Menurutnya, tiga tanda awal adalah serpihan sampah-sarap bergerak dengan laju dari arah hulu ke arah hilir, pasir yang hanyut deras di permukaan air dan bunyi deruan air yang kuat dari arah hulu selepas hujan dengan lebat di kawasan hulu.

Apabila terjadinya tanda-tanda awal tersebut, orang ramai yang berada di kawasan hilir dinasihati agar segera meninggalkan kawasan tersebut kerana itu adalah petanda kepala air akan berlaku. Oleh sebab ia berlaku dengan pantas, pelbagai kemungkinan boleh berlaku termasuklah dibawa arus deras dan mati lemas.

Peribahasa lama ada mengatakan, apabila keruh air di hulu, keruhlah air di hilir. Sinonimnya dengan situasi yang berlaku sekarang, apabila di hulu berlaku hujan le­bat, maka di hilir pun akan ada kesannya.

Tragedi yang berlaku di Sungai Gasi berhampiran Kem Sungai Buloh baru-baru ini mengejutkan orang ramai kerana meragut lima nyawa akibat kepala air. Walaupun sebelum ini sudah banyak kes kematian akibat kepala air, peristiwa yang sama masih berlaku.

Malah, kejadian-kejadian lemas di laut, sungai, parit dan sebagainya yang kerap berlaku di negara kita mesti diberi perhatian oleh pelbagai pihak termasuklah individu, apatah lagi mereka yang gemar dengan aktiviti berenang, memancing dan sebagainya.

Dalam soal ini, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (NIOSH) diarah menyediakan kertas kerja Kabinet mengenai isu lemas dan memfokuskan keselamatan orang ramai yang berkunjung ke tempat-tempat riadah.

Bagaimanapun, kerjasama daripada orang ramai terutamanya penggemar aktiviti riadah sangat penting untuk menangani isu lemas.

Berbalik kepada nasihat Ketua Pengurusan Operasi dan Menyelamat Balai Bomba Kuala Lumpur tadi, kepekaan penggemar aktiviti riadah di kawasan-kawasan berair amatlah dituntut agar kejadian lemas dibawa arus deras dapat dielakkan.

Mereka mestilah memahami situasi di persekitaran terutamanya cuaca. Cuaca mendung selalunya membahayakan penggemar aktiviti beriadah kerana boleh membawa hujan lebat. Ri­siko bahayanya lebih tinggi jika hujan tidak berlaku di kawasan beriadah.

Jika hujan lebat terjadi di tempat lain terutamanya di kawasan hulu, kemungkinan kepala air akan wujud apatah lagi jika air dihalang oleh sampah-sarap, kayu dan sebagainya.

Oleh hal demikian, pengetahuan tentang musim dan cuaca di persekitaran amat penting untuk mengelak mala petaka. Maka apabila hujan lebat, penggemar aktiviti riadah mestilah menjauhi tempat mereka menjalankan aktiviti untuk mengelak sebarang kemungkinan.

Penggemar aktiviti beriadah ini juga mestilah mengetahui mana hulu dan mana hilir apabila berada di kawasan sungai yang dikelilingi hutan atau pokok-pokok besar.

Selain itu, keprihatinan ibu bapa sangat penting untuk menangani kejadian-kejadian masa lepas tidak kira di mana. Mereka mestilah ambil tahu aktiviti anak-anak mereka terutama yang gemarkan aktiviti riadah di kawasan sungai, tasik dan pantai.

Mereka mesti selalu menasihati anak-anak mereka dan memberi panduan kepada anak-anak tentang kepentingan menjaga keselamatan di tempat-tempat riadah tersebut.

Pihak berkuasa pula mestilah meletakkan papan tanda amaran di tempat-tempat riadah supaya dapat memberi petunjuk dan peringatan kepada pengunjung tentang kepentingan dan langkah-langkah menjaga keselamatan jika terjadi perkara tidak diingini selain status lokasi tersebut.

Kita percaya, kepekaan semua pihak dalam menangani isu lemas ini akan membuahkan hasil.