Oleh sebab masa ibu bapa bersama anak-anak le­bih banyak daripada masa anak-anak mereka bersama pihak-pihak lain, tugas berat dipikul oleh ibu bapa untuk mencorak warnakan anak-anak dan hala tuju anak-anak mereka dalam menjalani kehidupan seharian.

Sebelum anak-anak mereka ke sekolah, masa anak-anak adalah bersama ibu bapa dan keluarga. Apabila anak-anak mereka memasuki alam persekolahan, anak-anak akan menjadi milik guru-guru dan di luar sekolah, mereka menjadi milik masyarakat.

Ibu bapa masih memainkan peranan dalam jangka masa panjang walaupun ada pihak lain yang menjadi pembimbing mereka. Oleh itu, pemantauan ibu bapa terhadap anak-anak untuk memastikan sahsiah anak-anak mereka terpelihara sangat penting agar anak-anak mereka tahan diuji dengan segala macam cabaran sepanjang kehidupan.

Akhir-akhir ini, kita dapat melihat bagaimana anak-anak sekolah yang masih mentah sudah terlibat dengan gejala tidak sihat terutamanya membabitkan kes disiplin di sekolah. Itu belum lagi dikira kes-kes yang berlaku di luar sekolah seperti vandalisme, kegiatan merempit, basikal lajak dan sebagainya.

Agak malang apabila anak-anak dikenakan tindakan oleh guru-guru, ibu bapa masuk campur seolah-olah apa yang dilakukan oleh guru tidak benar. Hal ini berlaku ke atas Cikgu Noor Idzahril Ahmad yang didakwa mence­derakan anak muridnya Ogos tahun lalu di Sekolah Kebangsaan Seri Sentosa manakala Cikgu Azizan Manap dikatakan mencederakan pipi anak muridnya di tapak perhimpunan sekolah turut diheret ke mahkamah dan akhirnya ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’.

Kes-kes ini mendapat liputan meluas di media massa kerana ia dikaitkan dengan kecederaan, maruah keluarga, guru dan institusi pendidikan negara. Apabila kes-kes seperti ini sudah dibawa ke mahkamah, ia bererti ada cabaran dalam usaha membentuk sahsiah golongan muda terutamanya pelajar sekolah.

Ramai yang mengaitkan dengan ‘maruah’ ibu bapa kerana anak-anak diperlakukan oleh guru di khalayak ramai sehingga mencederakan dan sebagainya tetapi tidak pula yang menoleh kepada ‘maruah’ guru. Tegasnya, jika murid dan ibu bapa tidak mahu malu, anak-anak janganlah melakukan perkara yang boleh memalukan diri dan keluarga.

Dalam soal ini, kita sangat berharap ibu bapa dan pelajar memahami tujuan asal ke sekolah iaitu untuk me­nuntut ilmu demi masa depan. Sekolah bukannya tempat untuk menunjuk siapa lebih kuat.

Apa yang penulis lihat sekarang, guru-guru menyambut kedatangan pelajar di pintu pagar sekolah, menghulurkan tangan bersalaman dengan para pelajar sebagai tanda bersyukur dengan hasrat pelajar mencari ilmu. Semua ini tidak akan memberi makna jika pelajar memesongkan tujuan ke sekolah dan tidak menghormati guru-guru dengan melakukan perkara-perkara yang melanggar peraturan sekolah.

Penulis masih ingat ketika penulis di sekolah rendah dahulu, seorang rakan penulis dirotan oleh guru besar sehingga berdarah kerana melanggar disiplin sekolah. Kes itu tidak dibawa ke mana-mana.

Bapa rakan penulis datang ke sekolah, bukannya berjumpa dengan guru besar untuk membuat bantahan, tetapi berjumpa dengan guru kelas untuk memberitahu bahawa rakan penulis tidak boleh ke sekolah sehari dua kerana dia akan dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Malah, tidak terdengar pula kes itu dibawa ke mahkamah.

Walaupun zaman sudah berubah, penulis berpendapat ibu bapa janganlah mengubah cara mendidik anak-anak dan janganlah pula mengubah hasrat anak-anak mereka ke sekolah, sebagaimana guru-guru yang tidak pernah mengubah tujuan mereka iaitu mendidik anak bangsa menjadi insan yang cemerlang dalam semua aspek.

Jika ini diubah, bukan ibu bapa sahaja yang akan letih, pelbagai pihak lain juga akan letih memikirkan pelbagai kaedah untuk menangani masalah ini.