IBRAHIM MAHMOOD
IBRAHIM MAHMOOD

Pada hari itu, sejumlah 18 rak­yat negara ini terbunuh termasuklah empat anggota polis dalam satu operasi polis di kampung berkenaan. Operasi itu adalah untuk menahan Ibrahim Mahmood atau Ibrahim Libya yang kemudian terbunuh dalam insiden itu.

Yang hairannya dalam blognya, chedet.cc/ tempoh hari, Dr. Mahathir mengatakan beliau tidak ingat apakah timbalannya masa itu, Tun Musa Hitam ada menasihatinya supaya menangguhkan lawatan kerja ke China susulan insiden berdarah berkenaan.

Dr. Mahathir berlepas ke Beijing untuk lawatan negara sehari selepas kejadian itu.

“Saya tidak ingat yang Tun Musa datang berjumpa saya untuk saya tidak pergi ke Beijing tetapi beliau berada di lapangan terbang bersama dengan ramai orang yang ingin ucap selamat pemergian saya ke China.

“Di waktu itu pun saya tidak ingat yang Tun Musa menasihat supaya saya tidak pergi luar ne­geri,” katanya.

Musa dalam rancangan bual bicara Obviously Harith Iskander (OHI) pada 13 Ogos 2016 menceritakan bagaimana kedudukannya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika tragedi Memali menjadi penyebab secara automatik beliau dianggap orang bertanggungjawab atas kejadian berdarah itu.

Apa yang didedahkan Musa mengenai isu Memali ialah persepsi selama ini mengatakan kejadian itu berlaku sebaik sahaja Dr. Mahathir yang juga Perdana Menteri tidak ada dalam negara ketika itu adalah tidak benar sama sekali.

Tegas Musa: “Ketika kejadian itu Dr. Mahathir ada dalam negara.”

Sejenak memikirkan kenya­taan Musa, kadang-kadang ada benarnya apabila disebut beliau bahawa Dr. Mahathir memiliki kemahiran politik yang menakjubkan.

Bekas Perda­na Menteri itu, kata Musa, akan mengambil strategi menyerang bagi mengelakkan orang lain mendedahkan salah la­ku­nya.

Bahkan, beliau boleh mencetuskan gelora namun tetap tidak akan menderita ekoran tindakannya itu.

Cuba google semula tindak tanduk Dr. Mahathir semasa program Nothing To Hide 2.0 di Shah Alam pada Ogos tahun lalu.

Suasana panas bermula apabila Pengerusi Pakatan Harapan itu dilihat terkedu apabila ditanya soalan mengenai kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum mengalihkan topik mengenai insiden Memali sehingga mencetuskan kekecohan dalam dewan tersebut.

“Pada 19 November 1985 ada satu tragedi dipanggil tragedi Memali. Ramai yang tak tahu pada tarikh itu pihak polis telah ­menyerbu Kampung Memali, Ba­ling, Kedah untuk menangkap seorang individu bernama Ibrahim Abu ataupun Ustaz Ibrahim Libya.

“Dan pada ketika itu, empat orang anggota polis telah terbunuh dan 14 orang kampung juga terbunuh. Soalan saya, Tun katakan mereka ini penjenayah, saya nak tanya Tun, penjenayah bagaimanakah mereka sedangkan mereka cuma ada buluh dan parang sahaja.

“Tolong jelaskan ‘tang’ mana penjenayah tu. Mereka ini rakyat Malaysia, Tun. Mereka orang Melayu, orang Islam. Bukan orang kafir, bukan orang Yahudi,” kata pemuda berkenaan.

“Empat orang polis dibunuh, dengan tangankah?” tanya Dr. Mahathir kembali kepada pemuda berkenaan.

“Dengan serangan apa pun dia (polis) dibunuh. Apabila mereka (polis) dibunuh, balasan (kepada penduduk Memali) adalah dengan cara merekalah. Itu adalah SOP (Prosedur Operasi Standard) polis,” ujar Dr Mahathir dan pada ketika itu beberapa kasut ‘berterbangan’ menuju ke arahnya.

Banyak lagi soalan panas dalam program itu yang Dr. Mahathir jawab sambil lewa.

Apa yang terjadi tiga atau empat dekad lalu biasanya tidak diingati lagi oleh rakyat khususnya orang muda yang umumnya kurang peduli dengan sejarah.

Semasa terbitnya sebuah buku berjudul Memali: A Policeman Remembers atau Memali Kenangan Seorang Polis (terbitan 2011) ditulis oleh bekas Ketua Polis Daerah Ba­ling (OCPD) dari 1981 hingga 1986 ketika itu, Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim, orang tidak begitu ghairah memperkatakan semula peristiwa berdarah di Memali.

Namun, tentunya perkara ini menarik untuk diberi perhatian apabila OCPD Baling sendiri yang terlibat dalam operasi penahanan Ibrahim mempertikaikan keputusan itu. Pertanyaan yang seharusnya dijawab ialah siapa memberi arahan?

Terdapat sekurang-kurangnya tiga tempat dalam buku tulisan Tunku Muszaffar Shah ini yang menyatakan tidak bersetuju dengan cubaan pihak polis untuk menahan Ibrahim di Memali.

Pada muka surat 37, Tunku Muszaffar Shah menulis: “Going after a respected politician and revered religious leader in his own village had been foolhardy. The man travelled regularly to give speeches, sometimes all the way to neighbouring states. We could have arrested him on one of those trips.”

Pada muka surat 74, Tunku Muszaffar Shah menulis: “Ibrahim Mahmood was not a criminal nor was he a communist terrorist who was wanted ‘Dead or Alive’. He was only a politician (a militant, may be). He was a well-respected Tok Guru among his community. The use of excessive force was not the right thing to do.”

Di muka surat 77, Tunku Muszaffar Shah menulis: “The decision to arrest Ibrahim Mahmood in his stronghold was not a wise move. He was a respected religious teacher in his kampong and also a prominent political figure in his community. It would have been more appropriate for the Special Branch to arrest him when he was on his way to give political talks in Selama Kedah/Perak or at locations in Penang.”

Musa dalam rancangan OHI berkenaan mengakui beliau sudah penat menanggung beban sejarah menjadi ‘kambing hitam’ dalam peristiwa Memali.

Jelas Musa, situasi tidak menyebelahinya sehingga dipersalahkan sebagai individu yang bertanggungjawab ke atas peristiwa berdarah berkenaan.

Katanya, dalam perjalanan politik beliau, peristiwa Memali dianggap paling kontroversi. Ke­rana peristiwa itu, beliau dikaitkan dengan gelaran pembunuh.

“Signifikan peristiwa Memali adalah mudah, selama 30 tahun saya dikatakan menjadi pembunuh, bolehkah anda bayangkan?

“Pembangkang menyalahkan UMNO dan saya sebagai individu yang bertanggungjawab dan ‘rakan-rakan’ saya dalam UMNO, apabila situasi ini berlaku, mereka meninggalkan saya. Mereka seolah-olah mengatakan biarlah Musa menjadi ‘kambing hitam’ daripada kami,” kata beliau yang menjadi tetamu undangan dalam rancangan OHI berkenaan.

Nasib Musa barangkali berbeza sekiranya teknologi media ketika itu adalah seperti yang wujud ketika ini.

Musa mengakui beliau terkilan dan menyesal atas kejadian itu yang dianggap titik hitam dalam sejarah politiknya. Namun menyangkal sebagai penyebab beliau berehat dalam politik.
“Saya akui peristiwa Memali benar-benar menekan diri saya. Saya ke Mekah dan berdoa kepada Allah atas apa yang berlaku,” katanya.

Elok dirungkai ‘misteri’ peristiwa Memali. Tidak perlu me­nuding jari kepada sesiapa kerana jawapan yang paling tepat adalah menerusi rumusan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).