Kebanyakan kes tersebut berakhir di mahkamah apabila si pembuli didakwa dan dikenakan hukuman penjara. Mungkin kesan buruk daripada kejadian itu memberi pengajaran kepada semua orang agar mengelak daripada terlibat dengan kerja buli-membuli ini.

Bagaimanapun baru-baru ini penulis menyaksikan sendiri kes seumpama itu berulang. Kali ini melibatkan seorang penunggang motosikal berkuasa besar dengan sebuah kereta di lebuh raya PLUS berhampiran susur keluar ke tol Sungai Buloh.

Agak mengejutkan pembuli ialah penunggang motosikal manakala mangsanya seorang pemandu kereta. Punca kejadian bukanlah serius pun. Pemandu kereta di lorong paling kanan lambat menukar lorong sehingga dihon bertalu-talu oleh si penunggang motor berkuasa besar yang serba lengkap berpakaian sut penuh lagak penunggang profesional.

Akibat tidak berpuas hati, penunggang motosikal berkuasa besar itu memintas secara berbahaya dan memperlahankan motosikalnya di hadapan kereta tersebut secara tiba-tiba. Semua kenderaan lain yang berada di lorong yang sama terpaksa membrek kenderaan masing-masing bagi mengelakkan berlaku kemalangan.

Si mangsa kemudian menukar lorong ke bahagian tengah. Si penunggang motosikal yang masih tidak berpuas hati, menghimpit kereta tersebut sambil bertalu-talu menunjukkan isyarat lucah jari tengah kepada pemandu kereta itu. Kalaulah dia tidak memakai topi keledar, tidak dapat dibayangkan berapa ratus patah perkataan lucah dan sumpah sera­nah dihamburkan kepada mangsa.

Mangsa bagaimanapun bertindak bijak. Dia tidak terpengaruh dengan provokasi tidak bermoral itu. Dia juga tidak memberi sebarang reaksi dan meneruskan pemanduan seperti tidak ada apa-apa perkara berlaku.

Barangkali mungkin kerana terlalu lama menaik dan menurunkan isyarat jari tengah, si pembuli penat dan kecewa. Mangsa yang tidak melayan apatah lagi memberi sebarang tindak balas. Si pembuli lantas memecut motosikal berkuasa besarnya dan berlalu.

Hampir setiap hari kita dapat melihat konvoi motosikal berkuasa besar di lebuh raya atau jalan raya di negara ini. Ada yang menunggang dalam kumpulan besar dan ada juga sekadar sebuah dua sahaja. Mereka kelihatan berdisiplin, menunggang penuh hemah dan cuba mengelak daripada menyusahkan kenderaan-kenderaan lain.

Jika lorong memotong di sebelah kanan sesak, mereka ‘cilok’ ke lorong yang lebih lengang. Mereka tidak ‘mencucuk’ kenderaan di hadapan apatah lagi membuli dengan melakukan perbuatan yang membahayakan pengguna jalan raya lain.

Mereka adalah golongan profesional yang ada class tersendiri sewaktu mengendalikan motosikal. Mereka bukan si pembuli yang penulis ceritakan. Nama sahaja menunggang motor besar tetapi perangai lebih teruk lagi daripada segelintir mat rempit!

Apa yang disaksikan penulis mungkin kes terpencil. Memang amat jarang kita dengar penunggang motosikal berkuasa besar membuli pengguna jalan raya lain. Kes-kes pembuli jalan raya yang selalu disaksikan di media sosial pun biasanya melibatkan kereta dengan kereta.

Kumpulan ini jarang terlibat dengan kerja-kerja bodoh membuli pengguna jalan raya lain. Walaupun kadang kala lagak segelintir mereka sewaktu menunggang di lebuh raya atau di jalan sempit sedikit tidak me­nyenangkan pengguna lain, mereka tidak sampai ke tahap membuli.

Bagaimanapun keadaan yang berlaku itu membuktikan sesiapa sahaja boleh menjadi pembuli jalan raya jika tidak dapat mengawal kemarahan walaupun hanya disebabkan satu perkara kecil.

Perangai manusia kerap kali berubah sejurus selepas menghidupkan enjin kereta dan berada di atas jalan raya. Seorang yang pendiam boleh bertukar menjadi agresif dan seorang lelaki budiman tidak mustahil menjadi ganas ketika memandu. Jalan raya seperti sudah menjadi satu dunia lain kepada segelintir pemandu.

Pelbagai faktor boleh membantu seseorang itu bertukar personaliti sewaktu memandu. Salah satunya adalah tekanan. Jalan raya yang sentiasa sesak dan sibuk sepanjang masa terutama di lebuh raya-lebuh raya bertol boleh menukar dan menjadikan seseorang boleh hilang sabar dicampur dengan sikap tidak ber­disiplin pemandu-pemandu lain.

Dalam satu kes buli jalan raya sedikit masa dahulu, rakan-rakan pembuli terkejut apabila pembuli didakwa di mahkamah, didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara. Selama ini kawan-kawan, jiran dan teman sepejabat mengenali si pembuli tidak se­perti itu.

Pembuli seorang suami yang bertanggungjawab kepada isteri dan ayah yang baik kepada anak-anak. Dalam kalangan jiran tetangga, rakan sekolah dan teman-teman satu kuliah, pesalah ini seorang yang baik, budiman, suka membantu orang dalam kesusahan. Apa yang berlaku ke atas lelaki si pembuli jalan raya itu boleh berlaku terhadap semua orang jika jiwa ‘dipandu’ oleh perasaan semata-mata sehingga mengatasi kewarasan akal fikiran.