Dalam kemalangan kira-kira pukul 7.15 pagi pada 26 Disember lalu itu, mangsa ditemukan mati di tempat kejadian dengan badannya terhempap di bawah motosikal manakala kepalanya terendam di dalam air.

Mungkin bagi kebanyakan daripada kita tidak ada istimewanya berita ini. Kita sudah terlalu biasa membaca berita kemalangan melibatkan penunggang motosikal termasuk yang membawa maut, sehinggakan kadangkala mata kita tidak berkelip pun melihat gambar sadis dan tragis mangsa mahupun lokasi kejadian.

Alah bisa tegal biasa. Saban hari dihadapkan berita kemalangan maut sehinggakan kita menjadi lali dan hilang empati.

Gara-gara gelagat mat rempit, dan segelintir penunggang motosikal yang suka menyelit di celah-celah kenderaan ketika kesesakan trafik, kebanyakan daripada kita juga jarang lagi bersimpati dengan mereka.

Lantas berita nahas maut seperti yang berlaku ke atas seorang pemuda di Jalan Tun Abang Haji Openg ini kita layan sebagai hanya berita kemalangan motosikal yang biasa. Hakikatnya, pemuda itu maut terhumban ke dalam lubang di tepi jalan tempat tapak projek pembinaan saliran air.

Kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Deputi Superintenden Bingkok John ketika mengulas kemalangan maut itu menarik perhatian penulis.

Menurut beliau: “Tanda amaran pembaikan jalan yang diletakkan (di tempat kejadian) terlalu dekat dengan lubang pembinaan. Perkara ini boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam.”

Hasil semakan penulis terhadap komen-komen yang dibuat oleh warga internet berhubung kejadian itu mendapati, lokasi tersebut sering berlaku kemalangan ekoran projek pembinaan saliran air yang memakan masa terlalu panjang atau dengan kata lain berlarutan dalam tempoh yang lama.

Ramai merungut, keadaan tersebut bukan sahaja menimbulkan kesulitan kepada pengguna jalan raya bahkan ‘menggadai nyawa’ mereka yang terpaksa melalui jalan berkenaan.

Ekoran nahas yang meragut nyawa pemuda berusia 28 tahun itu, Jabatan Kesihatan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) telah mengeluarkan notis amaran kepada kontraktor projek agar mematuhi dan mempertingkatkan elemen keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP). Difahamkan, kontrantor terbabit gagal memasang pengadang bagi kerja-kerja pengorekan.

Pihak JKKP bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT) kini menjalankan siasatan sama ada akan mengambil tindakan perundangan sekiranya didapati terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994).

Sementara kita mengalu-alukan sikap responsif pihak berkuasa dalam kejadian ini, amalan ‘sudah terhantuk baru nak terngadah’ dalam menangani sesuatu perkara agak mengecewakan. Dalam kes ini, satu nyawa melayang gara-gara ‘kelemahan’ pihak berkuasa terlibat dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dalam pelaksanaan aktiviti dan projek yang melibatkan orang awam.

Jikalau SOP dipatuhi, kontraktor projek pembinaan saliran air di Jalan Tun Abang Haji Openg itu sudah tentu telah memasang pengadang di tempat kerja-kerja pengorekan dijalankan serta meletakkan papan tanda yang jelas sebagai panduan pengguna jalan raya bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.

Namun nasi sudah menjadi bubur.

Agak malang kerana kelemahan penguatkuasaan menyebabkan seorang pemuda menjadi korban.

Isu kelemahan penguatkuasaan undang-undang, peraturan mahupun SOP ini bagaikan sudah menjadi sesuatu yang sinonim dengan negara kita. Justeru walau secanggih atau setegas mana peruntukan undang-undang digubal, kerap kali wujud masalah dalam pelaksanaannya gara-gara kelemahan penguatkuasaan.

Tidak dapat tidak walaupun pahit untuk diakui, isu integriti penguat kuasa sering menjadi perkara utama yang dipersoal dan dibahaskan.

Contoh mudah dan nyata, negara kita adalah antara beberapa negara sahaja di dunia yang masih mengenakan hukuman mati mandatori ke atas pengedar dadah. Secara logiknya pasti hukuman ini menggerunkan penjenayah khususnya sindiket dadah, namun kegiatan penyeludupan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah masih wujud malah menjadi antara masalah utama negara. Terus berleluasa.

Kenapa undang-undang yang sebegini berat tidak menakutkan penjenayah? Adakah kerana mereka merasakan tidak akan atau tidak mungkin tertangkap? Atau mungkinkah mereka berandaian, jika tertangkap pun mereka boleh melepaskan diri?

Tepuk dada tanya penguat kuasa.

Berbalik kepada kegagalan kontraktor projek pembinaan saliran air di Jalan Tun Abang Haji Openg itu mematuhi SOP atau protocol keselamatan, kenapa ini boleh berlaku?

Mengikut rekod, projek itu yang merupakan sebahagian projek perparitan bandaraya Kuching bernilai RM8.5 juta dimulakan tahun lepas dan dijangka siap Mac tahun ini. Dari tahun lepas sehingga kini sudah memasuki tahun baharu 2018, tidak adakah pihak berkuasa yang menyedari bahawa kontraktor terbabit tidak mematuhi SOP? Ke mana PBT, JKKP mahupun wakil rakyat kawasan berkenaan selama ini? Tidur? Terlelap? Atau sengaja memejamkan mata?

Jalan Tun Abang Haji Openg hanyalah satu contoh. Penulis percaya banyak lagi jalan di seluruh negara yang ‘dilayan’ sebelah mata sepertinya.

Lihat sahaja Jalan Chan Sow Lin di tengah-tengah kepesatan ibukota Kuala Lumpur yang sudah berbuih mulut dibuat aduan tentang kualiti permukaannya yang berlubang-lubang, berlopak dan bertampal di sini sana, sehingga tidak layak digelar jalan raya – sebagaimana 10 tahun lepas, begitu jugalah keadaannya. Tidak ada perubahan.

Lori siput membawa simen basah yang mengakibatkan tompokan bahkan busut-busut kecil di atas jalan raya tetap bermaharajalela.

Jika ini berlaku di tengah-tengah kota, bayangkan pula aduan tentang masalah jalan, jambatan waima titi di kawasan kampung dan pedalaman.

Tidak mustahil segala aduan, rungutan dan keluhan umpama mencurah air di daun keladi. Bak kata pepatah Inggeris, “fall on deaf ears”.

Ke mana penjawat awam, pegawai agensi penguat kuasa atau wakil kepada wakil rakyat? Tidak adakah yang mendengar keluhan dan memantau keadaan? Tidak adakah pihak bertanggungjawab yang turun padang meninjau dan memastikan kebajikan dan keselamatan pengguna terbela?

Penulis pernah terbaca kata-kata hikmat pengasas Alibaba yang semakin mesra dengan Malaysia, Jack Ma bahawa; “Ketika kamu miskin, semua kata-kata bijakmu terdengar seperti kentut. Tetapi ketika kamu kaya dan sukses, kentutmu terdengar sangat bijak dan menginspirasi.”

Mungkin puak-puak yang memegang kuasa ini alpa dan leka bahawa pengguna juga adalah rakyat dan boleh jadi pengundi di kawasan mereka. Janganlah hanya ingat tugas dan amanah yang dipikul kepada para pengundi apabila tiba pilihan raya.

Ketika itu mungkin sudah terlambat. Semua kata-kata dan janji yang ditabur bukan sahaja terdengar seperti kentut bahkan berbau tembelang yang meloyakan.