Segala konsep itu bertepatan dengan maqasid syariah iaitu mementingkan pemeliharaan terhadap agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Dan pendekatan Malaysia dalam menyertai ‘misi kesejahteraan dunia’ adalah terbuka dan sejagat.

Menjalinkan perhubungan kerjasama demi kepentingan ekonomi, politik dan kemanusiaan tanpa terikat dengan mana-mana kuasa besar atau kesamaan latar belakang agama semata.

Bekas dekan Fakulti Syariah, Universiti Al-Azhar, Mesir, Profesor Syeikh Dr. Hamed Mohamed Abdel Rahman pernah menyuara keyakinan, hanya Turki dan Malaysia boleh menjadi peneraju dunia Islam.

Kenyataan beliau dipetik pada satu seminar antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin, di Kuala Lumpur, pertengahan Jun 2012.

Profesor Syeikh Abdel Hamed tertarik dengan keberkesanan Malaysia mengurus tadbir negara ini sehingga kekal stabil dan progresif, meskipun dalam suasana rakyat yang majmuk.

Juga, beliau kagum melihat Malaysia aktif dalam menyertai misi-misi keamanan dan kesejahteraan dunia secara konsisten dan berimpak tersendiri.

Persoalannya, apakah tokoh-tokoh Islam sepertinya masih berpendirian sama apabila melihat realiti yang ada di Malaysia ketika ini? Mustahil mereka tidak ikuti perkembangan di negara ini.

Mereka tentu melihat ada unsur-unsur yang cuba ‘menggugat’ kedudukan Islam ekoran ada percubaan ‘mempertikai’ kedudukan agama suci itu sebagai agama bagi Malaysia seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ditambah pula, Malaysia kini dilihat semakin cenderung dengan konsep ‘liberalisasi’ beragama sehingga seolah-oleh sedia ‘mempermudahkan’ segala hal termasuk membabitkan kesucian Islam.

Atas alasan kononnya kebebasan hak asasi manusia, lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) semacam ‘diterima’ secara terbuka. Pesta arak turut menjadi isu.

Kerajaan Arab Saudi pernah meyakini peranan Malaysia di pentas antarabangsa khususnya dalam hal-hal keamanan dan penyelesaian konflik politik membabitkan kepentingan kerajaan dan umat Islam.

Negara itu sering menyumbang untuk menjayakan bengkel dan seminar di negara ini bagi maksud menyatakan sokongan dan kepercayaan atas segala usaha yang mampu dilakukan Malaysia demi kesejahteraan ummah.

Pada November 2017, Arab Saudi membiayai Khayr Ummah Conference, juga di ibu negara Kuala Lumpur.

Secara khususnya seminar itu menterjemah sokongan Arab Saudi terhadap Malaysia dalam mempromosi konsep wasatiyyah atau kesederhanaan di rantau ASEAN, bagi membina penyatuan ummah secara sihat dan saling peroleh manfaat.

Susulan itu, ada perancangan dibuat oleh sekumpulan profesor dari negara berkenaan untuk mengadakan satu seminar bertajuk Conference of Islamic Civilazation juga di Kuala Lumpur, dijadual berlangsung pertengahan 2018.

Tertanya-tanya pula kita, kenapa seminar itu tidak menjadi kenyataan? Sama ada disebabkan kerajaan Arab Saudi ‘kurang biasa’ dengan kerajaan baharu yang menerajui Malaysia.

Atau ‘kurang yakin’ dapat bekerjasama dalam ‘suasana serupa’ seperti mana dengan kerajaan sebelum ini?

Masih mampukah Malaysia bersuara lantang atas hal-hal kepentingan Islam di pentas dunia? Masihkah didengari?

Jawapannya terletak pada persepsi dunia luar dengan neraca dan pengukuran mereka sendiri. Malang bagi Malaysia jika jawapannya berbentuk ‘negatif’.

Masih ada lagikah kalangan pemimpin dunia Islam menelefon pemimpin utama negara ini untuk berperanan sebagai mediator dalam menyelesaikan hal-hal membabitkan kepentingan ummah di peringkat antarabangsa?

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan misalnya pernah menghubungi Perdana Menteri Malaysia sebelum ini agar menghadiri persidangan khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul.

Ini kerana dianggap suara Malaysia cukup penting membantah keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Suara Malaysia pernah diterima Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap resolusi menangkis penyebaran fahaman ekstremisme dan radikalisasi.

Resolusi itu yang merupakan inisiatif Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) diterima dalam Sesi ke-72 Perhimpunan Agung PBB di New York, 8 Disember 2017.

Malah, peranan Malaysia pernah turut menyelesaikan ‘pergolakan saudara’ di beberapa buah negara khususnya sekitar ASEAN dengan berkesan.

Pun, Malaysia lantang dalam menyuarakan nasib umat minoriti Islam di beberapa negara yang menghadapi ‘pergolakan dalaman’ membabitkan hak dan nilai kemanusiaan.

Dan segalanya menghasilkan kesan positif.Semoga usaha murni diberkati!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.