Oleh sebab sekali sekala balik, seringkali itu juga terjadi amnesia mendadak. Ingat muka, lupa nama. Atau ingat nama, tak ingat muka. Atau tak ingat nama, tak ingat muka sama sekali. Lebih sadis, rupa-rupanya salah orang.

Tetapi itu cerita situasi balik kampung. Kita akui akan ada sahabat sekampung yang kita tak ingat, apatah lagi jika berlaku transformasi dari aspek fizikal tubuh badan.

Dari satu sudut, pertanyaan itu adalah bersifat retorik. Tak jawab pun tidak apa. Ini kerana yang bertanya sudah jumpa anda. Mengapa harus disoal sejarah silam? Ha ha ha.

Yang menyapa janganlah ambil hati bila orang yang disapa tergagap-gagap hendak mengimbas data di kepalanya mengenai anda. Tambah-tambah lagi jarak masa terpisah melebih sedekad. Bantu dia. Sebut nama anda. Kalau ada kad perniagaan, terus bagi. Memang selalu berlaku kepada saya sebenarnya. Maafkan saya.

Kembali kepada intipati Mer­re­­pak hari ini. Mari kita fahami mengapa orang menyapa 'lama tak nampak!’ Kenapa bila sudah lama tak bersua, itulah ayat pantas terkeluar daripada mulut?

Kalau rindu, mengapa tidak susun ayat 'Jo, rindunya lama tidak berjumpa’. Atau sentimental lagi, 'Jo? Wah segar bugar sihat walafiat setelah lama tidak berjumpa’. Panjang sangat? Mungkin itu pe­nyebab orang lebih senang sebut 'Jo! lama tak nampak!’

Kita faham, ayat 'lama tak nam­pak atau jumpa’ terpacul daripada mulut kita atas dasar keseronokan atau keinsafan kerana tidak sangka bertemu semula setelah sekian lama berjauhan, atau memang menanti-nanti kedatangan tetapi berpurnama baru hadir.

Tetapi. Ya ada tetapinya. Ada situasi-situasi bila ayat 'lama tak nampak’ menyebabkan kita menjadi tidak selesa, segan, ters­ipu-sipu atau terkedu lidah tidak terjawab sapaan tersebut.

Situasi tidak selesa ini berkait rapat dengan siapa yang bertanya atau menyapa anda sedemikian rupa. Berikut adalah senarai Merrepak:

Tok Imam

Bermaksud anda lama tidak berjemaah di surau atau masjid. Tok Imam tidak bermaksud menyindir tetapi mahu anda memperbaiki prestasi berjemaah.

PIBG

Anda lantang mencelah dalam grup WhatsApp PIBG. Itu kena tambah. Ini kena olah. Cikgu kena berubah. Sekolah kena aktif. Tetapi masa mesyuarat PIBG tidak hadir, takut dipilih jadi AJK.

Persatuan penduduk

Pun sama aktif seperti grup PIBG, dalam grup persatuan anda hingar-bingar. Kereta jiran yang bontotnya terkeluar dari simpang, bising dalam grup. Kucing berak dalam pagar, pun mengaum dalam grup. Bila mesyuarat pemilihan AJK, tulis dalam grup ada tugasan di luar kawasan. Ponteng dengan izin?

MLM

Bukan tidak mahu membantu kawan-kawan yang berniaga. Kita bantu semampunya. Cuma, bila kawan itu ajak kita 'melabur’ dalam perniagaan MLM. Beli produk boleh lagi diampunkan, walaupun anda tidak tahu hendak beri kepada siapa losyen pelicin kulit. Bab 'melabur’ MLM ini berlainan dimensi sama sekali. Sudahlah kena masuk, sesudah masuk, kena cari tiga orang lagi. Berakar-akar. Untung belum tentu.

Ah Long

Kalau Ah Long yang bertanya, anda memang tidak perlu kata apa-apa. Bersedia sahajalah menerima penampar atau tindakan keras daripadanya. Sekian lama lari pintu belakang bila dia datang ke rumah, maka hari ini dapat jugalah dia bersua muka dengan anda. Beribu kali sudah dinasihat jangan meminjam daripada Ah Long, sekarang dia ingin melepas rindu dendam.

Pak Ngah, Uda, Usu

Masa kenduri rumah mak, anda disapa oleh adik-beradiknya. Ciumlah tangan mereka dan mohon maaf. Ini kerana bila mereka tanyakan soalan sedemikian, ia lebih kepada meminta penjelasan 'kenapa tidak pernah datang kenduri rumah Pak Ngah?’ dan bila berjumpa hanya di rumah emak anda sahaja.

Mentua

Harus anda dengan wajah penuh kekesalan sekiranya yang bertanya soalan 'lama tak jumpa’ adalah ibu bapa mentua anda. Maknanya cukup lama anda tidak pulang menziarah keluarga sebelah isteri anda. Masa raya pun kena tunggu tiga tahun pusingan. Raya tahun pertama rumah mak, raya tahun kedua rumah sendiri dan raya tahun ketiga baru rumah mentua. Sila transformasikan diri kerana pakej mengahwini isteri anda, merangkumi mentua sekali yang tidak boleh diabaikan.

Anak

Sibuk bekerja. Anak selepas subuh sudah naik bas ke sekolah. Bila anda balik malam, dia sudah tidur. Cuti Sabtu anda sibuk main golf. Ahad baharulah sempat berjumpa anak. Itu pun nasib. Jika anak sudah terkeluar perkataan 'ayah, lama tak jumpa’, sendiri kena fikirlah.

Isteri

Sangat-sa­ngat tidak se­lesa jika isteri sendiri ber­ta­nyakan anda se­demikian. Bu­kan apa. Maknanya memang lama tidak dapatlah itu. Tidak dapat apa? Tidak dapat jumpa.