Sebelum ini calon-calon presiden adalah terbuka untuk semua kaum. Sistem presiden dipilih melalui pilihan raya bermula pada tahun 1993.

Ong Teng Cheong merupakan presiden pertama yang memenangi pilihan raya. Beliau diikuti dengan SR Nathan. Bagaimanapun Nathan menang tanpa bertanding kerana merupakan calon tunggal. Selepas itu ialah Tony Tan yang menang undi majoriti.

Dua minggu lalu Halimah melepaskan jawatan politiknya supaya dapat bertanding dalam Pilihan Raya Presiden itu. Halimah ialah Speaker Parlimen dan Ahli Parlimen bagi Marsiling-Yew Tee GRC. Dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP), beliau ialah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat dan Pengerusi Kumpulan Senior.

Jawatankuasa itu adalah badan tertinggi dalam parti. Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang merupakan Setiausaha Agung PAP, iaitu ketua parti menerima peletakan jawatan politik Halimah.

Hsien Loong menyatakan Halimah akan memainkan peranan perlembagaan yang baik sebagai presiden. Hsien Loong juga menyatakan penghargaannya kepada perkhidmatan Halimah selama ini, iaitu sebagai Ahli Parlimen, Speaker Parlimen dan Menteri Negara. Ternyata PAP menyokong pencalonan beliau.

Bukan itu saja kerajaan PAP telah membuka jalan untuk Halimah menyandang jawatan tertinggi negara itu apabila tahun lalu Parlimen meminda Perlembagaan bagi mengkhaskan pemilihan presiden kali ini hanya untuk calon-calon dari kaum Melayu.

Dalam pindaan Perlembagaan itu, adalah ditetapkan bahawa sesuatu Pilihan Raya Presiden hendaklah ‘dikhaskan kepada calon kaum-kaum yang tidak memegang jawatan itu selama lima penggal atau 30 tahun. Tempoh satu penggal ialah enam tahun.

Jika tidak ada calon yang layak bagi Pilihan Raya Presiden, maka ia barulah dibuka untuk semua kaum. Tetapi pada penggal berikutnya, ia kembali dikhaskan kepada calon daripada kaum berkenaan.

Apa yang disebut sebagai kaum ialah Cina, Melayu dan India. Minoriti lain dikategorikan bersama kaum India. Peraturan itu bertujuan supaya Singapura dapat mengekalkan perimbangan dan keharmonian antara kaum.

Majoriti besar rakyat Singapura ialah dalam kalangan kaum Cina iaitu lebih 74 peratus. Melayu 13 peratus dan India 9 peratus. Selebihnya ialah minoriti lain. Kalau rakyat mengundi mengikut kaum, orang Cina akan sentiasa memenangi Pilihan Raya Presiden.

Kelayakan

Sejak Republik Singapura ditubuhkan pada tahun 1965, terdapat tiga Presiden daripada kaum Cina (Wee Kim Wee, Ong Teng Cheong dan Tony Tan), dua India (Devan Nair dan SR Nathan), seorang Melayu (Yusof Ishak) dan seorang Serani (Benjamin Shears).

Yusof ialah Presiden pertama Singapura. Beliau adalah Yang di-Pertuan Negara Singapura ketika pulau itu menjadi salah sebuah negeri dalam Malaysia.Jawatan Yang di-Pertuan Negara diwujudkan apabila Singapura dijadikan sebuah negara yang memerintah sendiri tetapi di bawah kedaulatan British pada tahun 1959.

Sebelum itu Singapura adalah tanah jajahan atau koloni British yang diketuai oleh Gabenor. Gabenor akhir Singapura, Sir William Goode menjadi Yang di-Pertuan Negara Singapura pertama. Maka selepas itu, Yusof menjadi Yang di-Pertuan Negara kedua. Ketika dalam kedaulatan British, Yang di-Pertuan Negara mewakili Raja British.

