Tinjauan di beberapa gerai di sekitar Lembah Klang, mendapati harga durian tidak menentu apabila ada penjual menjual D24 antara RM25 hingga RM35 sekilogram, D2 (RM25-RM28), XO (RM30-RM38), durian kampung (RM16-RM20) serta Musang King (RM40-RM90) mengikut gred. Pendek kata, susah mahu membeli durian secara longgok. Kalau adapun, kategorinya tidak elok atau hanya sesuai dibuat tempoyak.

Bila tiba musim durian teringat kepada lagu Durian Berbunga lantunan Mr. Os atau Allahyarham Mohd. Yusof Abdul Hamid. Antara bait-bait liriknya yang menggambarkan keadaan sekarang adalah:

Oh kome, degoyan udah luroh (udah luroh);

Lebih baik cepat pegi suloh (pegi suloh);

Lambat sikit kome dapat habuk (dapat habuk);

Kalau tido jawabnye tinggey pokok (padan muke)

Di sebalik harga durian yang melambung, pemilik dusun durian kini berhadapan dengan kegiatan pencuri raja buah itu. Di suatu kawasan dusun yang agak terpencil di Tapah, Perak, berlaku kejadian yang tidak pernah tergambar sebelum ini. Tuan punya dusun, Pak Non (bukan nama sebenar) bertembung dengan empat lelaki ‘bersenjata’ parang yang sedang mengutip durian di kawasan dusun beliau.

Lebih ‘berani’, mereka mahu menjual durian tersebut kepada Pak Non. Sebelum ini sekitar awal Mei 2017, pemilik ladang mang­ga harumanis turut berhadapan dengan senario kecurian hasil tanaman mereka disebabkan harganya melonjak kepada lebih RM30 sekilogram.

Dalam kejadian di ladang harumanis di Kampung Simpang, Sanglang, Perlis, Termidzi Tafadzol, 38, kerugian RM1,000 akibat 50 kilogram mangganya yang belum matang dicuri. Beliau juga cedera dipukul di bahagian kepala dan badan oleh kedua-dua pencuri terbabit.

Demikianlah apabila hilang iman dalam diri. Soal halal dan haram ditolak tepi. Tergamak mereka mencuri daripada hasil titik peluh orang yang mengusahakan tanaman tersebut. Ada di sesetengah tempat yang rumah tuan punya dan dusunnya agak jauh, tuannya memang tak merasa buah durian. Sebabnya, ‘penunggu’ sentiasa berkeliaran untuk ‘merompak’ durian itu sama ada untuk dimakan sendiri atau dijual.

Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berzina seorang pelacur di waktu berzina jika ia sedang beriman, dan tidak akan minum khamr (arak), di waktu minum jika ia sedang beriman, dan tidak akan mencuri, di waktu mencuri jika ia sedang beriman. Dalam riwayat lain: “Dan tidak akan merampas rampasan yang berharga sehingga orang membelalakkan mata kepadanya, ketika merampas jika ia sedang beriman.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Golongan ‘perompak’ ini barangkali tidak ingat yang mereka juga akan mati dan akan melalui perbicaraan di padang mahsyar kelak. Di situ, tidak ada satu pun yang disembunyikan waima kebaikan atau kejahatan walau sebesar zarah sekalipun. Mereka lupa walaupun perbuatan mencuri buah durian itu tidak dilihat oleh manusia lain, Allah melihat apa yang mereka lakukan.

Dalam sebuah hadis lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang Muslim adalah bersaudara dengan seorang Muslim lain. Janganlah kamu menzaliminya, jangan pula menghinanya dan juga jangan merendahkan mereka.” (Riwayat Muslim)

Ini adalah antara makna konsep ihsan yang wajib diterapkan dalam kehidupan manusia untuk mewujudkan masyarakat harmoni, sejahtera serta diredai Allah SWT. Perlu diingatkan bahawa ihsan bukan sekadar memelihara hubungan baik dengan Allah semata-mata, malah ihsan juga merangkumi perbuatan baik dan perlakuan sesama manusia, sama ada bersangkutan perkara duniawi dan ukhrawi.

Makan hasil sumber yang ha­ram menyebabkan kita dibakar api neraka. Allah SWT memerintahkan hambanya yang benar-benar beriman agar menjadikan yang halal sahaja sebagai makan rutin harian.

Ini kerana sumber rezeki atau pendapatan yang haram bukan sahaja melayakkan seseorang itu menjadi penghuni syurga bahkan turut memberi kesan kepada kelakuan manusia.