Tiada data dan statistik lengkap yang menunjukkan berapa banyak sebenarnya jumlah pelajar dan sekolah agama rakyat yang wujud di seluruh negara sekarang ini. Sekolah agama terletak di bawah kuasa Majlis Agama Islam Negeri. Tidak mempunyai cukup kemudahan dan pegawai yang ahli dalam pengurusan bidang pendidikan. Maka sekolah agama rakyat bergantung sepenuhnya kepada ‘kebolehan, kekuatan dan kemampuan’ pemilik masing-masing. Justeru sejak merdeka hingga sekarang sekolah agama hidup bagaikan anak tiri tidak berbapa.

Namun jumlahnya di semua negeri tetap bertambah. Tidak pernah terfikir di Melaka wujud 53 sekolah agama swasta, 14 di Daerah Melaka Tengah, 12 di Alor Gajah dan 12 di Jasin. Di Perak, ada 64 pusat tahfiz termasuk 15 tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak.

Di Johor, Jabatan Agama Islam Negeri Johor me­ngenal pasti ada 15 lagi madrasah tahfiz swasta masih belum berdaftar dengan kerajaan negeri. Maknanya di seluruh Johor ada lebih daripada 15 sekolah agama rakyat.

Di Terengganu wujud bermacam-macam pusat pengajian agama termasuk 14 sekolah pondok dan madrasah. Sebanyak 25 tidak berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri. Di Perlis 12 pusat tahfiz - aneh­nya dilapor berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kebakaran.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, terdapat 941 maahad tahfiz swasta dengan keseluruhan 150,000 pelajar berdaftar dengan Persatuan Madrasah Tahfiz Malaysia”. Daripada jumlah itu “hanya 612 yang berdaftar dengan pihak berkuasa negeri dan Kementerian Pendidikan”.( Utusan Malaysia 20 September 2017). Dalam kolum Al-Bayan, Mohd. Radzi Mohd, Zain (Utusan Malaysia 27 Oktober 2017) menyebut sebanyak 1,238 pusat tahfiz di seluruh negara. Tetapi hanya 73 berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri atau Jakim.”

Perbezaan angka ini menunjukkan sebenarnya tidak ada negeri yang betul-betul mengambil berat menguruskan pusat tahfiz meskipun itu adalah tanggungjawab mereka. Maka tidak ada yang mengetahui berapakah sebenarnya jumlah pusat tahfiz dan pelajar di pelbagai macam sekolah agama rakyat. Pasti lebih daripada 150,000.

Dan melihat kecenderungan ibu bapa sekarang, jumlah sekolah dan pelajar tahfiz akan bertambah dengan pesat dalam setahun dua lagi, sedangkan sebenarnya masa depan untuk ratusan ribu anak muda ini sangat terbatas. Tidak cukup hanya dengan bekalan jalan ke syurga, sedangkan jalan untuk kehidupan di dunia menuntut pelbagai pengetahuan dan ketrampilan.

Maka tindakan utama yang perlu di­segerakan: Semua pusat pendidikan agama mestilah didaftarkan dan ditadbir oleh jabatan yang mempunyai cukup kemampuan kewangan dan pegawai yang berkelulusan dalam bidang pendidikan.

Oleh kerana kemampuan ini tidak mungkin ada pada Jabatan Agama Islam Negeri, maka semua pusat pendidikan agama Islam mestilah diambil alih oleh Kementerian Pendidikan. Sememangnya pendidikan adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat.

Tindakan berikutnya adalah melaksanakan cada­ngan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diumumkan pada 27 September lalu untuk memperkenalkan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) di sekolah tahfiz. Ini bermakna perlu disusun kurikulum baharu dan mewujudkan pusat latihan guru untuk pusat tahfiz. Setahu saya tidak pernah ada pusat latihan guru untuk sekolah agama.

Sekiranya cadangan ini tidak boleh diterima oleh pusat tahfiz dan kerajaan negeri, maka mereka mestilah membuktikan kemampuan dan kebolehan yang diperlukan. Ini agar sekolah agama Islam tidak selamanya jadi anak tiri dan anak yatim di pinggir jalan.


PENULIS ialah pemerhati sosiopolitik.