Umpamanya pada Sidang Kemuncak ASEAN 2012, buat pertama kali dalam sejarah organisasi ini, kenyataan akhir mesyuarat tidak dapat dikeluarkan kerana gagal mendapatkan persetujuan secara konsensus terutama sekali membabitkan peranan China dalam isu tuntutan bertindih Laut China Selatan. Perlu ditekankan pengerusi ASEAN ketika itu iaitu Kemboja begitu berat sebelah kerana sering mempertahankan tindak tanduk China.

Sabtu lalu, Menteri Luar Fi­li­pina, Alan Peter Cayetano te­lah mengeluarkan kenyataan pe­ngerusi bagi pihak ASEAN mengenai kemelut yang sedang me­landa wilayah Rakhine, Myanmar. Asalnya kenyataan tersebut sepatutnya dikeluarkan sebagai persetujuan kesemua menteri luar ASEAN tetapi oleh kerana Manila akur bantahan Malaysia mengenai kandungan akhir kenyataan, maka ia diubah sebagai kenyataan pengerusi yang mengikut tatacara Filipina, ia tidak memerlukan persetujuan semua ahli.

Malaysia tidak mahu dikaitkan dengan kenyataan tersebut­ kerana kandungannya tidak me­nggambarkan senario sebenar te­rutama sekali yang melanda ma­syarakat Rohingya di Rakhine. Kenyataan tersebut seolah-olah mempertahankan cara kerajaan Myanmar bertindak dengan menggunakan alasan mempertahankan diri dari ancaman Tentera Keselamatan Arakan Rohingya (ARSA).

Ketika perbincangan di antara menteri-menteri luar ASEAN yang diadakan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-72, Datuk Seri Anifah Aman telah menyuarakan bantahan terhadap cara tentera Myanmar menangani isu tersebut terutama sekali yang menjurus kepada kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia. Seperti yang diketahui, saranan tersebut langsung tidak dimasukkan dalam kenyataan akhir yang dikeluarkan dan sebab itu juga Malaysia enggan dikaitkan dengan kenyataan pengerusi tersebut.

Malah menurut Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi, beliau telah mencadangkan empat perkara pokok yang perlu dimasukkan dalam kenyataan akhir tetapi hanya satu cadangan yang digunakan Cayetano. Seperti mana saranan Anifah, cadangan dari Retno mengenai tingkah laku tentera Myanmar juga tidak digunakan oleh Cayetano.

Tidak keterlaluan jika diandaikan Malaysia berasa agak aib de­ngan kenyataan yang dikeluarkan oleh pengerusi ASEAN terutama sekali jika dikaitkan dengan ucapan pemimpin lain di UNGA. Pre­siden Perancis Emmanuel, Macron telah melabelkan apa yang menimpa masyarakat Rohingya sebagai genocide iaitu pembunuhan secara sistematik terhadap satu-satu kumpulan. Pandangan ini adalah selari dengan pendapat PBB dan ketika merasmikan UNGA, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres sekali lagi menyatakan pendirian tersebut.

Begitu juga dengan Perdana Menteri Britain, Theresa May telah menggesa supaya tentera Myanmar lebih bertindak berpe­rikemanusiaan. Beliau juga telah mem­buat keputusan supaya se­gala kerjasama di antara tentera Britain dan Myanmar dihentikan selagi saranan beliau tidak diambil tindakan oleh kerajaan Myanmar.

Pada hari ini juga Majlis Ke­selamatan PBB (UNSC) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan kemelut terutama sekali yang melanda masyarakat Rohingya. Tiga negara ahli UNSC yang memegang kuasa veto iaitu Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis berserta dengan empat negara lain iaitu Mesir, Kazakhstan, Senegal dan Sweden telah mencadangkan mesyuarat khas tersebut.

Jika selama ini negara kuasa besar agak berdiam diri dalam isu Rohingya, tetapi di UNGA nampak gayanya mereka yang mempunyai pengaruh dan kuasa telah mula mengenakan tekanan terhadap kerajaan Myanmar. Malah AS yang selama ini sering membisu mula mengeluarkan kenyataan membidas tindakan tentera Myan­mar. Naib Presiden AS, Mike Pence dalam salah satu mesyuarat UNGA secara langsung telah menyelar tindakan tentera Myanmar yang bertindak kejam ke atas masyarakat Rohingya dan menggesa perlakuan tersebut dihentikan serta merta.

Sebab itu, tidak menghairankan mengapa Ma­lay­sia dan juga Indonesia me­ngemukakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan yang dibuat pengerusi ASEAN. Wa­laupun Caye­tano sebagai­ pengerusi diberi kua­sa penuh untuk membentuk kan­dungan ke­nyataan, tetapi agak mendukacitakan kerana kandungannya adalah begitu diplomatik sehinggakan bertentangan dengan saranan PBB dan juga pemimpin kuasa besar yang lain.

Timbul kemusykilan dan pertanyaan mengapa Filipina tidak mengambil kira pandangan Malaysia dan Indonesia dalam me­rangka kandungan kenyataan. Berkemungkinan untuk menjaga kepentingan politik domestik Fi­lipina adalah antara jawapan yang paling popular dan logik. Tidak kurang juga besar kemungkinan Filipina tertekan dengan keakraban dengan salah sebuah negara kuasa veto UNSC - juga ada kemungkinan kebenarannya.

Walau bagaimanapun tindakan Malaysia yang membantah dan enggan dikaitkan dengan kenya­taan pengerusi mungkin dianggap menongkah diplomasi ASEAN tetapi hakikatnya perlu dilakukan demi memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar.