Sudah tentu harapan rakyat menggunung tinggi sebagai ‘timbal balas’ terhadap usaha terbesar mereka mengangkat PH untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini.

Barisan kepemimpinan baharu menggantikan BN selepas 60 tahun mentadbir negara haruslah lebih baik. Rakyat begitu mendambakan nasib dan kebajikan mereka dapat dibela lebih bagus dalam menghadapi kos sara hidup yang begitu tinggi.

Pertaruhan yang diberikan rakyat pada 9 Mei lalu sebetulnya berpaksikan kepada janji-janji dalam manifesto PH kerana intipatinya amat dekat dengan rakyat. Isu bebanan GST, bayaran tol, tanggungan PTPTN dan harga petrol yang dijanjikan untuk dimansuhkan, ditangguh dan diturunkan begitu menarik perhatian rakyat.

Namun, sebaik sahaja kaki melangkah ke Putrajaya, lain pula ceritanya. Ekoran lambakan hutang lebih RM1 trilion yang ditinggalkan kerajaan terdahulu, memaksa kerajaan Malaysia Baharu tidak dapat melunaskan janji-janji manifesto itu termasuk 10 janji-100 hari yang diyakini mampu ditunaikan.

Jadi, rakyat perlu terima hakikat itu. Mereka tidak boleh mendesak pelaksanaan janji-janji tersebut lagi kerana realitinya kerajaan tidak ada duit sehinggakan terpaksa menubuhkan tabung meminta derma daripada rakyat pula.

Disebabkan kedudukan ekonomi dan alasan bebanan kewangan itu, banyak projek mega yang diperkenalkan kerajaan terdahulu terpaksa dibatalkan walaupun memberi kepentingan kepada rakyat.

Bukan itu sahaja, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga diumumkan akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan da­lam masa terdekat. Sedangkan, kelangsu­ngan pemberian bantuan itu yang telah memberi manfaat kepada tujuh juta penerima sebelum ini juga adalah antara janji PH.

Sebagai penduduk paling ramai di negara ini, Melayu dan bumiputera ialah penerima terbanyak BR1M. Jika bantuan itu dihapuskan, ini tentunya menjejaskan majoriti rakyat.

Bagaimanapun, ada sedikit kelegaan apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Ogos lalu memberikan keyakinan bahawa kerajaan komited untuk bertindak lebih proaktif dengan memberi nafas baharu dalam pelaksanaan agenda ekonomi bumiputera.

Pun begitu, komitmen itu tidak selari dengan apa yang dinyatakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan sebulan kemudian apabila Menterinya, Mohd. Redzuan Md. Yusof membayangkan bahawa geran kewangan yang disalurkan secara percuma kepada usahawan di negara ini akan dikurangkan dalam Bajet 2019.

Dua kenyataan daripada menteri kerajaan PH ini agak meresahkan masyarakat Melayu bumiputera. Kita bimbang pelbagai lagi bantuan untuk golongan itu akan ditarik balik.

Dalam hal itu, Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera (MTEM) meletakkan ‘garis panduan’ kepada kerajaan PH agar intipati Bajet 2019 tidak mengorbankan agenda Melayu bumiputera.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mengenai agenda pembangunan ekonomi bumiputera harus dilakukan serta-merta. KPI itu boleh dilihat dari segi gaji, pendapatan isi rumah, pemilikan hartanah dan berapa nilai tambah perniagaan yang mampu dijanakan sekali gus mewujudkan bumiputera supply chain bermula dari peringkat atas sehingga ke bawah.

Selain itu, kata beliau, pendapatan negara kasar (PNK) bumiputera perlu ada sasaran yang harus dicapai. Bumiputera memerlukan RM900 bilion PNK untuk mencapai kesaksamaan dari segi kekayaan dengan bangsa lain.

“Bumiputera Community in Industry and Commerce (BCIC) perlu ditambah baik dengan meningkatkan penglibatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di sektor-sektor yang berkembang maju seperti teknologi maklumat, kewangan, saintifik dan bidang teknikal.

“Semua kementerian dan agensi kerajaan termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) hendaklah mempunyai Bumiputera Key Result Indicator (B-KRI) untuk mengukur hasil pencapaiannya,” katanya kepada Utusan Malaysia, 
baru-baru ini.

Namun, dalam memenuhi garis panduan itu, kerajaan PH tidak boleh sama sekali mengurangkan geran kewangan percuma kepada usahawan bumiputera sebelum ini.

Ini kerana jelas Ahmad Yazid, golongan itu masih memerlukan bantuan di sektor-sektor strategik.

Bajet 2019 adalah dokumen terpenting untuk pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Walaupun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membayangkan bahawa belanjawan pertama kerajaan PH mungkin bukan sesuatu yang akan memberi khabar gembira dan rakyat perlu ‘berkorban’, namun diharap ia tidak akan menggadaikan inisiatif untuk Melayu bumiputera.