GAMBAR disebar dalam media sosial menunjukkan seorang lelaki maut selepas ditembak di hadapan Sekolah Kebangsaan Sri Serdang, Seri Kembangan, Selangor, kelmarin. GAMBAR SUMBER MEDIA SOSIAL

Berdasarkan kenyataan saksi, kejadian berlaku begitu pantas dan sedar-sedar mangsa sudah tersungkur. Betapa luluhnya hati si anak apabila melihat lelaki yang sering menjemput dia pulang dari sekolah terbujur kaku berlumuran darah di hadapan mata. Polis masih menyiasat sama ada kes ini ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap, pembunuh upahan atau dendam kesumat.

Sementara dalam satu kes lagi di Johor Bahru, satu keluarga yang sedang mengadakan upacara keagamaan di hadapan rumah sempena Tahun Baharu Cina diserang sekumpulan lelaki dipercayai gengster. Bapa mereka dilanggar dengan kejam sehingga cedera parah. Penjenayah juga menyimbah petrol kepada isteri dan dua anak mangsa sebelum menyalakan api bertujuan membakar mereka. Anak lelaki mangsa melecur seluruh badan, Kedua-dua bapa dan anak kini sedang bertarung nyawa untuk hidup di atas katil hospital. Adegan mengerikan itu dirakam oleh kamera pemantau yang tular dalam media sosial.

Keberanian penjenayah me­nyerang sasaran secara terbuka di tempat awam seperti di hadapan sekolah dengan disaksikan ramai orang adalah satu kejadian’ yang menakutkan. Apa yang berlaku ini tidak ubah seperti dalam filem gengster Hollywood dan Hong Kong yang memaparkan adegan ganas dan kejam. Tidak dapat dibayangkan jika ketika tembakan dilepaskan, murid atau pelajar sekolah sedang berpusu-pusu keluar dari kawasan sekolah. Kebarangkalian lebih ramai menjadi mangsa terutama murid atau pelajar tidak mustahil berlaku. Kumpulan murid atau pelajar sekolah yang menyaksikan pembunuhan di depan mata ini sudah tentu ketakutan dan trauma sepanjang hayat.

Perlakuan kejam kumpulan penjenayah yang dipercayai ada kaitan dengan kongsi gelap, sindiket dadah atau kumpulan pemberi pinjaman wang haram atau ah long bukan kali pertama dilaporkan. Beberapa bulan lalu satu kejadian yang lebih kurang sama berlaku.

Mangsa dirempuh dengan sengaja. Kereta tersebut kemudian mengundur dan menggilis lagi mangsa yang terbaring sehingga mengakibatkan ke­cederaan teruk dan mati. Insiden itu berlaku di tempat terbuka dan disaksikan ramai. Orang awam yang melihat kejadian itu hanya mampu menjerit ketakutan.

Sebelum ini kumpulan gengster ah long ini sekadar menggunakan taktik mengganggu hidup mangsa dengan cara menyimbah cat merah, mencampak bangkai haiwan yang disembelih ke rumah mangsa atau merosakkan harta dan memalukan mangsa dengan pelbagai cara.

Hari ini mereka menukar kepada pendekatan yang lebih agresif dan ganas kerana cara lama sudah tidak memberi kesan. Penjenayah sanggup mencederakan mangsa sehingga ke tahap membunuh. Ada kes si peminjam wang atau ahli keluarga diculik, diseksa, dikurung dan diperlakukan tidak ubah seperti binatang seperti dirantai di leher dan kaki.

Dalam kes satu keluarga di­serang itu, salah seorang ahli keluarga mangsa yang terselamat mendakwa sudah membuat 26 laporan kepada pihak polis. Jumlah laporan sebanyak itu bukan sedikit. Ini bermakna keluarga mangsa telah lama diganggu atau diancam. Kesudahannya satu keluarga diserang dengan sebahagian ahli keluarga tersebut cedera parah. Tidak dapat dipastikan sejauh mana pihak berkuasa terlibat sudah bertindak ekoran laporan tersebut.

Melihat kepada begitu banyak iklan pemberi pinjaman wang haram dalam bentuk poster yang ditampal di segenap sudut dan pelosok bandar raya, pekan dan kampung di negara ini, dapat disimpulkan ‘industri’ atau ‘perniagaan’ memberi pinjam wang secara haram ini sangat ‘subur.’

Kalau tidak ada permintaan masakan penawaran menjadi begitu agresif. Iklan-iklan hodoh dan mencolok mata ini sudah menjadi seperti hiasan kepada tiang-tiang batu, dinding bangunan, pondok telefon serta papan tanda jalan di mana-mana sahaja.

Pihak berkuasa tempatan sudah banyak kali bertindak, tetapi masih tidak mampu melawan kerancakan industri ini. Pagi diturunkan atau ditanggalkan, pada sebelah malam naik pula poster-poster iklan baharu yang lebih besar. Jumlah mangsa kepada kejahatan industri ini semakin bertambah. Walaupun sudah tertera dengan nombor telefon pada iklan tersebut, pihak berkuasa masih tidak mampu bertindak. Tidak tahu di mana silapnya.

Sudah sampai masanya satu pasukan petugas khas diwujudkan bagi membanteras kegiatan yang menjadi salah satu punca kepada kejadian jenayah berat negara ini.

Jenayah ini perlu diperangi habis-habisan kerana sekarang sudah menjadi seperti barah yang tidak nampak langsung penawarnya.