Semasa Singapura dalam Malaysia, beliau mewakili Yang di-Pertuan Agong. Jawatan presiden pula merupakan ketua negara republik yang mempunyai tugas-tugas keupacaraan di samping kuasa-kuasa tertentu.Pindaan Perlembagaan yang mengkhaskan calon Pilihan Raya Presiden pada sesuatu kaum menimbulkan bantahan daripada beberapa pihak.

Mereka menghujahkan bahawa peraturan itu bersifat perkauman atau diskriminasi dan tidak menepati amalan demokratik dan meritokrasi yang dipegang oleh PAP dan Singapura. Peraturan ini turut dicabar di mahkamah tetapi ditolak oleh hakim.

Untuk menjadi calon presiden, syarat-syaratnya adalah tinggi antaranya pernah memegang jawatan tinggi kerajaan bagi tempoh tertentu. Jika dari sektor swasta pula, seseorang itu mestilah pernah memegang jawatan tinggi syarikat untuk suatu tempoh dengan memiliki pegangan saham pada nilai tertentu.

Halimah memenuhi kelayakan itu melalui jawatan Speaker yang disandangnya. Beliau adalah seorang lulusan guaman dari Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dan pernah bekerja dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Dalam politik, beliau pernah menjadi Menteri Negara dalam Kementerian Pembangunan Komuniti, Belia dan Sukan, serta kemudiannya dengan Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat.

Dalam Pilihan Raya Presiden September ini, ada bakal calon yang menyatakan akan bertanding iaitu Farid Khan dan Mohamad Salleh Marican. Kedua-duanya dari sektor swasta. Namun sama ada mereka memenuhi kelayakan yang ditetapkan oleh perlembagaan menjadi tanda tanya.

Ini kerana syarat pegangan saham mereka tidak melepasi apa yang dikehendaki oleh peraturan. Jika tidak ada calon yang layak bertanding, maka Halimah boleh menang tanpa bertanding. Sebelum ini ada pihak yang mempertikaikan status kaum Melayu Halimah.

Ini kerana bapa beliau adalah seorang India Muslim yang menurut kalangan itu, status seseorang terletak pada kaum bapa dan bukan ibu. Tetapi ia dijawab balik dengan kenyataan bahawa sesiapa boleh dikira Melayu asalkan salah seorang, sama ada ibu dan bapanya adalah orang Melayu.

Mengapakah kerajaan PAP bersungguh-sungguh mahukan jawatan Presiden republik itu turut disandang oleh orang Melayu? Jika mengikut amalan demokrasi dan meritokrasi, maka tidak ada sesiapa yang akan mempertikaikan keadaan politik di situ jika dalam kalangan Cina berterusan menjadi presiden.

Majoriti 74 peratus penduduk kaum Cina bukanlah kecil dan ia boleh terus mendominasi semua bidang dalam republik itu.Namun begitu, fahaman PAP yang diasaskan oleh Lee Kuan Yew tidak begitu. Budaya politik dan geopolitik Singapura dilihat oleh pengasas PAP sebagai berbentuk berbilang kaum walaupun didominasi kaum majoriti, tetapi ia bukanlah sebuah negara China.

Ini kerana Singapura berada di Asia Tenggara dengan latar belakang sejarah serta realiti politiknya bersama negara-negara jiran Melayu khususnya Malaysia dan Indonesia. Sebab itu pada tahun 1959 ketika negara Singapura dibentuk, bendera yang dipilih ialah berwarna merah putih dengan bulan sabit walaupun ada pihak mahukan ia berwarna merah dengan lima bintang seperti bendera China.

Walaupun kemudian Singapura turut memberi sumbangan besar kepada pembangunan China pada zaman Deng Xiaoping tetapi ia mengelak diri daripada bersikap pro-China dalam dasar luarnya.

Malah kini Singapura dilihat pro-Amerika ketika mana banyak negara lain di rantau ini bertambah rapat dengan China.