Katanya, entah kenapa tiba-tiba sahaja sejak ­ke­belakangan ini isterinya rajin benar menghantar gambar selfie. Setiap kali selepas bersolek dan masuk ke kereta hendak pergi kerja, isterinya akan berbuat begitu.

Bukan setakat itu, kata kawan akak cun itu, tiba-tiba saja isterinya memanggil dia dengan panggilan ‘abang’ bukan papa seperti biasa.

“Lain macamlah panggil abang...geli betul. Lepas itu, hantar gambar dia hari-hari. Rasa peliklah buat perangai macam tu. Dah kenapa?,” katanya.

Walaupun tergelak mendengar ceritanya, akak cun memarahi kawan akak cun itu sebab nampak sangat dia tidak menghargai usaha-usaha isterinya untuk mewujudkan suasana lebih mesra dengan suami walaupun ­telah lama berumah tangga. Kawan akak cun itu sudah ada anak dua, hendak masuk tiga dan lebih 10 tahun berkahwin.

“Tak baik betul buat macam tu. Dia mekap dan pakai cantik-cantik, bergambar untuk tunjuk pada hang. Hang ni bukan saja tak tengok, hang padam pula.

“Kalau gambar perempuan lain dok selfie dalam FB ke Instagram tu bukan main lagi hang tengok sampai naik juling biji mata. Kalau aku jadi dia, dah kecil hati dah. Tak dapat masuk rumah dah hang ni,” kata akak cun.

Menurut kawan akak cun itu, dia syak isterinya membaca tip-tip menjaga suami yang banyak di laman-laman sosial dan cuba mempraktikannya. Katanya, dia kini sudah menjadi macam bahan eksperimen pula.

Orang perempuan, tambahnya, memang suka sangat membaca tip-tip sebegitu dan tidak boleh fikir sendiri apa yang perlu dilakukan untuk menambat hati suami. Semuanya kena baca atau ikut ‘buku panduan.’

Daripada resipi makanan, gaya pemakaian tudung, cara mekap hinggalah cara mengambil hati lelaki, kata­nya, orang perempuan memang suka menghabiskan masa membaca hal-hal sebegitu.

Inilah sikap orang lelaki yang akak cun boleh katakan buruk perangai. Apabila si isteri beria-ia benar hendak mengambil hati suami, dia boleh kata pelik pula. Tetapi kalau perempuan lain tergedik-gedik depan mata dia, bukan main lagi dia suka dan melayan.

Jangan hendak menafikanlah orang lelaki memang suka tengok perempuan cantik dan seksi. Tetapi bila isteri sendiri, kebanyakan mahu lihat isteri pakai baju biasa-biasa sahaja. Mekap pun biasa-biasa. Jangan over. Semuanya kena nampak simple.

Kalau isteri pakai lipstic merah sikit, dia tegur dan ada yang suruh padam. Apabila isteri pakai kasut tinggi, dia suruh tukar, kalau boleh sarung selipar ke pasar saja bila berjalan dengan dia.

Lepas itu, apabila hendak menjalin hubungan dengan perempuan lain, mulalah cakap isteri tak pandai jaga diri. Lebih tumpu pada anak-anak. Tak pakai cantik-cantik. Dan mengata isteri selekeh saja bila pergi ke mana-mana dengan suami.

Isteri pun sebenarnya, boleh saja mengata suami yang kebanyakannya tidak menjaga penampilan apabila sudah berkahwin. Mulalah perut boroi, rambut tidak te­rurus, pengotor dan macam-macam lagi. Tetapi selalunya isteri pendamkan saja, perut boroi ke, kepala botak ke, isteri tetap sayang.

Jika difikir-fikirkan perangai orang lelakilah yang pelik. Bila isteri cuba macam-macam cara jaga penampilan untuk suami, si suami pula memandang usaha-usaha itu macam satu lawak jenaka pula. Dikatanya, sudah hilang akallah, buang tabiatlah atau kepala isteri sudah teruk terhantuk pada mana-mana dinding.

Akak cun bertanya kepada kawan sekerja akak cun itu, kenapa orang lelaki suka tengok perempuan lain cantik tetapi isteri sendiri pakai apa pun tak kisahlah asalkan tidak menonjol mengalahkan artis? Tetapi dia pula tanya semula hal yang sama kepada akak cun, ha ah kenapa ya? Akak cun pun garu kepala, eh, akak cun bukan lelaki, hal macam ini lelakilah yang ada jawapannya.

“Cari dekat Google...lah, orang perempuan kan suka cari bahan bacaan macam ini dekat internet,” katanya.

Seorang lagi kawan sekerja akak cun berkata, dia akan gembira jika isterinya berhias untuk dirinya walaupun merasakan itu tidak perlu. Katanya, orang perempuan ini suka dipuji terutamanya oleh suami.

“Cantik atau tidak, puji sajalah. Lepas itu barulah se­nang sikit orang lelaki hendak pergi main badminton ke, futsal ke dengan kawan-kawan atau keluar minum di kedai mamak,” katanya.

Wah! Puji ada makna pula ini. Tak ikhlas. Ini mesti puji sebab takut ni, kata akak cun.

Pada akak cun, apa salahnya menghargai usaha-usaha yang dilakukan oleh isteri untuk mengharumkan lagi hubungan. Takut isteri minta duit lebihkah beli alat mekap atau baju mahal-mahal? Sebab itu bising-bising?

Hargailah isteri masing-masing. Kadang-kadang orang perempuan ini dia bukan minta dibelikan apa-apa pun. Dia cuma mahukan perhatian dan kejujuran.

Tidak terfikirkah orang lelaki, kalau tiba-tiba yang menghargai dan yang memuji isteri dia cantik itu, lelaki atau suami orang lain pula? Bila jadi macam itu, tahu pula jadi macam bapa gajah mengamuk masuk kebun!