Aplikasi ini memang menjadi kegilaan orang Malaysia. Kegilaan yang tidak ada tolok bandingnya. Kegilaan yang sama turut berlaku di seluruh dunia. Tidak keterlaluan jika dikatakan kehidupan seharian sebahagian besar rakyat negara ini seperti sudah dikawal oleh aplikasi ini, tidak boleh dipisahkan lagi.

Perhatikan di sekeliling, mana ada lagi pemandangan orang ramai tekun membawa buku, novel atau sekurang-kurangnya membaca akhbar. Yang kelihatan semuanya memegang telefon pintar khusyuk ‘bersembang’ di dunia maya, sambil senyum-senyum seorang diri. Dek kerana terlalu asyik, mereka tidak ada masa untuk mendongakkan kepala sendiri, apatah lagi menoleh atau melihat apa yang sedang berlaku di sebelah atau di sekeliling ma­sing-masing.

Apa tidaknya setiap orang mempunyai tidak kurang daripada 10 grup WhatsApp. Ada yang mempunyai lebih daripada itu.

Ada juga yang sampai berpuluh-puluh grup. Paling kurang pun grup sembang jiran-jiran taman perumahan, rakan sekerja, kariah surau atau masjid, grup sekolah rendah, sekolah menengah, universiti, kumpulan mengaji, marhaban dan berzanji, grup suku kaum keturunan dan tidak ketinggalan grup cinta lama.

Grup ini amat aktif siang dan malam ibarat tidak ada waktu rehat atau waktu tidur. Akan adalah ahli-ahli yang silih berganti bersembang tanpa henti. Apabila dia kepenatan, muncul pula ‘si burung hantu’ lain membantu me­nyambung perbualan dan menghidupkan suasana.

Ada sahaja topik yang jadi fokus perbincangan. Kalau seorang ahli mula bercerita tentang koleksi kucing, ahli lain yang berkongsi hobi yang sama akan masuk memeriahkan perbualan segala benda yang ada kaitan dengan binatang peliharaan itu.

Diskusi turut diselang-selikan dengan himpunan foto dan video kucing pelbagai aksi.

Semua orang perlu mengakui rutin dan kehidupan seharian kebanyakan orang seperti sudah dikawal oleh aplikasi WhatsApp ini. Masing-masing tidak ubah seperti sudah ketagihan dan kelihatan tidak boleh berenggang langsung dengan aplikasi ini.

Tidak perlu pergi jauh, perhatikan kepada diri sendiri atau lokasi semasa di mana kita berada. Habis mandi, WhatsApp dulu yang dicari kerana sepanjang 15 minit di bilik air berdentum-dentam mesej masuk bertubi-tubi. Semua mesej ini wajib dibaca walaupun tidak semestinya dibalas. Kalau dulu suri rumah tangga sepenuh masa memasak sambil mendengar celoteh radio, sekarang tidak lagi. Tangan kiri menggoreng, tangan kanan membalas WhatsApp!

Begitulah juga ketika berada di masjid dan surau. Sejurus selepas memberi salam kanan dan kiri, tangan tidak sabar-sabar untuk mencapai telefon bimbit. Memadai dan puas barangkali dapat membaca segala mesej dan pesanan yang masuk.

Samalah juga jika berada di bilik mesyuarat, mata tak lekang mencuri pandang kepada mesej yang masuk sehingga ada yang sudah sampai ke peringkat tanpa segan silu ‘bersembang’ dengan selamba walaupun pengerusi mesyuarat di hujung meja sedang tekun membincangkan perkara penting!

Begitulah besar pengaruh aplikasi ini dalam kehidupan masa kini. Aplikasi ini menjadi antara medium penyebar maklumat terpantas. Walaupun kesahihan satu-satu mesej masih meragukan tetapi akibat diulang hantar ba­nyak kali dan tersebar ke merata kumpulan WhatsApp, maklumat tersebut sudah menjadi seperti maklumat yang benar dan betul.

Walaupun begitu, sisi positif aplikasi ini tidak terkira juga banyaknya. Aplikasi ini menjadi negatif kerana sikap si pengguna sendiri yang membiarkan ­WhatsApp lepas bebas mengawal hidup mereka. Sesuatu yang tidak sewajarnya berlaku.