Dilaporkan MAS sedang berbincang dengan pihak berkepentingan dan lembaga pengarahnya sebelum mengumumkan pelan pemulihan tersebut.

MAS, yang diambil alih oleh Khaza­nah Nasional Bhd. (Kha­zanah) sebagai sebahagian daripada program pemulihan lima tahun yang bermula pada 2014, mungkin akan terus mengalami kerugian akibat persaingan sengit syarikat penerbangan serantau dan Asia Barat seperti pada tahun-tahun sebelumnya.

Beberapa penganalisis mendakwa Pelan Pemulihan MAS (MRP) gagal kerana ia tidak mampu mengatasi semua masalah yang diwarisi. Mereka berpendapat Khazanah perlu menilai semula syarikat penerbangan tersebut dan berani menangani isu-isu sensitif yang masih wujud walaupun usaha penstrukturan semula telah dilakukan.

Walaupun hujah mereka boleh diterima, saya tidak bersetuju dengan cadangan bahawa operasi MAS harus ditutup sepenuhnya atau Khazanah harus menjual syarikat tersebut kepada pihak yang berminat demi untuk menyelamatkannya.

ASET STRATEGIK

Saya percaya bahawa apa yang perlu kita lakukan ialah memberi peluang kepada MRP untuk memberikan hasil positif selepas ia diumumkan oleh Khazanah pada 2015.

Oleh itu, fasa kedua pelan jangka panjang tersebut amat penting kerana sebarang pelan pemulihan yang melibatkan syarikat penting dan strategik seperti MAS perlu dilanjutkan melebihi lima tahun dan diselaraskan dengan matlamat kewangan yang lebih realistik.

MAS adalah “instrumen” polisi yang amat penting. Ia juga merupakan pemacu utama ekonomi dan aset strategik yang tidak seharusnya diketepikan begitu sahaja.

Walaupun ada pihak yang mengatakan bahawa hari-hari MAS sebagai syarikat penerbangan negara bakal berakhir akibat kegagalannya memenuhi sasaran untuk kembali mencatat keuntungan, kita harus memastikan bahawa kita telah memberikan yang terbaik untuk memperbaikinya dan memastikan syarikat penerbangan itu mampu memenuhi keperluan generasi akan datang.

DIBELENGGU MASALAH

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Kapten Izham Ismail sendiri mengakui bahawa tahun 2018 amat mencabar kerana syarikat penerbangan itu terjejas akibat persaingan sengit apabila penawaran melebihi permintaan serta turun naik harga bahan api dan pertukaran mata wang asing.

Beliau turut menjelaskan bahawa masalah yang dihadapi oleh syarikat penerbangan negara itu amat besar dan bukannya mampu diatasi dengan segera.

Kita perlu ingat bahawa Izham mewarisi sebuah syarikat yang sudah pun dibelenggu masalah selain berhadapan dua tragedi melibatkan pesawatnya.

Harga bahan api dan kadar tukaran mata wang asing yang tidak menentu, kekurangan kakitangan kabin dan saingan pasaran yang sangat mencabar semakin merumitkan keadaan.

Pada masa yang sama, majoriti penumpang bukan lagi ahli perniagaan dan mereka ini lebih sensitif terhadap harga tiket. Mereka biasanya memilih perjalanan kos rendah dan pergerakan mereka juga bermusim.

Walaupun berhadapan dengan semua cabaran ini, MAS telah mengumumkan bahawa ia mampu mencatatkan kerugian yang lebih rendah pada tahun lepas.

81 PESAWAT

Ia juga mempunyai 81 pesawat yang boleh menyediakan perkhidmatan ke 58 destinasi dan turut disokong oleh rakan kongsi strategik melalui kerjasama One World yang merangkumi lebih daripada 1,000 destinasi.

Pada masa sama, MAS juga menyaksikan peningkatan kualitatif dengan Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) naik empat peratus tahun lepas manakala Skor Promoter Bersih (NPS) meningkat sebanyak 22 mata pada tahun 2018 dengan semua titik sentuhan pelanggan mencapai taraf lebih baik dari tahun sebelumnya.

Prestasi Tepat Masa (OTP) dan masalah kelewatan bagasi juga telah bertambah baik dengan markah untuk OTP kini berada sekitar 85 peratus, jauh lebih baik daripada tahun 2017.

Saya berharap MAS dapat meneruskan pencapaian baik tersebut manakala pihak pengurusannya perlu melibatkan pihak berkepentingan terutamanya kakitangan dan kesatuan mereka yang lebih memahami isu-isu sebenar di lapangan.

Izham sendiri dilaporkan sering turun padang dan mengadakan sesi pertemuan dengan kumpulan kecil kakitangan tanpa pihak pengurusan mereka. Oleh itu, pekerja lebih bebas untuk bercakap dan berkongsi isu-isu yang mereka hadapi.

Penglibatan sedemikian amat penting kerana ia boleh membantu meningkatkan semangat kakitangan manakala pada masa yang sama mampu mendapatkan maklum balas mengenai aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan selain kebajikan mereka.

Keputusan MAS untuk mengurangkan bilangan kakitangannya sebelum ini mungkin telah menambah beban kepada mereka yang masih kekal terutamanya krew kabin.

Sebagai pelanggan setia MAS selama lebih 40 tahun, saya juga menerima maklum balas mengenai cabaran yang dihadapi mereka.

SYARIKAT PENERBANGAN TERBAIK

Saya berharap pengurusan MAS akan memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan kakitangannya dan sentiasa menempatkan bilangan krew kabin yang mencukupi untuk mengendali penumpang.

Mereka tidak sepatutnya berkompromi dengan aspek keselamatan kerana kakitangan yang bekerja terlalu keras akan keletihan dan mungkin tidak dapat berfungsi dengan baik terutamanya ketika kecemasan.

Kita perlu memberi penghormatan kepada semua krew penerbangan MAS kerana mereka terus menerima pengiktirafan untuk perkhidmatan yang sangat baik.

MAS baru-baru ini memenangi anugerah Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia pada Anugerah Perjalanan Antarabangsa Persatuan Antarabangsa Penulis Perjalanan Kawasan Pasifik (PATWA), ia merupakan antara penghargaan utama dalam industri pelancongan.

Walaupun terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi, kakitangan MAS terus menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik kerana menghargai profesion serta perasaan dedikasi terhadap syarikat penerbangan itu.

Mereka juga tetap komited dalam kerja mereka walaupun kehilangan pelbagai keistimewaan dan faedah yang mereka nikmati sebelum ini serta pengurangan bilangan anak kapal dalam setiap penerbangan.

MAS seharusnya mengambil kira pandangan kakitangan, kesatuan sekerja dan penumpang mereka untuk memperbaiki perkhidmatan. Ia lebih berkesan berbanding mengambil terlalu banyak pakar atau perunding luar yang mungkin tidak tahu keadaan sebenar di lapangan.

Untuk kembali ke kedudukan hebat seperti sebelum ini, MAS tidak boleh berkompromi dengan kualiti perkhidmatannya dan pada masa yang sama terus berusaha meningkatkan prestasi kewangannya.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).