpa mempedulikan siapa mangsanya. Jelaslah bahawa lelaki itu sebenarnya yang ‘sangap’! Tahukah ada kes penceraian yang berlaku kerana si isteri tidak tahan dengan perangai si suami yang gila seks? Hari-hari minta untuk dipuaskan nafsunya, apatah lagi mendesak isteri melakukan adegan-adegan keterlaluan, manalah isteri nak tahan. Dia ingat isteri ni pelacurkah?

Dan apabila kehendak suami itu tidak dilayan isteri, maka mulalah dia mencari ‘tempat’ lain. Nak melanggan pelacur tidak ada duit, maka sudahnya baham sahaja apa yang di depan mata walaupun anak atau cucu sendiri.

Memang susah nak hadap lelaki spesies ini. Bila dah tak ada iman dan agama diketepikan, syaitan mula menguasai diri. Jadi, biarlah kita yang perempuan ini mengambil langkah berjaga-jaga. Jika sedar ‘perangai pelik’ walaupun suami sendiri, please-lah buat aduan kepada pihak berkuasa. Jangan tunggu nasi menjadi bubur.